Siri permainan peperangan Battlefield sememangnya terkenal dengan bentuk permainan penembak pandang pertama dengan kawasan yang luas dengan pelbagai kenderaan yang boleh dipandu oleh pemain. Siri ini juga terkenal dengan meletakkan satu kawasan permainan sebanyak 64 pemain secara serentak di dalam satu peta kawasan dan pemain akan bertempur secara berpasukan, iaitu 32 pemain berlawan dengan 32 pemain lain.

Terkini, Battlefield kembali dengan Battlefield V ataupun Battlefield 5 yang memfokuskan era perang dunia kedua. Dimana Battlefield 1 sebelum ini memfokuskan perang dunia pertama, sekaligus permainan ini sememangnya adalah satu bentuk ‘sekuel’ kepada permainan tersebut. Walaupun begitu, dari segi kandungan mahupun penceritaan, ianya mempunyai kandungannya tersendiri.

Selain itu, EA juga membawa kelainan melalui Battlefield V kali ini dimana mereka tidak lagi melancarkan pas Premium seperti permainan Battlefield sebelum ini dan memfokuskan kandungan percuma yang dilancarkan secara berperingkat.

Permainan ini dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 20 November 2018 lepas. Saya berkesempatan untuk mencuba permainan ini di konsol Xbox One X dan ini adalah ulasan saya.

Cerita

Dari segi penceritaan, permainan ini sekali lagi membawa bentuk penceritaan ‘War Stories’ seperti Battlefield 1 dimana ianya dibahagikan mengikut episod. Setiap episod ‘War Stories’ tersebut dibahagikan melalui watak dan lokasi yang berbeza dan ketiga-tiga adalah penceritaan bertempatkan ketika perang dunia kedua berdasarkan perspektif yang berbeza.

Secara asasnya, ianya merupakan bentuk yang menarik, namun apa yang mengecewakannya adalah setiap satu penceritaannya boleh dihabiskan dengan beberapa jam sahaja. Tambahan itu, EA juga mengehadkan beberapa penceritaan dimana terdapat sebahagian penceritaan akan dilancarkan secara berperingkat.

Walaupun begitu, kandungan penceritaannya sendiri agak menarik dengan pelbagai perspektif oleh watak-watak yang disampaikan. Namun, dengan kandungan yang agak sedikit dan terhad dicampur dengan penceritaan yang sangat pendek dengan terlalu banyak watak berbeza. Ianya berasa seolah satu penceritaan yang agak terbantut dan hanya diletakkan sebagai sekadar ada sahaja untuk bentuk permainan secara solo.

Seperkara lagi yang saya tidak menyukai berkenaan penceritaan di dalam Battlefield V adalah kali ini EA terlalu ingin memfokuskan penceritaan disebalik peperangan dunia kedua sekaligus mereka tidak menyertakan beberapa kawasan ataupun penceritaan ikonik di dalam perang dunia kedua seperti peperangan Normandy ataupun D-Day.

Namun, saya sendiri memahami kenapa EA tidak menyertakannya atas sebab mereka ingin memfokuskan penceritaan disebalik peperangan tersebut dan tidak ingin mengulang tema yang sama yang dilakukan oleh permainan Battlefield sebelum ini ataupun oleh francais lain. Akan tetapi, dengan tidak menyertakan peperangan ikonik di era perang dunia kedua, ianya agak menghampakan bagi saya. Ini kerana saya sebagai seorang peminat, ingin melihat bagaimana enjin permainan terkini mereka, Frostbite 3 memaparkan peta-peta kawasan ikonik dari perang dunia kedua tersebut.

Sehubungan dengan itu, memandangkan EA ke arah kandungan percuma dan kemaskini permainan sebagai satu servis, mereka sendiri mungkin akan membawa lokasi-lokasi tersebut ataupun penceritaannya sebagai kandungan percuma pada masa akan datang. Namun, ketika ulasan ini ditulis EA sememangnya tidak menyertakannya ketika pelancaran permainan ini.

Grafik

Tidak dapat dinafikan enjin permainan Frostbite 3 oleh DICE merupakan salah satu enjin permainan yang mempunyai visual yang sangat cantik dengan foto realistik yang memuaskan. Memandangkan permainan Battlefield V menggunakan enjin tersebut, sememangnya visual grafik permainan ini sangat memberansangkan dimaana ia memberi kesan visual yang tinggi dan pendapat saya ianya adalah satu asset terbaik oleh EA. Menariknya juga, enjin permainan ini juga digunakan untuk siri permainan FIFA dan juga permainan EA akan datang iaitu Anthem.

Bukan sahaja setiap rekaan watak dihasilkan dengan baik, malah persekitaran yang dipamerkan adalah sangat menawan dan setiap kali saya bermain, saya sering terpegun dengan visual kawasan yang luas, cantik dan juga kesan cahaya yang pasti membuat saya berasa ia sangat realistik.

Tambahan itu, permainan ini saya mainkannya di konsol Xbox One X dan sukacitanya ianya dimainkan dengan resolusi 4k bersama-sama kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS. Walaupun terdapat beberapa saat dimana kadar bingkai sesaat tersebut terjatuh, namun ianya masih lagi stabil dan tidak memberi kesan sesi permainan yang terlalu teruk. Pada pendapat saya, prestasinya sememangnya sangat baik dan untuk mengekalkan kadar sebanyak 60FPS untuk permainan yang berskala luas sebegini, merupakan satu perkara yang saya harus puji buat DICE.

Audio

Tidak banyak yang saya boleh katakan berkenaan audio permainan ini kerana DICE tidaklah menggunakan jalan pintas untuk penghasilan audio permainan ini. Kesemua audio yang dipaparkan mempunyai kesan yang sangat berkualiti tinggi. Dari bunyi tembakan, sehinggalah bunyi kenderaan, kesemua dihasilkan dengan baik.

Tambahan itu, apa yang saya suka berkenaan audio permainan ini adalah ketika nyawa pemain rendah, bunyi-bunyi gema termasuklah kesan bom kilat, kesemuanya memberi satu kesan efek yang sangat baik. Namun, ini bukanlah sesuatu yang baru memandangkan kesan-kesan efek bunyian seperti ini adalah sesuatu yang dijangkakan untuk permainan yang bertarafkan AAA.

Selain itu, saya juga menghargai dimana suara-suara latar yang dipaparkan dilakonkan oleh suara latar berbahasa asli. Namun, ini juga mungkin akan memberi kesan negatif buat mereka yang tidak menyukai membaca sarikata ketika bermain permainan video. Saya sendiri juga menghadapi kesukaran untuk memahami monolog watak-watak tersebut memandangkan sarikata dipaparkan ketika sesi peperangan dan saya tidak berkesempatan untuk membacanya.

Walaupun begitu, saat ataupun adegan tersebut tidaklah sering dipaparkan malah kebanyakkan adegan monolog ketika sesi permainan dilakukan ketika pemain tidak bertempur ataupun ketika pemain ingin bergerak dari satu tempat ke satu tempat sahaja.

Kawalan Permainan

Semestinya kawalan permainan adalah perkara paling penting di dalam siri Battlefield dan kali ini, Battlefield V pada pendapat saya ianya mempunyai bentuk permainan yang baik. Secara asasnya, kesemua fungsi-fungsi menembak, menaiki kenderaan, Battlefield V tidaklah begitu berbeza dengan siri sebelum ini. Malah saya berasa ianya hampir sama dengan kesemua siri Battlefield sebelum ini.

Akan tetapi, terdapat juga beberapa perbezaan lain seperti senarai senjata, kenderaan dan juga kelas watak. Seperti permainan Battlefield sebelum ini, watak berdasarkan kelas kembali dimana Battlefield V juga menyertakan empat kelas yang berbeza yang mana ianya terdiri daripada Assault, Medic, Support dan Recon. Namun kelas watak ini digunakan untuk bentuk multi-pemain sahaja dimana saya akan kongsikannya lebih lanjut dibahagian multi-pemain dibawah.

Dari segi kawalan melalui bentuk solo yang lain, tidak banyak perkara yang saya boleh katakan. Setakat ini, terdapat empat penceritaan ‘War Stories’ iaitu Under No Flag, Nordlys, Tirailleur dan The Last Tiger. Kesemua penceritaan tersebut dimainkan secara hampir serupa. Namun terdapat juga beberapa bentuk yang berbeza dimana bagi War Stories Nordlys, pemain akan bermula bermain dengan berski di pergunungan salji. Tetapi ianya tidaklah begitu memberi kesan yang berbeza malah ianya hanya sebahagian daripada misi tersebut sahaja.

Selain itu, dari segi penggunaan kenderaan seperti kereta kebal ataupun kapal terbang, ianya seperti mana yang anda mainkan ketika permainan Battlefield yang lain. Anda berupaya untuk menembak, memandu dan bertempur sepanjang misi melalui kenderaan tersebut.

Menariknya juga, bagi anda yang menghabiskan penceritaan permainan tersebut, anda juga akan mendapat sebilangan ganjaran yang anda boleh gunakan untuk mod multi-pemain di dalam permainan ini. Malah menurut EA, mereka juga akan menyertakan beberapa kandungan baharu secara percuma pada masa akan datang.

Namun, ianya adalah terhad setakat itu sahaja, ini kerana pada pendapat saya, permainan ini dilancarkan dalam keadaan yang sangat terbantut dengan pelbagai kandungan dikunci dan ia akan dilancarkan kemudian. Sememangnya bentuk permainan sebagai satu servis adalah menarik. Walaupun begitu, ianya berasa agak menghampakan kerana terdapat beberapa kandungan yang dikunci dan untuk membeli permainan dengan harga penuh berasa agak merugikan.

Tambahan itu, Battlefield V juga tidak mempunyai sebarang bentuk yang baharu malah ianya berasa seolah sama dengan permainan Battlefield 1 sebelum ini namun dengan hanya senjata perang dunia kedua bersama misi dan kawasan era tersebut sahaja.

Dari segi mod permainan multi-pemain bersama-sama pengubah-suaian watak dan kenderaan saya akan kongsikan dibahagian multi-pemain dibawah. Ini kerana mod tersebut hanya memberi kesan buat mod multi-pemain sahaja dan ianya tidak berkaitan dengan mod solo permainan ini.

Mod Multi-Pemain

Dari segi bentuk multi-pemain, seperti yang saya kongsikan di atas, permainan ini memfokuskan empat kelas watak yang berbeza dimana setiap satunya mempunyai kelengkapan dan kemahiran yang berbeza seperti Medic berupaya untuk menghidupkan semula pemain lain. Selain itu, kelas Recon pula memfokuskan senjata serangan jarak jauh seperti senapang penembak tepat dan sebagainya. Kelas Assault pula memfokuskan bentuk serangan yang kuat seperti senjata-senjata untuk menewaskan kereta kebal manakala Support pula memfokuskan bentuk berkongsi peluru buat pasukan dan juga pembinaan kubu yang lebih pantas.

Sememangnya setiap kelas watak permainan tersebut mempunyai kemahiran yang berbeza dan pemain perlu bekerjasama untuk menewaskan musuh dengan menggunakan kelebihan masing-masing untuk kelas watak tersebut. Ini juga memberi sedikit kepelbagaian ketika sesi permainan. Namun, secara asasnya, kesemua kelas tersebut tidaklah begitu banyak berbeza.

Malah seperti permainan Battlefield sebelum ini, bentuk berpasukan ataupun ‘Squad‘ juga kembali dan seperti biasa pemain akan bergerak dan membantu sama lain di dalam pasukan tersebut. Menariknya, pemain juga berupaya untuk menghidupkan kembali sesama ahli pasukan tidak mengira kelas. Namun, tindakan tersebut akan menjadi lebih pantas bagi kelas Medic.

Selain itu permainan ini juga membenarkan pemain untuk mengubah-suai watak-watak pemain dengan pelbagai kostum dan hiasan kosmetik. Sememangnya perhiasan tersebut boleh dibeli melalui permainan tersebut. Namun buat masa ini, EA masih belum menyertakan sebarang kandungan mikro-transaksi. Menurut mereka, ianya bakal tiba pada masa akan datang dan akan dihadkan sebagai kandungan kosmetik sahaja.

Dari segi mod multi-pemain pula, permainan ini menyertakan sebilangan mod multi-pemain yang mereka lancarkan sebelum ini seperti mod Conquest yang pasti menjadi kesukaan pemain dengan kawasan peperangan yang meletakkan 64 pemain dan pemain berebut lokasi permainan yang sangat luas. Mod ini juga akan membenarkan pemain untuk berperang dengan pelbagai jenis kenderaan darat mahupun udara. Walaupun begitu, pada pendapat saya, lokasi yang tersedia masih lagi sedikit ketika pelancaran permainan tersebut.

Selain itu, mod lain seperti Breakthrough, Frontlines, Domination dan Team Deathmatch juga kembali di dalam permainan Battlefield V. Dari segi perbezaannya, hampir kesemuanya merupakan bentuk yang hampir serupa dengan permainan sebelum ini.

Terdapat juga mod terbaru iaitu mod Grand Operations yang mana ianya adalah hasil dikembangkan daripada mod Operation sebelum ini. Grand Operation adalah mod multi-pemain berperingkat yang mana pemain akan dibahagi kepada dua pasukan untuk menahan dan menyerang. Menariknya ianya memfokuskan bentuk berperingkat yang memerlukan pemain untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi.

Apa yang membuatkan Grand Operations ini berbeza adalah ianya dikembangkan lagi dalam bentuk berperingkat ‘hari’ sekaligus memberi satu pengalaman seakan naratif buat pemain. Setiap ‘hari’ tersebut memberi kesan yang berbeza untuk hari kedua dan seterusnya buat pemain. Jika pemain berjaya melakukan sesuatu misi, ianya akan memberi sebilangan kelebihan buat ‘hari’ kedua dan sebagianya. Menariknya juga, mod Grand Operation ini juga adalah sangat lama dan memerlukan strategi yang lebih mendalam. Buat mereka yang menyukai mod Operations sebelum ini, pasti akan menyukainya apa yang DICE kembangkannya.

Walaupun begitu, seperkara yang saya tidak menyukainya adalah ketika saya bermain di Xbox One X, saya menghadapi masalah dari segi mencari pemain dari pelayan Asia. Sekaligus, tidak banyak misi Grand Operations yang saya boleh cuba dan jika saya ingin menyertai pelayan dari negara luar, ianya agak perlahan dan sering membuat sesi permainan saya terbantut.

Ini juga merupakan satu lagi masalah iaitu buat anda yang ingin bermain permainan ini, saya sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkannya di PC ataupun di Playstation 4. Ini kerana bagi platform konsol Xbox One, ianya agak mengecewakan dengan nilai pemain di pelayan Asia yang agak sedikit, membuatkan saya sukar untuk mencari pemain di dalam pelayan yang stabil.

Selain itu satu lagi perkara yang mengecewakan di dalam Battlefield V adalah kandungan yang masih belum dilancarkan oleh EA. Ini kerana, EA menjanjikan bahawa permainan Battlefield V akan menjadi satu servis dimana mereka akan melancarkan pelbagai kandungan secara berperingkat.

Namun, ini juga memberi kesan yang negatif kerana ianya berasa seolah masih terdapat banyak kandungan yang dikunci oleh EA. Contohnya adalah mod pertempuran royale, Firestorm yang mana EA menjanjikan ianya bakal tiba sekitar Mac 2019, lima bulan selepas permainan tersebut dilancarkan. Ini bukan sahaja membuat pemain berasa kandungan tergantung dan tidak lengkap, malah untuk mereka yang membeli permainan tersebut dengan harga penuh akan berasa ianya kurang berbaloi walaupun kandungan-kandungan tersebut akan tiba secara percuma.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan berkenaan permainan Battlefield V adalah ianya sememangnya satu permainan peperangan yang menarik. Visual dan audio yang berkualiti di campur dengan bentuk kawalan permainan Battlefield yang sangat menyeronokkan dimainkan secara solo mahupun multi-pemain. Tambahan itu, dengan penyertaan pelbagai senjata dan bentuk pengubah-suaian yang hanya memfokuskan kosmetik bersama kawalan penembakan yang baik, permainan ini berpontensi untuk menjadi salah satu permainan penembak peperangan yang saya sangat sukai untuk tahun ini.

Namun begitu, ianya masih lagi terhad dengan pelbagai lagi kandungan yang akan dilancarkan kemudian sekaligus membuat pemain yang mendapatkannya lebih awal berasa kurang berbaloi. Malah mod pertempuran royale, Firestorm juga akan dilancarkan 5 bulan selepas ianya dilancarkan sememangnya adalah satu perkara yang sangat mengecewakan.

Tindakan EA untuk membuat permainan sebagai satu servis membuahkan permainan ini tidak berbaloi untuk mendapatkannya secara awal dengan harga penuh. Bahkan saya sendiri mengesyorkan anda untuk mendapatkannya setelah bentuk pertempuran Royale tiba, iaitu sekitar Mac 2019 kelak dan saya pasti ketika itu, EA akan mengadakan promosi jualan dengan harga yang lebih murah.

Sohor Kini