Metal Gear Survive merupakan permainan seterusnya buat siri Metal Gear yang terkenal dengan bentuk permainan menyusup senyap. Namun, setelah Hideo Kojima meninggalkan Konami pada 2015 lepas, Konami meneruskan legasi permainan tersebut dengan Metal Gear Survive dimana kali ini, ia memfokuskan bentuk permainan pertahanan hidup berbanding bentuk permainan menyusup senyap seperti sebelum ini.
Metal Gear Survive dilancarkan pada 20 Februari 2018 lepas buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Dengan menggunakan enjin permainan Fox Engine seperti Metal Gear Solid V: The Phantom Pain dan Metal Gear Solid V: Ground Zeroes, permainan ini mempunyai bentuk kawalan yang hampir sama buat permainan tersebut tetapi ia tetap menambah sebilangan kandungan baru bersama bentuk kawalan yang sedikit berbeza.
Seperti tajuk permainan tersebut Survive, pemain perlu mempertahan diri untuk teruskan hidup di dalam permainan tersebut dengan mencari barangan, senjata dan juga makanan. Walaupun permainan ini menerima pelbagai kontroversi dan kritikan, adakah ia permainan yang buruk? Ini adalah ulasan penuh bagi permainan Metal Gear Survive.
Cerita
Penceritaan Metal Gear Survive bertempatkan selepas Metal Gear Solid V: Ground Zeroes dimana askar-askar Motherbase dari Militaires Sans Frontières iaitu satu tentera yang didirikan oleh Big Boss di dalam Metal Gear Solid: Peace Walker. Anda akan mengawal watak anda sendiri dimana anda boleh menghasilkan nama anda sendiri dan juga rupa bersama jantina.
Metal Gear Survive bermula selepas sahaja pangkalan Motherbase diserang oleh XOF di dalam penghujung penceritaan Metal Gear Solid V: Ground Zeroes. Ketika pangkalan tersebut diserang, terdapat satu portal yang terbuka dan menyebabkan sebilangan askar dan juga serpihan pangkalan tersebut memasukinya. Walaupun begitu, pemain berjaya menyelamatkan diri dari memasukinya portal tersebut. Tetapi, ketika proses pencarian mayat di serpihan pangkalan tersebut, seorang ejen bernama Goodluck akan menghantar pemain ke portal tersebut untuk melakukan misi berahsia. Setelah sampai saja ke dunia sebalik portal itu, pemain akan dipindahkan ke kawasan yang bernama Dite, dimana ia dikatakan merupakan satu kawasan dunia asing daripada bumi yang mana ia dipenuhi dengan satu fenomena yang dipanggil Dust dan juga musuh-musuh seakan zombi yang dipanggil Wanderers.
Dari segi penceritaan, permainan ini sememangnya mempunyai penceritaan yang agak panjang dan juga menyeluruh. Walaupun ia tidak langsung berkaitan dengan penceritaan asal daripada siri Metal Gear, ia masih lagi memaparkan penceritaan yang agak menarik buat keseluruhan permainan tersebut. Namun, dari segi kemajuan watak, permainan ini tidak mempunyai sebarang kemajuan watak yang menarik, malah pada pertengahan permainan tersebut, watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini menjadi sangat hambar dan membosankan.
Namun, permainan ini sememangnya memfokuskan bentuk permainan secara solo berbanding multi-pemain kerana ia mempunyai penceritaan yang penuh dan keselurahan permainan tersebut memfokuskan penceritaan solo. Walaubagaimana pun, penceritaan permainan ini bukanlah sesuatu yang menakjubkan, ia juga tidak mempunyai kaitan daripada siri-siri Metal Gear yang lain. Tambahan dengan pengakhiran yang agak mengecewakan, penceritaan permainan Metal Gear Survive agak lemah dan ketika saya bermain dan menghampiri pengakhir permainan ini, saya sudah boleh meramal penceritaannya dan ia menjadi penceritaan yang agak tipikal.
Grafik
Visual grafik Metal Gear Survive sememangnya menarik memandangkan ia menggunakan enjin permainan Fox Engine seperti Metal Gear Solid V: The Phantom Pain, namun begitu ia terhad setakat itu sahaja. Dimana permainan ini tidak mempunyai sebarang peningkatan visual buat enjin tersebut kerana Konami tampaknya tidak mengubahsuai atau menaik-taraf enjin tersebut. Sekaligus dari segi visual, ia terhad ketika tahun 2015 kerana visual grafiknya sememangnya sama dengan permainan sebelum ini. Rekaan watak juga agak mengecewakan dimana, kebanyakkan watak-watak yang terdapat di dalam penceritaan permainan seolah direka dengan menggunakan fungsi rekaan watak yang disediakan di permainan tersebut.
Namun, dengan enjin permainan Fox Engine, permainan ini dimainkan dengan baik sekali di Playstation 4 Pro, dengan resolusi 1080p, permainan ini dimainkan dengan 60FPS dengan sangat lancar. Akan tetapi, ketika saya mencuba bermain permainan ini di Playstation 4 OG, saya menghadapi sebilangan kekurangan FPS(Frame Per Second) sehingga 20FPS dan membuat permainan ini tidak boleh dimainkan. Namun bagi anda yang ingin bermain permainan ini, saya sarankan untuk anda bermainnya di Playstation 4 Pro.
Selain itu, visual kawasan permainan ini sememangnya diambil dari permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain. Bagi anda yang pernah bermain permainan tersebut, anda pasti akan terbiasa dengan kawasan-kawasan yang dipaparkan. Walaupun dari segi rekaan peta sedikit berbeza, permainan ini masih lagi meminjam segala aset-aset kawasan daripada permainan sebelum ini. Menariknya juga, permainan ini juga memijam kawasan daripada kandungan tambahan bahagian 3 daripada Metal Gear Solid V: The Phantom Pain yang hanya dikeluarkan di edisi terhad permainan tersebut.
Dari segi rekaan musuh-musuh pula, rekaan yang dipaparkan agak menarik. Dengan membuang konsep virus-virus zombi seperti kebanyakkan permainan lain, permainan ini meletakkan konsep kristal yang mengubah manusia kepada Wanderers. Menariknya juga, selain daripada zombi biasa, permainan ini juga mempunyai pelbagai jenis musuh, seperti seekor ketam yang boleh bersembunyi di dalam tanah, dan juga musuh-musuh besar seperti ketua musuh dan sebagainya. Setiap rekaan yang dipaparkan sangat menarik dengan menggunakan konsep kristal tersebut. Tambahan juga, terdapat juga sebilangan musuh yang mempunyai rekaan yang besar dan gergasi. Ia sekaligus membuat visual grafik permainan ini sangat menarik dari segi rekaan musuh.
Audio
Tidak banyak yang dapat dikongsikan berkenaan audio permainan ini memandangkan ia menggunakan enjin yang sama dengan permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain, namun dari segi rekaan audio, permainan ini sememangnya memberi kesan yang agak seram. Memandangkan permainan ini meletakkan pemain di dunia yang seakan pasca-apokaliptik, ketika saya bermain permainan ini, ia berjaya membuat saya berasa seram dicampur dengan bunyi amaran ikonik Metal Gear, segala pertembungan dengan musuh membuat saya panik dan seronok untuk dimainkan seperti saya bermain siri Metal Gear sebelum ini.
Seperti Metal Gear Solid The Phantom Pain, dimana pemain berupaya untuk meletakkan lagu ketika memanggil helikopter, fungsi yang hampir sama juga terdapat di dalam permainan ini dimana pemain boleh meletakkan lagu di pangkalan pemain. Lagu-lagu yang boleh diletakkan juga sangat pelbagai dimana perlu menyah-kunci dengan mencari di dalam kawasan-kawasan peta permainan. Terdapat pelbagai muzik dari siri Metal Gear dan juga muzik-muzik anime The Snatcher dan sebagainya.
Namun begitu, dari segi suara latar yang dipaparkan, permainan ini mempunyai pelakon suara latar yang agak hambar tambahan gerakan bibir dan suara latar tidak menyegerakkan. Selain itu, seperti permainan sebelum ini, permainan ini juga terdapat pelbagai pita kaset yang pemain boleh dapati dan mendengar untuk mengetahui lagi penceritaan permainan tersebut. Permainan ini juga memaparkan banyak adegan-adegan yang menarik untuk menggerakkan penceritaan. Namun kebanyakkan dihad dengan adegan penceritaan perbualan seperti sesi Codec daripada siri permainan Metal Gear.
Kawalan Permainan
Memandangkan permainan ini menggunakan enjin permainan Fox Engine, kawalannya hampir sama dengan permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain, namun ia juga mempunyai sebilangan perubahan. Dimana permainan ini lebih memfokuskan bentuk permainan pertahanan hidup yang meletakkan pemain di dalam kawasan terbiar dan pemain perlu membangunkan pangkalan pemain. Dari pencarian makanan, air sehinggalah senjata dan barangan untuk menghasilkan kelengkapan lain, pemain perlu mengurus segala keadaan dan barangan di dalam permainan ini.
Permainan ini juga menitik berat barangan yang dibawa oleh pemain dimana setiap barangan tersebut akan memberi kesan kepada pergerakkan pemain. Seperti permainan Metal Gear Online 3 yang didatang bersama Metal Gear Solid V: The Phantom Pain, kebanyakkan sistem permainan Metal Gear Survive diambil daripada permainan tersebut. Termasuklah berat barangan yang dibawa oleh pemain dan juga senjata-senjata pemain.
Menariknya juga, permainan ini juga memfokuskan pertempuran jarak dekat. Siri permainan Metal Gear sebelum ini kebanyakkannya memfokuskan pertempuran menggunakan senjata api, namun bagi Metal Gear Survive, peluru senjata api sangat terhad, sekaligus pemain dipaksa untuk menggunakan senjata jarak dekat seperti tukul, lembing, parang dan sebagainya. Setiap senjata tersebut juga mempunyai sebilangan serangan yang berbeza dan ia juga akan rosak dari semasa ke semasa dimana pemain perlu sentiasa membaikinya.
Selain itu, permainan ini juga menggunakan konsep pencarian musuh seakan Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriot. Dimana buat ketika permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain, pemain berupaya untuk menanda musuh, Metal Gear Survive mempunyai satu bar gelombang khas di sekeliling pemain yang mempamerkan penunjuk jika musuh semakin mendekati. Ia seolah konsep seakan permainan Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriot yang dilancarkan beberapa tahun lepas.
Dengan menggunakan Kuban Energy sebagai nilai tenaga pemain, pemain juga berupaya untuk menaik-taraf watak pemain tersebut seperti meningkatkan status pemain dan juga mempelajari kemahiran baru. Terdapat sebilangan kemahiran baru yang pemain boleh belajar, seperti keupayaan untuk menjatuhkan musuh, menangkap dan menendang musuh dan juga kemahiran tambahan bersenjata jarak dekat. Namun, segala pernaik-tarafan watak dilakukan dengan menggunakan Kuban Energy, yang mana pemain boleh dapatkan dengan membunuh musuh. Namun, tenaga Kuban Energy tersebut juga digunakkan untuk membuat barangan dan juga menaik-taraf pangkalan.
Pangkalan pemain juga boleh dinaik-taraf dengan meletakkan pagar-pagar untuk mempertahankan pangkalan, dan juga khemah untuk pemain tidur dan sebagainya. Pemain juga berupaya untuk membina kebun untuk menghasilkan makanan seperti kentang, bawang bersama tempat untuk memasak. Selain itu, pemain berupaya untuk rekrut pelbagai watak-watak lain untuk membantu meningkatkan taraf pangkalan dan sebagainya. Untuk menrekrut watak lain, pemain perlu mengembara dan mencari watak tersebut di sekitar kawasan Dite. Dari semasa ke semasa juga, terdapat misi yang mana musuh akan menyerang pangkalan pemain, pada saat itu pemain perlu sentiasa memastikan pangkalan pemain tidak diserang oleh musuh dan jika terdapat kerosakkan, pemain perlu membaikinya.
Pemain juga berupaya untuk menunggang Walker Gear ataupun kenderaan kereta seperti permainan Metal Gear sebelum ini. Selain daripada itu, terdapat juga senjata kendiri seperti mesingan, mortal dan sebagainya. Namun, dukacita kenderaan dan senjata-senjata ini sangat terhad, terutamanya kenderaan seperti Walker Gear. Ia mempunyai had penggunaan dan pemain tidak boleh menghasilkan kenderaan tersebut. Kenderaan tersebut selalunya dijumpai secara rawak dan ia agak terhad dimana ia akan rosak setelah tempoh masa yang digunakan. Sekaligus ia agak mengecewakan memandangkan pemain hanya boleh bergerak secara berjalan kaki.
Pemain akan banyak menghabiskan masa buat keseluruhan permainan ini untuk mengumpul barang, mencari resepi untuk membuat barangan baru dan mengembara di dunia tersebut untuk menyelesaikan misi dan sebagainya. Barangan-barangan yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya agak terhad, ketika saya bermain, 10 jam pertama saya menghadapi kesukaran untuk terus hidup dimana saya sering mati akibat kekurangan makanan dan juga sering diserang musuh. Namun, selepas saya menaik-taraf pangkalan saya dan meningkatkan lagi kemahiran watak saya, saya berasa permainan ini agak senang dan menyeronokkan.
Walaupun begitu, permainan ini sememangnya permainan mempertahankan hidup, dimana pemain perlu menitik berat kelaparan dan kedahagaan watak pemain. Ini kerana, dari semasa ke semasa, watak pemain akan dahaga ataupun lapar dan ia akan memberi kesan terhadap permainan. Jika pemain tidak makan, nilai nyawa pemain akan sentiasa berkurangan tambahan juga jika pemain dahaga, pemain akan sentiasa cepat letih dan stamina pemain akan menjadi terhad. Tambahan juga, untuk mengembara di kawasan yang mempunyai fenomena Dust tersebut, pemain juga perlu menjaga kandungan oksigen pemain, sekaligus pada permulaan permainan ini, ia agak merumitkan kerana pemain perlu ‘mengasuh’ watak pemain dari segala benda.
Selain daripada mengasuh watak pemain, pemain juga perlu mengasuh keseluruh pangkalan pemain. Dari tugasan untuk merawat watak-watak lain, dan juga mengurus segala permakanan pangkalan. Ini membuat permainan ini agak rumit dengan pelbagai mikro-pengurusan yang pemain perlu lakukan. Namun, bagi mereka yang menyukai permainan sebegini, anda pasti akan menyukai sistem tersebut dimana ia agak mendalam berbanding kebanyakkan permainan pertahanan hidup yang lain.
Namun, antara perkara yang paling mengjengkelkan bagi saya adalah kandungan mikro-transaksi bagi permainan ini. Kebanyakkan sistem yang terdapat di dalam permainan ini, dikunci dengan mikro-transaksi. Mikro-transaksi permainan ini digunakan melalui SV Coins, dimana pemain berupaya untuk membelinya bermula harga RM4 untuk 100 SV Coins. Namun, sebilangan kandungan yang dikunci memerlukan nilai SV Coins yang agak tinggi, contohnya adalah slot tambahan watak bagi permainan ini. Secara asasnya, pemain hanya berpeluang untuk menggunakan satu watak sahaja, namun jika pemain ingin menambahkan watak, pemain perlu membeli slot tambahan watak tersebut dengan harga 1000 SV Coins. Walaupun SV Coins boleh didapati secara percuma melalui bonus log-masuk harian, tetapi nilai yang didapat setiap hari hanyalah 30 SV Coins sahaja, dan juga pemain ingin membuat watak kedua, pemain perlu membeli SV Coins sekurang-kurangnya 1000 SV Coins, ataupun membeli SV Coins bernilai 1150 dengan harga RM36.
Selain daripada slot tambahan watak, terdapat lagi pelbagai kemudahan yang dikunci melalui mikro-transaksi, seperti slot tambahan untuk fungsi pencarian barang buat watak pangkalan dan sebilangan slot tambahan untuk kelengkapan pemain. Walaupun permainan ini hanyalah berharga RM139 secara digital di Playstation Store, pengucian kemudahan yang dihalang oleh mikro-transaksi membuat permainan ini akan mengjengkelkan dan mungkin agak menyukarkan bagi mereka yang bermula main permainan ini.
Walaupun begitu, mikro-transaksi yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya tidak memberi kesan terhadap keseimbangan permainan, malah ia hanya berfungsi sebagai jalan pintas bagi mereka yang ingin mendapat barangan cepat, ataupun watak tambahan sahaja. Dari segi mod multi-pemain, ia tidak memberi sebarang kesan lain. Namun begitu, ia masih lagi agak rumit malah mengjengkelkan apabila kebanyakkan kemudahan yang disediakan, dikunci dengan wang nyata.
Mod Multi-Pemain
Salah satu anggapan yang salah oleh pemain lain adalah Metal Gear Survive bukanlah sebuah permainan yang memfokuskan multi-pemain. Sememangnnya ia mempunyai mod multi-pemain dimana pemain berupaya untuk bermain secara koperasi bersama tiga lain pemain lain secara atas-talian, namun permainan ini lebih fokus kepada mod permainan secara solo. Tetapi bagi mereka yang ingin mencuba mod multi-pemain, Konami sememangnya menyediakan mod tersebut untuk mereka yang berminat.
Mod multi-pemain yang terdapat di dalam permainan ini hanyalah memfokuskan mod horde dimana pemain perlu bertahan dengan serangan musuh secara berperingkat. Mod ini dipanggil Salvage Mission, yang meletakkan pemain di dalam satu kawasan yang luas dan pemain perlu menahan perkakas Wormhole Digger, daripada diserang oleh musuh. Musuh-musuh akan menyerang perkakas tersebut secara berperingkat, dan pemain perlu membunuh musuh dengan meletakkan perangkap, meletakkan pagar dan sebagainya untuk memastikan musuh tidak melepasi kawasan pertahanan sebut. Dengan pelbagai senjata dan perangkap, pemain perlu memastikan perkakas Wormhole Digger tersebut berjaya menggali portal sehingga tamat, dan jika pemain berjaya, pemain akan mendapat pelbagai ganjaran dan segala ganjaran tersebut boleh digunakan ketika mod permainan secara solo.
Sememangnya mod multi-pemain tidak memberi sebarang kesan dari segi penceritaan, namun mod ini sangat sesuai bagi mereka yang tidak ingin mengembara mencari barang ataupun Kuban Energy, dan hanya ingin bertempur dan menahan serangan dari musuh bersama rakan-rakan. Walaupun begitu, mod multi-pemain yang terdapat di dalam permainan ini hanyalah mod ini sahaja. Selain itu, terdapat pelbagai misi yang pemain boleh sertai dan terdapat juga misi-misi yang lebih sukar dimana terdapat sebilangan musuh-musuh yang kuat termasuklah penampilan musuh daripada siri Metal Gear lain.
Kesimpulan
Akhir kata, Metal Gear Survive sememangnya sebuah permainan pertahanan hidup yang baik. Ia mempunyai bentuk permainan yang agak mendalam dengan pelbagai kandungan, senjata dan sebagainya. Namun, bagi anda yang ingin bermain permainan Metal Gear yang memfokuskan penyusupan senyap, Metal Gear Survive sememangnya bukan permainan tersebut. Ketika saya bermain permainan ini, ia mengingatkan saya dengan permainan Fallout 4 ataupun Dragon Quest Builder dimana ia mempunyai konsep yang hampir sama. Tambahan, permainan ini juga mempunyai kandungan yang lebih mendalam berbanding permainan itu malah bagi saya ia antara permainan pertahanan hidup yang sangat menarik.
Menariknya juga, setelah pemain tamat bermain, permainan ini mengandungi pelbagai lagi kandungan lain dimana pemain berupaya untuk mengembara lagi di dalam dunia permainan tersebut, disamping mengalahkan sebilangan ketua musuh rahsia dan mengumpul lagi barangan dan senjata yang berkuasa tinggi yang mana pemain berupaya untuk menggunakannya ketika bermain secara multi-pemain. Tambahan dengan kemaskini dan bonus barangan log-masuk yang dilakukan oleh Konami, kami percaya pada masa akan datang Konami akan menyertakan lagi pelbagai kandungan baru buat permainan tersebut.
Walaupun begitu, bentuk permainan Metal Gear Survive yang mempunyai pelbagai mikro-pengurusan dan juga sebilangan kemudahan yang dikunci oleh mikro-transaksi, permainan ini membuat saya berasa ia agak mengjengkelkan untuk dimainkan. Walaupun penceritaannya agak menarik, tetapi dari segi kemajuan watak dan pengakhiran permainan ini ia agak mengecewakan. Dicampur dengan kesukaran untuk 10 jam pertama, saya berasa mungkin tidak ramai akan menyukai permainan ini.