Setiap kali ada perbincangan mengenai keperluan untuk adanya kotak tikam di dalam permainan video, permainan dari CD Projekt Red (CDPR) iaitu The Witcher 3 sering digunakan sebagai contoh untuk menunjukkan kotak tikam tidak diperlukan untuk satu permainan video boleh membuat keuntungan.
Kebiasaan kita hanya dengar dari pemain tetapi kali ini melalui temubual bersama PC Gamer, Pengasas Bersama CDPR Marcin Iwinski sendiri mengulas mengenai kontroversi kotak tikam yang tercetus bermula dari permainan EA iaitu Battlefront II.
Menurut beliau, apa yang kita lihat melalui kontroversi ini boleh dikatakan sebagai tindak balas dari pemain, bukan sahaja pemain tegar tetapi juga pemain-pemain biasa yang mula muak dengan kotak tikam.
Tambah beliau, apabila pemain membayar harga yang penuh untuk sesuatu permainan, pemain seharusnya mendapat permainan yang penuh dengan pengisian.
Pengisian ini mungkin berbeza mengikut permainan akan tetapi bagi mereka, pengisian ini sekurangnya memberi dari 50 hingga 60 jam untuk penceritaan utama, dan 100 jam untuk penceritaan dan aktiviti sampingan.
Apabila bercakap mengenai kandungan tambahan, bagi mereka The Witcher 3 sendiri mempunyai penambahan yang berbayar tetapi kandungan penambahan ini juga perlu mempunyai pengisian yang penuh. Penambahan yang kecil-kecil akan diberi secara percuma.
Untuk permainan yang percuma dimainkan, menurut beliau perlu berlaku adil terhadap pemain dan pemain harus diberikan pilihan untuk membayar ataupun bermain dengan lebih lama untuk mendapat sesuatu yang sama.
Apabila pemain merasakan pembangun cuba untuk mendapat wang dari pemain secara tidak adil, pemain akan bersuara dan ini adalah sesuatu yang baik untuk industri agar mereka perubahan boleh berlaku.
Ulasan dari CDPR ini adalah sesuatu yang baik untuk pemain kerana sekurangnya masih ada pembangun yang betul-betul menjaga pemain mereka. Ulasan ini juga konsisten dengan kenyataan mereka sebelum ini yang mengatakan ingin membiarkan ketamakan kepada pembangun lain.