Slightly Mad Studios, iaitu pembangun permainan terkenal dengan permainan perlumbaan seperti Project Cars dan Need For Speed: Shift minggu ini mengumumkan bahawa mereka akan membina dan melancarkan konsol mereka sendiri untuk bertanding dengan konsol-konsol generasi kini.
Ian Bell, ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut menyatakan bahawa konsol tersebut akan dinamakan Mad Box dan ianya akan mempunyai prestasi yang menyokong permainan dengan resolusi 4k dan berupaya untuk bermain permainan realiti-maya dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS
Buat masa ini, ianya masih lagi di proses konsep dan Ian Bell juga berkongsi sebilangan konsep rekaan konsol tersebut melalui akaun Twitter beliau. Beliau juga menyatakan bahawa terdapat pelbagai pembangun permainan yang berminat untuk membina permainan buat konsol tersebut dan buat masa ini, ianya dirancang untuk dilancarkan sekitar tahun 2022.
Tambahan itu, memandang proses pembikinan konsol ini masih lagi diperingkat awal, Ian Bell juga menyatakan bahawa mereka akan memberi ganjaran sebanyak $10,000 dan permainan percuma buat mereka yang menghasilkan slogan terbaik buat konsol Mad Box tersebut.
Sememangnya ini adalah satu perkara yang agak mengejutkan terutamanya konsol generasi kini seperti Nintendo Switch dan Playstation 4 telah pun mendominasi pasaran di seluruh dunia. Untuk membuka satu lagi platform konsol baharu adalah satu tindakan yang agak berisiko. Walaupun begitu, kami sendiri berminat dengan apa yang Slightly Mad Studios bakal bawakan pada masa akan datang dan akan kami kongsikannya setelah informasi lanjut diumumkan.