Melalui laman rasmi sokongan permainan Super Smash Bros. Ultimate, Nintendo tampaknya menyenaraikan bahawa DLC kostum buat Mii Fighters bakal kembali.

Melalui senarai tersebut, DLC tersebut akan berharga $0.75(~RM3.50) untuk setiap satu kostum. Berdasarkan senarai tersebut juga, DLC tersebut akan tiba pada tahun 2019 kelak.
Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaannya, DLC kostum Mii Fighter sebelum ini diumumkan buat permainan Super Smash Bros. di Nintendo Wii U dimana Nintendo menyediakan pelbagai bentuk rupa kostum yang berlainan untuk watak Mii Fighters.
Menariknya, kostum-kostum yang disediakan oleh Nintendo sebelum ini membolehkan pemain meletakkan pelbagai jenis kostum dari pelbagai francais permainan seperti Mega Man, Virtua Fighter dan sebagainya. Walaupun begitu, kostum tersebut hanyalah hiasan kosmetik sahaja dan tidak akan menjejaskan bentuk permainan tersebut.
Super Smash Bros. Ultimate merupakan siri Super Smash Bros terbaru yang dilancarkan di konsol Switch beberapa minggu lepas. Ianya adalah permainan perlawanan yang memfokuskan pelbagai watak dari permainan Nintendo dan juga pelbagai lagi dari francais permainan lain. Sebelum ini, Nintendo juga mengumumkan bahawa Joker dari Persona 5 juga bakal tiba sebagai watak DLC buat permainan tersebut.