Informasi Permainan Video Terkini
System Software 5.50 PlayStation 4 Akan Membawakan Fungsi Had Masa Bermain, Memadam Notifikasi Dan Banyak Lagi

System Software 5.50 PlayStation 4 Akan Membawakan Fungsi Had Masa Bermain, Memadam Notifikasi Dan Banyak Lagi

Diterbitkan pada Feb 6, 2018 oleh .

Ujian beta bagi System Software 5.50 untuk PlayStation 4 bermula hari ini. Oleh itu Sony telah berkongsi fungsi-fungsi baru yang bakal diperkenalkan oleh kemaskini yang diberikan kod nama Keiji. Berikut ialah senarai lengkap fungsi-fungsi yang kami pasti akan mempertingkatkan keseronokan bermain pada konsol ini.

Play Time Management – Fungsi Menghadkan Masa Bermain

Sekiranya anda mempunyai anak, pasti anda tidak mahu mereka leka bermain sehingga lupa duniawi. Dengan System Software 5.0, fungsi Play Time Management diperkenalkan. Ibu bapa boleh menghadkan tempoh waktu bermain atau waktu-waktu yang dibenarkan. Anak-anak boleh dihalang dari bermain pada hari sekolah misalnya. Apabila had masa hampir habis, notifikasi akan muncul pada bucu atas sebelah kiri skrin. Dengan menggunakan PC atau aplikasi telefon pintar PlayStation. ibu bapa boleh mengubah kedua-dua had ini dengan mudah.

Kemaskini Antaramuka Perpustakaan

Antaramuka perpustakaan permainan PlayStation dikemaskini bagi memudahkan carian serta saringan permainan. Pengguna boleh menyaring permainan yang sudah dimuat turun ke konsol dengan lebih mudah.

Aplikasi juga boleh disorokkan dari dipaparkan pada antarmuka perpustakaan dengan fungsi Hide Apps. Dengan ini tiada lagi rasa malu kerana membeli permainan kurang berkualiti seperti Watch Dogs atau The Order.

Terdapat juga tab khas untuk PlayStation Plus. Permainan yang diterima percuma menerusi langganan PS Plus kini boleh dilihat di dalam senarai khas. Sekiranya langganan tamat, ikon mangga akan muncul pada ikon permainan.

Memadam Notifikasi

Tidak semua notifikasi yang diterima mempunyai kandungan yang ingin dibaca. Sebagai contoh notifikasi ajakan menyertakan permainan dari rakan hanya menyemakkan. Pengguna kini boleh memilih notifikasi yang ingin dipadamkan dari dipaparkan pada skrin notifikasi.

Import Gambar Latar Belakang Dari Pemacu USB

Fungsi menggunakan gambar latar belakang dari screenshot yang diambil diperkenalkan pada kemaskini System Software 4.50. Dengan System Software 5.50 anda kini boleh menggunakan sebarang gambar yang diimport terus dari pemacu USB. Ini boleh dilakukan menerusi Settings > Themes > Select Theme > Custom > Select Image > USB Storage Device.

Supersampling

Jika anda mempunyai sebuah PS4 Pro tetapi tiada TV 4K UHD, anda kini boleh mengaktifkan mod supersampling. Output 4K boleh dipaparkan pada skrin TV 1080P anda. Mod supersampling memang ada disokong pada sesetengah permainan. Tetapi pada permainan yang tidak menyokongnya, supersampling boleh dinikmati terus dari perisian sistem.

Kawalan Muzik Dari Quick Menu

Quick Menu boleh dipaparkan dengan menekan butang PS pada DualShock 4 selama beberapa saat. Kini anda boleh mengawal pemain muzik dengan menekan kotak untuk mengawal suara dan tiga segi untuk memain/menghentikan pemain muzik.

Muzik Latar Belakang Ketika Menggunakan PS Now

Ini mungkin tidak relevan bagi pengguna di Malaysia tetapi anda kini boleh menstrim muzik latar belakang ketika menggunakan perkhidmatan PS Now.

Berikut adalah fungsi-fungsi menarik yang dikongsi. Apakah fungsi yang paling mengujakan bagi anda?