Informasi Permainan Video Terkini
Sesi Temu Ramah Bersama Ichiro Hazama dan Takeo Kujiraoka Penerbit dan Pengarah Dissidia: Final Fantasy NT

Sesi Temu Ramah Bersama Ichiro Hazama dan Takeo Kujiraoka Penerbit dan Pengarah Dissidia: Final Fantasy NT

Diterbitkan pada Jan 25, 2018 oleh .

Bersempena pelancaran kafe bertemakan Final Fantasy, Ichiro Hazama dan Takeo Kujiraoka iaitu penerbit dan pengarah untuk Dissidia: Final Fantasy NT turut turun selain untuk menyokong kafe ini mereka juga berkongsi mengenai Dissidia: Final Fantasy NT yang akan dikeluarkan 30 Januari ini.

Untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini, kami juga sempat menemu ramah mereka berdua. Temu ramah ini sudah diringkaskan untuk pembacaan.

Tarikh Dissidia dikeluarkan adalah hampir dengan Dragonball FighterZ dan juga Monster Hunter World, adakah ini akan memberi kesan kepada jualan Dissidia? Semasa tarikh ini dipilih adakah kedua permainan ini ada di dalam perancangan?

Sudah semestinya ia akan memberi kesan tetapi kami memilih untuk mengeluarkan permainan ini tidak jauh dengan ulang tahun ke 30 Final Fantasy iaitu pada bulan Disember tahun lepas. PlayStation 4 juga akan terus menerima permainan baru setiap bulan, seperti God of War jadi kami tidak boleh lari dari persaingan.

Mengapa anda membuat keputusan untuk mengeluarkan permainan ini di PlayStation 4 sedangkan sebelum ini dikeluarkan untuk PSP?

Pada awal pembangunan kami bercadang untuk mengeluarkan permainan ini untuk PlayStation 4 dan juga PS Vita tetapi selepas mengambil kira apa yang kami cuba untuk capai melalui permainan ini PlayStation 4 adalah lebih sesuai. Kami juga ingin mencipta sesuatu yang baru berkenaan permainan ini dan pemain sudah semestinya menginginkan konsol yang terbaru. Selepas perbincangan dengan Team Ninja, kami mengambil keputusan yang PlayStation 4 adalah tempat terbaik untuk permainan ini.

Adakah akan ada mod 1v1 di masa hadapan?

Fokus kami untuk Dissidia buat masa ini adalah bermain secara berkumpulan iaitu 3v3 dan kami tiada perancangan untuk menambah mod 1v1. Tambahan, untuk masa sekarang keseimbangan watak dalah untuk mod 3v3, jika ingin melakukan 1v1 satu sistem berlainan harus dibuat kerana akan ada watak yang jauh lebih baik berbanding watak lain di dalam 1v1. Dalam permainan ini juga ada mod untuk 1v1 tetapi terhad untuk bermain dengan rakan sahaja.

Baru-baru ini pertandingan Dissidia Wednesday Night Fight dianjurkan oleh Square Enix, adakah e-sukan untuk Dissidia akan terus dikembangkan?

Kami masih baru dalam arena e-sukan, tetapi berdasarkan reaksi dari pemain dan komuniti sudah semestinya kami mempunyai minat untuk ke arena ini. Bahkan semasa permainan ini ditambah baik, e-sukan antara menjadi pertimbangan kami. Selagi ada permintaan dari komuniti, kami akan terus berusaha untuk kembangkan Dissidia sebagai e-sukan.

Semasa sesi beta, kami merasakan permainan di atas talian agak lagging adakah akan ada peningkatan apabila permainan ini dikeluarkan nanti?

Kami semestinya menyedari mengenai masalah ini dan kami akan terus bekerja untuk meningkatkan kualiti permainan di atas talian. Dissidia juga mengunakan sistem yang disediakan oleh Sony dan sudah semestinya Sony akan menambah baik sistem ini.

Dissidia: Final Fantasy NT adalah permainan perlawanan yang dibangunkan oleh Team Ninja dan dikeluarkan oleh Square Enix. Permainan ini mengandungi watak-watak dari siri Final Fantasy dan ia bakal dilancarkan pada 30 Januari 2018 di Playstation 4.