Robot Entertainment melalui penulisan di laman rasmi mereka mengumumkan yang pada 8 April 2019 kesemua pelayan untuk permainan mereka iaitu Orcs Must Die! Unchained, Hero Academy dan Hero Academy 2 akan ditutup dan tidak lagi boleh dimainkan.

Menurut mereka keputusan tersebut dibuat kerana kesemua permainan tersebut selama ini beroperasi dengan kerugian untuk beberapa bulan dan tidak lagi berbaloi untuk diteruskan. Tambah mereka lagi, kos operasi permainan tersebut adalah lebih baik dibelanjakan untuk projek baharu.

Orcs Must Die! Unchained merupakan permainan ketiga untuk siri Orcs Must Die! yang merupakan permainan pertahanan kubu untuk Playstaion 4 serta PC dan merupakan permainan percuma untuk dimainkan. Manakala Hero Academy dan Hero Academy 2 merupakan permainan strategi yang dikeluarkan untuk telefon pintar.

Bagi pemain yang masih bermain permainan tersebut, bermula sekarang sehingga 8 April nanti, pemain akan dihadiahkan dengan pelbagai barangan di dalam permainan serta mata wang maya untuk mereka bermain sebelum ia ditutup.

Sohor Kini