Bagi anda yang mempunyai set kepala realiti-maya Playstation VR, anda sendiri pasti menghadapi masalah dari segi kawalan pergerakan jika memainkan permainan menggunakan alat kawalan Playstation Move. Ianya agak terhad memandang ia tidak mempunyai alat kawalan analog secara berasingan, sekaligus pergerakan selalunya adalah terhad dan memeningkan.
Sebelum ini Sony juga telah cuba untuk membaiki masalah tersebut dengan melancarkan alat kawalan Playstation Aim yang mana ianya mempunyai butang analog untuk pergerakan, namun ianya terhad untuk permainan yang menggunakan senjata senapang sebagai bentuk asas permainan sahaja seperti Farpoint dan Bravo Team.
Untuk memudahkan dan membaiki masalah tersebut, 3dRudder hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan alat kawalan kaki 3dRudder buat Playstation VR.
3dRudder sebelum ini telah pun melancarkan alat kawalan tersebut buat pengguna PC, dimana kali ini mereka mengembangkan lagi produk tersebut untuk Playstation VR dan ianya juga dilesenkan secara rasmi oleh Playstation.
Melalui alat kawalan tersebut, pemain akan berupaya untuk bergerak dan menoleh di dalam permainan dengan menggunakan kaki sahaja, sekaligus memudahkan pemain untuk bergerak di dalam permainan realiti-maya dengan menggunakan alat kawalan Playstation Move.
Namun, buat masa ini tidak banyak permainan yang menyokong alat kawalan tersebut. Antara yang tersenarai adalah Nature Treks VR, Red Matter, Sairento, Pirate Flight, DWVR, The Wizards dan Ultrawings. Walaupun begitu, memandangkan alat kawalan ini adalah alat kawalan yang dilesenkan secara rasmi oleh Playstation, kami di Aksiz percaya ianya juga bakal menyokong pelbagai permainan realiti-maya lain pada masa akan datang.
Bagi anda yang berminat, anda boleh menempahnya di laman rasmi 3dRudder dimana ianya dijual dengan harga $119(~RM494) dan ianya akan dilancarkan sekitar April 2019 ini.