Skip to main content

Kemaskini, 16 Januari 2019 – Selepas penutupan studio Telltale Games, pembangunan permainan ini diteruskan oleh Skybound Games menggunakan pasukan pembangun asal. Ulasan dikemaskini untuk menyertakan episod 2 yang dikeluarkan pada 25 September 2018 dan episod 3 dikeluarkan pada 15 Januari 2019.

Kemaskini, 29 Mac 2019 – Menyertakan ulasan dan video ulasan akhir untuk permainan ini.

The Walking Dead merupakan siri permainan yang dikeluarkan oleh Telltale Games berdasarkan siri komik dan juga siri TV bernama sama. Pertama kali dikeluarkan pada tahun 2012, 6 tahun kemudian siri terakhir untuk permainan ini akhirnya dikeluarkan iaitu The Walking Dead: The Final Season.

The Walking Dead: The Final Season merupakan permainan keenam untuk siri ini dan keempat untuk permainan utama manakala 2 lagi merupakan siri sampingan iaitu The Walking Dead: 400 days dan The Walking Dead: Michonne.

Seperti kebiasaan permainan Telltale Games, permainan ini juga akan dikeluarkan secara episod. Episod pertama iaitu ‘Done Running’ dikeluarkan pada 14 Ogos untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Tiga episod seterusnya akan dikeluarkan secara berperingkat dan anda boleh mengetahui tarikhnya di pautan ini.

The Walking Dead merupakan satu siri yang penting untuk Telltale Games, ia juga merupakan permainan yang sangat penting untuk ramai pemain. Adakah permainan terakhir ini memberi satu kesudahan yang selayaknya untuk siri The Walking Dead?

Cerita

Episode 1 – Done Running

Penceritaan episod pertama bermula beberapa tahun selepas kejadian di dalam The Walking Dead: A New Frontier dan akan menggunakan Clementine sebagai watak utama. Selepas meninggalkan Richmond di pengakhiran A New Frontier, di dalam The Final Season, Clementine sudah bersama dengan AJ.

Mengekalkan tema utama permainan ini iaitu ketahanan hidup, Clementine bersama dengan AJ yang kini sudah dapat mempertahankan diri sendiri meneruskan hari mereka dengan mencari bekalan makanan. Berkereta, mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sehingga satu kejadian yang tidak dijangkakan berlaku menyebabkan mereka kemalangan dan Clementine tercedera.

Dalam keadaan separa sedar, Clementine dan AJ dibawa ke satu sekolah yang menjadi tempat tinggal untuk beberapa orang remaja yang menjadikan sekolah sebagai kubu mereka. Mereka menerima Clementine dan AJ dengan baik akan tetapi seperti permainan-permainan sebelum ini, mereka juga mempunyai sejarah hitam.

Episod pertama untuk permainan ini memfokuskan kepada perhubungan Clementine dengan AJ, dan juga remaja-remaja yang berada di sekolah. Dinamik hubungan dilakukan dengan baik, Clementine kini tidak lagi mempunyai orang dewasa untuk membantu sebaliknya beliau sendiri perlu menjaga AJ.

Selain itu, walaupun baru sahaja tiba di sekolah tersebut namun hubungan Clementine dengan watak-watak lain terus dilakukan dengan agak mendalam dan setiap watak mempunyai perwatakan dan juga penceritaan tersendiri. Di dalam The Final Season ini, penceritaan bagaikan menjadikan Clementine watak yang akan menentukan masa depan untuk kesemua watak lain.

Sepanjang penceritaan ia banyak diisi dengan pengenalan dan ia juga menggunakan resipi yang sama seperti permainan sebelum ini. Namun, apabila konflik mula ditambah di dalam penceritaan ia dengan serta merta menjadi lebih cemas dan menarik. Pengakhiran episod pertama sudah cukup untuk membuatkan anda tidak sabar untuk episod seterusnya.

Episod 2 – Suffer The Children

Penceritaan untuk episod ke-2 bagi siri ini memfokuskan kepada implikasi untuk pengakhiran episod pertama yang mengubah penerimaan oleh remaja yang menetap di sekolah tersebut terhadap Clementine dan AJ.

Selain itu, episod ini juga mula memperkenalkan satu kumpulan baharu yang cuba untuk menjadikan warga sekolah tersebut menjadi sebahagian daripada kumpulan mereka.

Meneruskan daripada episod pertama, penceritaan antara Clementine dan AJ masih lagi memfokuskan pilihan Clementine ataupun tindakan Clementine akan memberi kesan kepada tingkah laku AJ. Selain itu, perhubungan antara Clementine dan watak-watak lain juga ditekankan dan ia dilakukan dengan baik. Perhubungan tersebut mendalamkan lagi perwatakan Clementine.

Episod ini juga memperkenalkan beberapa watak baharu, salah satunya watak yang pernah keluar di permainan The Walking Dead yang lain. Ia agak menarik tetapi sebenarnya tidak sangat diperlukan. Namun, ia agak menarik untuk difikirkan andai pemain membuat pilihan lain sebelum ini.

Pengakhiran untuk episod ini menjadikan keseluruhan penceritaan menjadi lebih menarik, dan pilihan yang dilakukan oleh Clementine sudah semestinya membuatkan anda menanti-nanti untuk episod seterusnya dikeluarkan.

Episod 3 – Broken Toys

Ini merupakan episod pertama yang dikeluarkan untuk permainan ini selepas penutupan Telltale Games. Walaupun pembangun baharu, ia masih menggunakan bekas-bekas pembangun Telltale Games untuk meneruskan permainan ini.

Selepas kejadian di episod ke-2, Clementine terpaksa membuat keputusan sukar bukan sahaja untuk beliau sendiri, untuk AJ akan tetapi juga untuk watak-watak lain yang kini mengharap kepada Clementine untuk memberikan mereka panduan.

Boleh dikatakan dari segi kandungan penceritaan, episod 3 mempunyai kandungan yang padat dan tanpa pengisian kosong. Ia juga menyertakan adegan yang membuatkan pemain yang sudah bermain permainan-permainan The Walking Dead sebelum ini mengingatkan kembali kenangan dahulu.

Episod ini juga boleh dikatakan bahagian klimaks untuk penceritaan permainan ini yang membuatkan ia sangat menarik dan saya boleh katakan antara episod terbaik untuk siri permainan ini. Pilihan yang harus dilakukan di dalam permainan ini, masih mengekalkan tema yang sama tetapi dikembangkan lagi.

Di dalam episod ini, pilihan Clementine bukan lagi menentukan perwatakan dirinya, tetapi setiap tindakan dan pilihan beliau menentukan perwatakan watak-watak lain terutamanya AJ menjadikan pilihan moral lebih rumit.

Episod ini juga memfokuskan pilihan-pilihan sukar yang harus dilakukan, berkenaan keluarga serta keselamatan yang akan akan memberi kesan emosi kepada pemain.

Episod 4 – Take Us Back

Sebagai satu episod terakhir, penceritaan episod terakhir ini memfokuskan kepada penyelesaian kepada pelbagai permasalahan untuk permainan ini. Ia tidak lagi mempunyai watak ataupun permasalahan baharu sebaliknya memfokuskan kepada kesan dan akibat keputusan yang dibuat di episiod ini termasuk juga episod-episod lepas.

Jika episod-episod sebelum ini, tindakan Clementine diperhati oleh AJ yang membentuk tingkah laku serta pilihan moral beliau. Di episod ini kesannya mula diperlihatkan, ia sudah semestinya memberikan satu kepuasan melihat perkembangan AJ.

Sebagai satu episod akhir, ia juga tidak banyak diisi dengan pengisian kosong, banyak memfokuskan kepada perkara-perkara yang penting. Saya boleh katakan di antara 4 episod, episod kali ini adalah yang terbaik.

Pengakhiran untuk episod ini yang juga mungkin menjadi pengakhiran untuk siri ini adalah satu pengakhiran yang baik, walaupun tidak sangat mengejutkan.

Bentuk Permainan

Permainan ini masih mengekalkan bentuk permainan yang sama dengan permainan-permainan lain oleh Telltale Games namun ia mempunyai beberapa perubahan yang positif.

Pemilihan dialog dan aksi masih menjadi bentuk permainan utama. Setiap dialog ataupun tindakan oleh Clementine akan memberikan penceritaan dan kesan yang berbeza. Menariknya, di dalam permainan ini ia juga akan membentuk tingkah laku AJ yang memerhati segala tindakan yang dilakukan oleh Clementine.

Disebabkan itu, semasa membuat pemilihan dialog dan aksi, pemain bukan sahaja harus memikirkan mengenai kesan kepada mereka tetapi juga kesan kepada AJ. Ia menjadikan pemilihan lebih mendalam dan agak menarik untuk melihat kesan-kesan yang berlainan dan semestinya pemain tidak akan bermain satu episod sekali sahaja.

Selain itu, permainan ini juga mengekalkan elemen pengembaraan ringkas yang memerlukan pemain menuju ke satu tempat tertentu. Kawasan yang disediakan agak sempit jadi ia bukanlah satu pengembaraan yang lama ataupun tempat yang luas.

Permainan ini ada menyertakan collectible yang pemain boleh cari sepanjang pengembaraan dan mungkin memberi alasan untuk pemain meluangkan sedikit masa untuk mengembara. Namun, ia masih satu pengembaraan yang ringkas dan terhad.

Pertempuran dan aksi masih mengekalkan bentuk permainan secara Quick Time Events (QTE) tetapi untuk permainan ini, ia dilakukan dengan lebih bebas. Pertempuran tidak kesemuanya adalah mengikut urutan tertentu ataupun berdasarkan skrip. Sebaliknya, pemain boleh memilih cara tersendiri untuk melakukannya. Ia bukan sahaja memberikan kebebasan kepada pemain tetapi pada masa yang sama menambah kesukaran kepada pertempuran yang sudah semestinya satu perkara yang baik.

Episod 2, Episod 3 & Episod 4

Bagi episod 2, tidak banyak perubahan dari segi bentuk permainan, ia masih mengekalkan bentuk permainan untuk episod 1. Begitu juga dengan episod 3, namun ada beberapa penambahan yang membuatkan permainan ini lebih menarik akan tetapi menjadikan ia lebih menyusahkan terutama ia dilakukan dengan tidak baik.

Ada beberapa bahagian yang memberikan Clementine pergerakan yang lebih bebas dan mempunyai beberapa pilihan untuk menyelesaikan bahagian tersebut. Walaupun diberi kebebasan, akan tetapi kerana ia masih satu permainan pengembaraan yang terhad, ada tempat serta perkara yang tidak boleh dilakukan. Ia membuatkan kebebasan tersebut terasa janggal dan lebih menyusahkan.

Selain itu, episod 3 juga mempunyai sedikit masalah iaitu pergerakan yang dilakukan tidak berfungsi seperti seharusnya, menjadikan permainan lebih sukar. Namun, penambahan tersebut sudah semestinya menjadikan permainan lebih menarik walaupun agak menjengkelkan.

Episod 4 tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding episod-episod lain. Beberapa kelainan bentuk permainan yang disertakan tidak menjengkelkan seperti episod 3, dan lebih mudah untuk diselesaikan dan ia lebih memfokuskan aksi penembakan/panah.

Grafik dan Audio

Grafik permainan ini terus mengekalkan arahan seni yang sama seperti permainan-permainan sebelum ini dan tidak banyak perubahan dilakukan. Untuk konsol yang menyokongnya, permainan ini menyokong HDR dan juga resolusi 4K yang sudah semestinya memberikan grafik yang lebih baik.

Walaupun tidak banyak perubahan yang dilakukan dari segi grafik akan tetapi kelancaran permainan adalah lebih baik jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini. Pergerakan tidak lagi merasa keras dan janggal, menjadikan pengalaman pengembaraan lebih baik.

Tambahan, permainan ini menggunakan kamera “over-the-shoulder” semasa pengembaraan dan secara langsung memberikan peluang untuk pemain melihat persekitaran dengan lebih jelas.

Kami bermain permainan ini di PC dan menggunakan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah kelancaran namun terdapat beberapa kejadian di mana tekstur pakaian dan watak tidak dimuat dengan sepenuhnya mengakibatkan watak-watak tidak jelas kelihatan. Sesuatu yang senang dah harus diperbaiki melalui kemaskini tampalan.

Visual juga diperbaharui dan lebih baik. Simbol-simbol QTE yang dikeluarkan lebih jelas dan tidak mengganggu adegan-adegan tertentu. Isyarat visual dilakukan bersesuaian dengan keadaan menjadikan pemain lebih mudah untuk melakukan sesuatu aksi.

Dari segi audio, permainan ini masih mengekalkan kualiti yang baik untuk lakonan suara. Walaupun Clementine sahaja watak yang kembali dari permainan sebelum ini, manakala AJ baru sahaja boleh bercakap dan watak-watak lain adalah wata baharu namun kesemua mereka memberikan persembahan yang baik.

Muzik latar turut membawa perasaan yang sama dengan permainan sebelum ini, sound effect yang ada juga agak baik dan memberikan kesan kepada adegan-adegan yang berlaku.

Selain itu tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai grafik dan audio permainan ini. Ia masih mengekalkan grafik dan audio yang lebih kurang sama dengan permainan sebelum ini akan tetapi bagi saya ia sudah cukup baik.

Episod 3 & Episod 4

Mungkin disebabkan pembangunan untuk episod 3 dihentikan buat satu masa yang lama dan terpaksa disambung semula yang menyebabkan kelancaran permainan ini di episod ini tidak baik jika ingin dibandingkan dengan episod-episod sebelum ini.

Terdapat juga beberapa masalah yang membuatkan pemain tidak boleh menggerakkan Clemetine membuatkan beliau kaku dan saya terpaksa menutup dan membuka kembali permainan ini. Saya berharap kelancaran serta permasalahan ini dapat diperbaiki untuk episod ini dan sebelum keluarnya episod seterusnya.

Episod 4 mempunyai kelancaran permainan yang lebih baik berbanding pada awal pengeluaran untuk episod 3. Tiada masalah yang saya hadapai untuk menghabiskan episod ini. Secara keseluruhan, prestasi permainan adalah baik.

Rumusan

Akhir kata, The Walking Dead The Final Season memberikan penceritaan yang baik walaupun menggunakan resipi yang sama seperti permainan-permainan sebelum ini. Perhubungan Clementine dan AJ serta watak-watak lain sudah semestinya akan menjadi penggerak utama dan ia dilakukan dengan baik.

Pelbagai pilihan berbeza yang dilakukan oleh Clementine yang kembali menjadi watak utama dan lebih matang akan memberikan pengalaman penceritaan yang berbeza. Ia bukan sahaja membuatkan pemain ingin mencuba penceritaan yang lain, ia juga membuatkan tidak sabar untuk bermain episod yang seterusnya.

Bentuk permainan masih sama dengan permainan yang sebelum ini tetapi membawa kelainan seperti kamera “over-the-shoulder” dan pertempuran yang tidak terlalu mendatar menjadikan pengalaman bermain sedikit berbeza dan lebih baik. Bentuk permainan baharu yang disertakan di episod 3 menjadikan ia lebih menarik tetapi menyusahkan kerana tidak dilakukan dengan baik.

Grafik dan audio juga tidak membawa perubahan yang besar berbanding permainan sebelum ini. Ia masih baik dan cukup untuk membawa permainan ini. Hanya pada episod 3 sahaja ia mempunyai sedikit masalah kelancaran dan beberapa masalah yang membuatkan permainan perlu dimulakan semula.

Ia bukanlah satu permainan yang terbaik untuk siri ini, namun sebagai satu bab terakhir, saya merasakan ia adalah satu permainan yang harus dimainkan oleh semua yang mengikut siri ini. Penyelesaian untuk kisah Clementine, sudah semestinya membuatkan pemain mengenang kembali permainan-permainan sebelum ini.

Terima kasih bekas pasukan Telltale Games dan Skybound Games yang memastikan permainan ini berkahir dnegan baik.

Leave a Reply