Skip to main content

Kingdom Come: Deliverance (KCD) dibangunkan oleh Warhorse Studio iaitu studio baru yang ditubuhkan oleh Daniel Vavra yang meninggalkan syarikat 2K Czech. Permainan ini memasuki Kickstarter pada Januari 2014 dengan sasaran untuk mendapatkan RM1.6 juta iaitu 10% dari kesemua bajet untuk permainan ini. Selepas 30 hari, kempen Kickstarter ini tamat dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM6.05 juta. Walaupun pada awalnya Warhorse menyasarkan untuk mengeluarkan permainan ini pada tahun 2015 selepas beberapa kali ditunda akhirnya permainan ini hanya dikeluarkan pada 13 Februari 2018.

KCD merupakan Aksi-RPG Dunia Terbuka yang dikeluarkan untuk PC, Playstation 4 dan juga Xbox One.

Cerita

KCD dipasarkan sebagai permainan yang mengambil sejarah sebagai sumber utama penceritaan. Permainan ini berlaku pada tahun 1403 di mana Raja Bohemia iaitu Charles IV yang merupakan seorang raja yang hebat dan disayangi ramai telah mangkat. Pengganti kepada Charles IV adalah Wenceslaus IV. Oleh kerana Wenceslaus lebih mementingkan hiburan, arak dan perempuan, kerajaan Bohemia menjadi agak huru-hara. Raja kepada Hungary dan Crotia iaitu Sigismund yang juga adik tiri kepada Wenceslaus, menculik Wenceslaus IV dan cuba untuk mengambil takhta Bohemia. Dalam satu serangan Wenceslaus, baginda menghantar tentera upahan Cuman untuk menyerang perkampungan Skalitz yang merupakan tempat tinggal dan lahir untuk watak utama permainan ini yang juga watak yang akan dikawal oleh pemain iaitu Henry. Di dalam serangan ini kedua ibu bapa Henry mati terbunuh akan tetapi Henry berjaya melarikan diri.

Ingin membalas dendam ke atas kematian ibu bapanya, Henry menjadi orang suruhan untuk Radzig Kobyla yang juga orang besar di Skalitz. Penceritaan kemudian banyak memfokuskan kepada pertempuran antara tentera upahan Sigismund dan orang atasan Bohemia terutama di rantau Sasau dan Rattay. Penceritaan juga memberi tumpuan kepada kesan-kesan pertempuran ini kepada penduduk setempat. Penceritaan bukan sahaja bergerak melalui misi utama permainan akan tetapi juga melalui misi sampingan dan juga apabila pemain mengembara ke sesuatu tempat. Penceritaan KCD walaupun menjadikan sejarah sebagai sumber inspirasi utama akan tetapi berjaya untuk mengekalkan minat pemain sepanjang permainan. Walaupun pada awal agak terlalu banyak maklumat yang dikongsi kerana penceritaan mengenai perebutan takhta agak rumit tetapi sepanjang permainan pemain akan mula memahami apa yang berlaku sedikit demi sedikit.

Perwatakan Henry dilakukan dengan baik, dia bukanlah hero yang terpilih, sebaliknya sekadar anak kepada tukang besi yang tidak tahu apa-apa mengenai seni pedang ataupun pertempuran. Ini ditunjukkan sepanjang permainan di mana pada awalnya Henry agak lemah dah mudah terbunuh jika dimainkan terlalu gopoh. Perwatakan Henry juga dikembangkan dengan penceritaan yang mempunyai kejutan tersendiri tetapi pada asasnya Henry adalah watak yang mudah untuk pemain menghayati dan menjadikan mengawal Henry tidak jauh dengan perasaan mengawal diri sendiri. Watak lain, tidak kira sampingan ataupun utama juga dilakukan dengan baik. Banyak babak-babak yang berlaku antara Henry dan watak lain adalah pengalaman yang menyeronokkan dan akan lama diingati oleh pemain. Kesemua ini dilakukan dengan baik tanpa ada penceritaan yang rasa janggal. Misi sampingan turut mempunyai penceritaan yang tersendiri dengan pengenalan watak-watak yang menarik, jika pemain ingin bermain permainan ini kerana penceritaan, sudah semestinya tidak akan kecewa.

KCD merupakan bahagian 1 dan 2 dari 3 bahagian untuk penceritaan keseluruhan Kingdom Come, bahagian terakhir akan dikatakan akan dikeluarkan sebagai satu permainan baru bersendirian dan bukan DLC. Untuk masa ini tiada tarikh tetap diberikan, walaupun mempunyai beberapa bahagian akan tetapi pengakhiran KCD sudah cukup memuaskan dan tidak terasa tergantung tetapi pada masa yang sama membuka kepada penceritaan yang lebih lagi.

Grafik

Untuk permainan dunia terbuka, KCD mempunyai kualiti grafik yang cukup baik. Kami bermain permainan ini di PC dengan konfigurasi sederhana untuk mendapatkan 60FPS. Mengikut perbandingan kami, kualiti ini bersamaan dengan versi Playstation 4 dan juga Xbox One dan sudah semestinya kualiti lebih baik di konfigurasi yang lebih tinggi dan juga untuk Playstation 4 Pro dan Xbox One X. Rekaan dunia KCD juga menarik terutama ianya adalah berdasarkan kepada rekaan asal di dunia sebenar. Ada banyak perkampungan yang dihidupkan dengan pelbagai aktiviti dari watak-watak yang tidak boleh dimainkan (NPC). Walaupun jika ingin dibandingkan dengan permainan dunia terbuka yang lain, peta KCD tidak lah luas akan tetapi kerana fast travel adalah terhad dan mod pengangkutan utama adalah kuda, dunia KCD akan terasa luas walaupun begitu kebanyakan pemandangan adalah sama dan penempatan tidak mempunyai keunikan tersendiri melainkan bandar-bandar besar menjadikannya agak mendatar.

Semasa ulasan ini dibuat, KCD juga mempunyai pelbagai masalah terutama dari segi grafik. Tekstur-tekstur yang lambat untuk keluar mencacatkan pengalaman. Selain itu banyak juga masalah-masalah teknikal lain seperti tidak dapat menaiki tangga, pedang ataupun panah yang tidak berfungsi, kuda tersangkut dan pelbagai lagi masalah sedikit sebanyak mencacatkan pengalaman semasa bermain. Permasalahan ini boleh dibaiki melalui kemaskini akan tetapi buat masa ini pemain akan terus mengalami permasalahan seperti ini. Walaupun pemain boleh menghabiskan permainan ini akan tetapi pengalaman tidak akan menjadi sebaik dari sepatutnya. Masalah teknikal ini juga melibatkan FPS di mana walaupun di kebanyakan tempat mengikut konfigurasi kami 60 FPS adalah kebiasaan akan tetapi apabila memasuki bandar besar ataupun sedang bertempur FPS akan jatuh kepada 40 hingga 50 FPS. Seperti kebiasaan untuk permainan dunia terbuka, animasi watak semasa di dalam permainan agak berbeza dengan adegan-adegan di dalam cut scene. Untuk KCD ianya lebih jelas kerana mereka tidak menggunakan banyak animasi berbeza sehingga menjadikan sesuatu perbualan walaupun sepatutnya serius menjadi agak lawak dan sukar untuk memberikan pengalaman yang betul kepada pemain walaupun dengan lakonan suara yang sangat baik.

Audio

KCD mempunyai muzik latar yang baik dan cukup untuk menemani penjelajahan dan muzik yang digunakan semasa pertempuran juga sangat bersesuaian dan mencipta perasaan cemas. Akan tetapi jika ingin dibandingkan dengan permainan dunia terbuka lain seperti The Witcher 3 dan Skyrim, muzik di dalam KCD tidaklah mencipta perasaan epik dan tidak juga akan diingati untuk masa yang lama. Ironinya muzik semasa kredit di akhir permainan yang kemungkinan akan diingati ramai pemain. Bunyi latar juga tidak konsisten, ada masa kuat dan ada masa terlalu perlahan tetapi secara keseluruhan tetapi baik.

Berbeza untuk lakonan suara kerana KCD mempunyai lakonan suara yang bagi kami adalah antara yang terbaik. Kesemua pelakon, tidak kira watak utama ataupun sampingan memberikan persembahan yang baik. Jika tidak kerana animasi yang berulang dan tidak baik, setiap babak adalah sesuatu yang sangat seronok untuk disaksikan. Ini sudah semestinya dibantu kerana penulisan dialog yang baik.

Skyrim mempunyai “I took an arrow to the knee“, KCD mempunyai “Henry’s come to visit us” pada awalnya agak menarik untuk didengar sekurangnya sesuatu penempatan rasa hidup akan tetapi apabila sering mendengarnya kerana disebut terlalu kerap, perkataan pendek ini menjadi agak menjengkelkan daripada rasa hidup ditambah dengan animasi yang berulang keadaan menjadi agak kaku.

Teknik Permainan

KCD adalah permainan Aksi-RPG Dunia Terbuka, seperti dunia terbuka lain KCD mempunyai kawasan yang luas, peta di dalam permainan akan terselindung di sebalik awangan yang akan hilang apabila pemain pergi atau melalui kawasan-kawasan tersebut. Selain daripada misi utama dan misi sampingan tidak banyak perkara yang boleh dilakukan di dalam dunia KCD. Walaupun ada beberapa harta tersembunyi yang boleh dicari berdasarkan peta yang didapati ataupun dibeli, selain daripada itu permainan sekadar memfokuskan pada misi utama dan misi sampingan.

Misi utama untuk KCD agak mendatar dan mengikut penceritaan utama. Walaupun tiada cabang di dalam penceritaan, keunikan misi-misi utama dan cara untuk menyelesaikan sesuatu misi adalah terbuka menjadikan misi utama agak menarik dan jika memfokuskan kepada misi utama sahaja pemain akan dapat menghabiskan permainan ini dalam masa 30 hingga 40 jam bergantung kepada kepantasan pemain. Beberapa misi utama memerlukan pemain untuk menunggu beberapa hari (dalam permainan) sebelum diselesaikan oleh itu agak bagus untuk diselitkan misi sampingan semasa menunggu ini. Kekuatan misi utama adalah kepada penceritaan, walaupun ada kemungkinan pemain merasa misi utama agak berulang akan tetapi kerana penceritaan yang menarik menjadikan misi-misi ini berbaloi untuk dimainkan.

Misi sampingan kebiasaan boleh didapati dengan bertanya kepada innkeeper yang boleh dijumpai di Tavern jika ada ada masalah yang pemain boleh tolong selesaikan. Innkeeper akan menceritakan masalah-masalah untuk sesuatu tempat dan tempat untuk mendapatkan misi tersebut akan ditunjukkan di peta. Sesetengah misi sampingan mempunyai masa yang terhad untuk diselesaikan, jadi pastikan sudah bersedia untuk melakukan misi sampingan sebelum bertanya secara terperinci mengenai misi sampingan tersebut. Misi sampingan juga boleh didapati sebagai sebahagian daripada misi utama, bergantung kepada kebolehan pemain misi sampingan ini boleh menjadi mesti buat ataupun jika ingin sahaja. Sesetengah misi sampingan juga mempunyai penceritaan yang baik dan ada cut scene sendiri. Berbanding misi utama, misi sampingan lebih mempunyai variasi dan kerana tidak bergantung kepada penceritaan utama yang mendatar misi sampingan akan mempunyai kejutan tersendiri berdasarkan cara pemain menyelesaikannya. Jika ingin menghabiskan semua misi sampingan durasi permainan mungkin mencecah 60 hingga 70 jam.

Penceritaan KCD mengikut sejarah sebenar, pertempuran juga cuba dilakukan secara realistik yang mungkin. Pemain tidak akan mempunyai kebolehan yang luar biasa melainkan senjata yang digunakan. Pemain boleh memilih senjata seperti pedang, cokmar, tukul dan juga panah. Pedang, cokmar dan tukul menggunakan tempat yang sama jadi pemain perlu memilih salah satu senjata untuk digunakan dan boleh ditukar sentiasa, panah boleh sentiasa dibawa. Walaupun menggunakan senjata yang berbeza tetapi cara pertempuran adalah agak sama. Pemain perlu memilih dari lima arah, untuk menyerang dan juga bertahan. Setiap aksi akan menggunakan stamina, apabila berkurang pemain akan terdedah kepada serangan tanpa cara untuk bertahan dan juga membalas. Pertempuran adalah agak sukar untuk difahami pada awalnya dan beberapa pergerakan juga tidak akan didapati secara terus walaupun sepatutnya menjadi kebiasaan untuk semua pemain. Walaupun sudah mahir, pertempuran tidaklah menyeronokkan ataupun rasa berbaloi untuk terus digunakan. Jika pemain menggunakan sesuatu senjata dengan kerap, tahap senjata itu akan meningkat dan membolehkan pemain untuk mendapatkan kombo khas untuk senjata tersebut, kombo ini sangat membantu untuk melawan. Akan tetapi kerana permainan ini memberi peluang untuk pemain mengelak dari bertempur dengan menggunakan pilihan dialog, kami sentiasa cuba untuk mengelak dari melawan. Kami merasakan pertempuran boleh di pertingkatkan lagi, walaupun ingin menjadi realistik akan tetapi tidak berbaloi jika ianya menjadi tidak menarik ataupun seronok.

Seperti permainan-permainan RPG yang lain, KCD juga mempunyai tahap yang akan meningkat naik sepanjang permainan. Tahap ini bergantung kepada kebolehan, keseluruhan ada 9 kebolehan tetapi hanya 4 yang boleh meningkat berdasarkan permainan iaitu Strength, Agility, Vitality dan Speech manakala 5 kebolehan lain iaitu Charisma, Visibility, Conspiciousness, Noise dan Speed bergantung kepada keadaan semasa seperti pemakaian dan juga tempat pemain berada. Kami tidak akan terangkan secara terperinci mengenai kesemua kebolehan ini kerana permainan ini akan terangkan semasa anda bermain. Apabila tahap dan 4 kebolehan meningkat, pemain boleh memilih daripada beberapa keistimewaan yang boleh membantu pemain untuk menjadi lebih baik di dalam permainan.  Selain itu ada juga kemahiran yang turut meningkat sepanjang permainan jika pemain terus melakukan sesuatu aksi atau aktiviti. Kemahiran adalah Alchemy, Drinking, Herbalism, Horsemanship, Hunting, Lockpicking, Maintenance, Pickpocketing, Reading dan Stealth. Seperti tahap dan kebolehan, kemahiran turut mempunyai keistimewaan yang boleh dipilih apabila meningkat. Walaupun dari segi kebolehan untuk mencipta perwatakan sendiri tetapi tahap, kemahiran dan kebolehan tidak sangat nampak perbezaan di dalam permainan kecuali Speech yang sering digunakan. Kami merasakan sistem ini tidak sangat dikembangkan untuk betul-betul memberi perasaan pemain boleh mencipta watak yang berbeza. Sesuatu yang sepatutnya menjadi perkara utama di dalam permainan bagaikan menjadi perkara sampingan sahaja.

KCD juga mempunyai elemen ketahanan hidup iaitu Energy dan Nourishment. Energy akan berkurang jika pemain tercedera ataupun sudah lama berjaga, Energy akan memberi kesan kepada tahap Health dan Stamina pemain. Pemain boleh makan dan minum makanan atau ubatan untuk menaikkan kembali Enegry tetapi cara terbaik adalah tidur. Manakala Nourishment adalah tahap kelaparan pemain, jika pemain melakukan banyak aktiviti dan tidak makan pemain akan menjadi lapar. Jika kurang makan dan juga terlebih makan akan  turut memberi kesan kepada Health dan Stamina. Elemen ketahanan hidup dalam KCD walaupun mudah akan tetapi cukup untuk menjaga kelajuan pemain semasa bermain permainan ini. Dengan menghalang pemain untuk melakukan misi secara terus 2-3 hari berturut-turut boleh membawa perasaan seperti kehidupan sebenar. Pemain juga perlu menjaga kebersihan, jika terlalu lama tidak mandi ramai yang akan mengelak dari bercakap termasuk juga kedai-kedai untuk pemain membeli. Pemain boleh mencuci sedikit di air-air yang berada di perkampungan ataupun melawat Baths untuk mandi dan juga mencuci pakaian. Ada juga servis lain di Baths yang boleh meningkatkan keupayaan pemain secara sementara.

Untuk perisai ataupun pakaian, sistem yang digunakan di dalam KCD adalah agak ringkas tetapi pada masa sama membuka kepada pelbagai penyesuaian mengikut kehendak pemain. Secara keseluruhan ada 16 bahagian pakaian yang pemain boleh meletakkan perisai ataupun pakaian mereka sendiri. Setiap perisai akan mempunyai kebolehan tersendiri dan meningkatkan ketahanan pemain pada masa sama memberi kesan kepada kebisingan pemain (berguna untuk direndahkan jika ingin menyusup) dan juga Speed, jika perisai terlalu berat pertahanan akan lebih tinggi akan tetapi memberi kesan kepada keupayaan untuk pemain bergerak terutama semasa berlawan. Walaupun mempunyai banyak bahagian akan tetapi kerana kekurangan variasi dan kesan pemakaian ini tidak sangat terasa mungkin menjadikan pemain menggunakan perisai dan pakaian yang sama untuk tempoh yang lama. Mungkin kerana untuk menjadikan lebih realistik pemain tidak boleh membuat perisai mereka sendiri, hanya boleh didapati melalui mengambil dari seseorang ataupun membelinya di kedai. Pemain hanya boleh mengasah pedang sahaja. Mencipta perisai sendiri merupakan sesuatu yang sangat menarik, sebagai contoh seperti The Witcher 3 dengan mengumpul bahan dan mengupah tukang besi untuk membuatnya sudah cukup untuk menambah variasi di dalam permainan.

Bercakap mengenai membeli, KCD mempunyai sistem pembelian yang unik kerana mempunyai pemain boleh meminta untuk mengurangkan harga, jika mempunyai Speech dan Charisma yang tinggi mudah untuk mendapat harga murah, perhubungan dengan jurujual juga memainkan peranan. Hubungan baik dengan jurujual bergantung kepada status pemain di bandar tersebut dan juga pemain boleh membayar dengan harga yang lebih tinggi sebagai hadiah.

Berbeza dengan perisai, pemain boleh membuat ubatan sendiri dengan mengumpul bahan dan menggunakan Alchemy Bench. Pengunaan Alchemy Bench untuk KCD adalah agak rumit, kerana pemain harus melakukan setiap teknik yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu ubat seperti mengisar, memasak, dan mencampur bahan-bahan berdasarkan resipi. Pada awalnya mungkin akan berasa agak menyusahkan tetapi apabila pemain sudah membiasakan diri, ia menjadi bagaikan tekaria tersendiri.

Sistem simpan permainan ini adalah agak menyusahkan, pemain hanya boleh menyimpan permainan mereka dengan tidur, simpanan automatik untuk sesetengah misi dan dengan meminum arak yang dipanggil Saviour Schnapps yang pemain boleh membawa 3 sahaja buat satu masa dan harganya agak mahal. Permainan seperti KCD seharusnya lebih mesra apabila bercakap mengenai sistem simpanan kerana tidak semua pemain ingin melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali. Permainan lain kebiasaan mempunyai simpanan cepat untuk pemain menyimpan pada bila-bila masa. Mungkin ini memberi kelainan kepada KCD akan tetapi ianya bukanlah kelainan yang baik. Sistem fast travel juga mempunyai keunikan sendiri, pemain akan tetap menjadi penat, dan lapar semasa fast travel. Masa juga akan bergerak sepertimana tanpa menggunakan fast travel. Semasa fast travel ada kemungkinan pemain akan dihalang atau menjumpai perkara yang menarik. Bergantung kepada kemahiran pemain, fast travel mungkin terhenti walaupun tidak lagi sampai ke tempat yang dituju kerana halangan ini. Sistem ini agak menarik tetapi lama-kelamaan menjadi menyusahkan berbanding menambah nilai ke dalam permainan.

Kesimpulan

Akhir kata, KCD merupakan permainan aksi-RPG  yang mempunyai penceritaan yang sangat baik. Pembinaan cerita dan watak dilakukan dengan teliti menjadikan keseluruhan cerita akan diingati untuk masa yang lama. Keputusan Warhorse untuk menjadikan watak Henry sebagai bukanlah hero yang biasa memudahkan untuk pemain berhubung dengan wataknya. Walaupun ini merupakan 2 bahagian daripada 3 bahagian akan tetapi pengakhiran yang diberi cukup memuaskan.

Meskipun KCD mempunyai grafik yang agak baik terutama untuk permainan dunia terbuka akan tetapi kerana masalah-masalah di dalam permainan menjadikan grafik agak cacat dan menyukarkan pemain untuk menghargainya. KCD juga mempunyai dunia yang agak luas akan tetapi kerana ini menjadi seperti dunia sebenar, rekaan adalah agak berulang dan tidak mempunyai keunikan tersendiri kecuali untuk bandar-bandar besar. Seperti permainan yang dunia terbuka lain yang mempunyai banyak dialog, KCD juga mempunyai animasi yang agak berulang dan nampak agak janggal sekaligus mencacatkan sedikit penceritaan.

Muzik latar yang digunakan cukup baik akan tetapi tidak memukaukan seperti permainan-permainan lain yang sama, tiada muzik yang boleh diingati. Kesederhanaan muzik latar tidak memberi kesan kepada lakonan suara yang sangat mantap. Perbualan tidak merasa janggal, dialog-dialog yang digunakan sangat bersesuaian dengan keadaan. Jika tidak kerana animasi yang berulang dan janggal sudah semestinya melihat babak-babak adalah satu keseronokan.

KCD mempunyai teknik permainan yang mendalam akan tetapi kerana terlalu ingin menjadikan realistik, banyak pengorbanan dari segi keseronokan bermain terpaksa diambil. Sistem pertempuran walaupun pada awalnya nampak menarik tetapi menjadi sangat menyusahkan apabila lama bermain. Rekaan misi utama dan misi sampingan adalah baik walaupun misi utama agak mendatar akan tetapi variasi misi sampingan menyerikan permainan ini. Elemen RPG juga dilakukan dengan baik tetapi sukar untuk menampakkan kesan di dalam permainan menjadikan pemain kurang berminat untuk lebih mengambil berat mengenainya. Perisai dan pakaian sangat menarik kerana memberi kebebasan yang cukup banyak kepada pemain akan tetapi kerana pilihan yang sedikit, kebebasan ini juga tidak sangat dapat dipenuhi.

Jika pemain dapat mengendahkan ataupun Warhorse akan membaiki pelbagai masalah dalam permainan ini, KCD merupakan permainan yang cukup baik dan sudah semestinya berbaloi untuk dimainkan walaupun selama 50 jam.

Leave a Reply