Skip to main content

Pengalaman saya bermain permainan video berdasarkan sukan adalah terhad untuk permainan bola sepak sahaja iaitu siri FIFA oleh EA ataupun Pro Evolution Soccer oleh Konami. Selain pada itu, hanya terhad untuk permainan secara kasual, seperti bermain besbol di telefon pintar.

Apabila diberi peluang untuk mencuba dan mengulas permainan sukan berdasarkan bola keranjang, boleh katakan ia adalah sesuatu perkara yang baharu buat saya. Bola keranjang bukanlah sukan yang saya mengikuti, selain mengenali siapa itu Lebron James dan Stephen Curry tetapi tidak banyak pengetahuan lain.

Terdapat pelbagai permainan video berdasarkan bola keranjang di pasaran. Namun, untuk ulasan kali ini, saya ingin berkongsi pendapat saya mengenai NBA2K19 yang dibangunkan oleh Visual Concept dan diterbitkan oleh 2K Games bersama dengan 2K Sport pada 7 September 2018 untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC. Jika anda berminat ingin mengetahui lanjut mengenai permainan video bola keranjang ini, berikut adalah ulasan saya

Kawalan Permainan

Apabila bercakap mengenai permainan video berdasarkan sukan, bagi saya, sesuatu yang penting adalah kawalan permainan. Apabila anda membuka sesuatu permainan video sukan, tidak kira bola sepak ataupun bola keranjang, kawalan permainan adalah sesuatu yang anda harus tahu terlebih dahulu.

Untuk permainan ini, bagi kawalan biasa seperti bergerak, berlari, menukar pemain, adalah sesuatu yang asas dan tidak banyak perbezaan dengan permainan video sukan yang lain. Berbeza apabila bercakap mengenai kawalan permainan untuk menjaring serta bertahan. Saya boleh katakan, kawalan permainan untuk dua bahagian penting tersebut sangat memerlukan pembelajaran yang lama.

Bukan untuk menjadi pakar, akan tetapi sekadar untuk membiasakan diri sahaja sudah mengambil masa yang lama. Bagi kawalan menjaring, terdapat satu senarai panjang yang memperlihatkan cara berbeza untuk menjaring. Kawalan berbeza ini bukan sahaja untuk memberikan gaya yang berbeza akan tetapi untuk digunakan pada sesuatu masa dan keadaan yang berbeza.

Selain itu terdapat juga “kadar masa lepasan” yang memainkan peranan penting untuk menentukan anda akan melakukan jaringan ataupun tidak. Apabila anda cuba menjaring, satu bar akan diperlihatkan di sebelah tangan pemain. Bar tersebut akan menentukan kadar masa lepasan yang mempunyai lima kadar berbeza iaitu awal, sedikit awal, sempurna, sedikit lewat dan lewat. Semasa percubaan saya, boleh katakan untuk mendapat sempurna ia adalah satu perkara yang sangat sukar.

Namun, bagi anda yang sukar untuk mendapat kadar masa lepasan yang tepat, terdapat tetapan yang akan mengubahnya kepada peratusan sebenar pemain. Melalui tetapan ini, pemain tidak perlu risau mengenai kadar tersebut sebaliknya hanya menekan butang menjaring dan secara automatik akan cuba menjaring. Sama ada jaringan tersebut berjaya akan bergantung kepada kebolehan atlit yang sedang digunakan.

Dengan kata lain, jika menggunakan kadar masa lepasan, dan anda berjaya mendapat kadar sempurna, anda mempunyai peratusan lebih tinggi untuk menjaring berbanding menggunakan peratusan sebenar pemain walaupun menggunakan atlit yang sama. Jadi pilihan ini bergantung kepada kecekapan anda, bagi saya jika tidak kerana ia terlalu sukar saya lebih menggemari kadar masa lepasan kerana memberi perasaan lebih mengawal berbanding sekadar automatik.

Beralih kepada satu lagi bahagian penting untuk permainan sukan iaitu pertahanan. Walaupun mengikut senarai kawalan, pertahanan mempunyai jumlah yang lebih sedikit berbanding menjaring, akan tetapi bagi saya pertahanan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menjadi mahir terutama jika anda seperti saya tidak berpengetahuan mengenai permainan bola kerajang.

Tidak seperti bola sepak, anda boleh merampas bola menggunakan tackle untuk bola keranjang ia lebih kepada menghalang serta mengganggu pemain lawan daripada dapat menjaring dengan mudah. Sesuatu yang penting semasa bertahan adalah memastikan setiap pemain sendiri mengawal pemain lawan, dan cuba untuk mengelak daripada mereka mendekati dengan jaring dan memaksa mereka untuk melakukan jaringan yang tidak kemas.

Seperti saya katakan, walaupun pada asasnya ia sesuatu yang ringkas, namun agar sukar untuk betul-betul mahir. Saya sendiri walaupun sudah bermain buat satu masa yang agak lama, masih menghadapi kesukaran untuk bertahan dengan baik. Ia juga memerlukan kawalan pemain yang tepat dan pemerhatian yang tinggi kerana pemain lawan akan bergerak serta menghantar bola dengan cepat.

Kawalan permainan di dalam permainan ini agak sukar bukan kerana rekaan yang tidak baik, akan tetapi disebabkan bola kerajang itu sendiri merupakan sesuatu permainan yang agak rumit. Permainan ini cuba untuk memberi kawalan kepada pemain untuk segala situasi semasa bermain

Ia mungkin sesuatu yang disukai bagi yang sudah biasa dengan permainan video bola keranjang ataupun pengikut siri NBA 2K ini, namun bagi permain baharu, anda mungkin akan mengalami kesukaran dan membuatkan anda kurang berminat untuk terus bermain. Tambahan permainan ini tidak mempunyai sistem mengajar yang baik, pemain yang perlu mencuba secara sendiri sahaja.

Mod Permainan

Sesuatu yang sangat positif mengenai permainan ini adalah ia menyertakan pelbagai mod permainan yang memberi pemain pilihan mengikut citarasa tersendiri. Selain perlawanan biasa melawan CPU, ataupun rakan secara dalam ataupun luar talian. Jika bosan dengan perlawanan di stadium, tersedia juga mod Blacktop yang membawa pemain bermain di jalanan dengan pertempuran satu lawan satu sehingga lima lawan lima.

Mod seterusnya yang disertakan adalah MyLEAGUE. Ia merupakan mod yang memberikan anda peluang untuk mengurus satu pasukan sendiri. Bahkan anda juga boleh membina satu pasukan daripada awal. Anda boleh menggunakan nama sendiri, mereka jersi dan juga stadium. Selain mengurus, anda juga boleh bermain sendiri menggunakan pasukan anda.

Sistem seperti pemindahan permain serta pengurusan pasukan untuk NBA agak rumit, oleh disebabkan itu jika anda berminat simulasi pengurusan, mod ini sudah semestinya sesuatu yang anda akan gemari. Saya sendiri banyak meluangkan masa di mod ini.

Bagi pemain yang lebih gemari membuka kotak tikam, dan ingin mendapat peluang untuk menyertakan pemain legenda seperti Michael Jordan, mod MyTEAM adalah mod yang anda perlu cuba. Bagi yang pernah permain FIFA, ia adalah seperti mod Ultimate Team. Pemain boleh bermain melawan dengan CPU ataupun pemain lain secara dalam talian menggunakan pasukan yang diisi dengan pemain yang diperoleh melalui pek.

Pek tersebut boleh dibeli menggunakan mata wang maya iaitu VC ataupun MT. VC boleh diperoleh dengan bermain, termasuk juga bermain mod lain. Manakala MT bergantung kepada pencapaian anda di dalam MyTEAM. Setiap pek akan memberikan lima kad, ia mungkin pemain, kontrak ataupun barangan yang boleh digunakan. Pemain yang diperoleh melalui pek tersebut, boleh digunakan untuk membina pasukan anda sendiri.

Anda boleh menggunakan pasukan anda untuk bertempur melawan CPU ataupun melawan pemain lain secara dalam talian. Saya sangat menyukai Ultimate Team di FIFA, namun MyTEAM untuk permainan ini, walaupun menggunakan konsep yang sama tidak sangat menarik. Kemungkinan kerana saya sendiri tidak berminat dengan sukan bola keranjang. Namun ia sudah semestinya akan memberi anda pelbagai kandungan serta cabaran tersendiri.

Mod MyCareer

MyCareer merupakan satu daripada pelbagai mod permainan yang disertakan di dalam permainan ini. Saya meletakkan mod permainan ini secara berasingan kerana ia mempunyai satu perkara yang unik berbanding mod permainan yang lain iaitu ia mempunyai penceritaan.

Mod ini akan memerlukan pemain mengawal satu atlit sahaja berbanding mengawal keseluruhan pasukan seperti mod-mod yang lain. Atlit tersebut akan dicipta oleh pemain sendiri pada permulaan mod ini. Menariknya, sebelum anda memulakan karier sebagai pemain NBA, mod ini menyediakan penceritaan yang berjudul “The Way Back”. Melaluinya ia akan menjadikan atlit yang anda cipta sebelum ini sebagai watak utama, walaupun apa pun nama yang diletakkan, nama anda untuk penceritaan ini adalah A.I.

Selepas tidak terpilih untuk memasuki mana-mana pasukan NBA, A.I perlu bermula daripada bawah termasuklah bermain di kelab luar negara untuk menarik minat kelab-kelab NBA. Permulaan penceritaan adalah sangat mengejut, tiada penceritaan serta maklumat mengenai siapa A.I, siapa Ibu Bapanya, sebaliknya terus bermula, bagi saya ia bukanlah satu cara penceritaan yang baik, terutama pemain akan mengawal A.I, agak aneh jika tidak mengenali siapa beliau yang sebenar.

Penulisan untuk jalan cerita yang disediakan adalah sangat ringkas, dan agak mudah untuk mengagak apa yang akan berlaku, namun ia tetap menghiburkan terutama watak-watak yang disertakan sangat menarik dan mempunyai perwatakan tersendiri. Pemain juga mempunyai pilihan dialog, namun semasa saya mencubanya, pilihan tersebut tidak sangat membawa perubahan yang besar dan ia sangat mengecewakan.

Seperti yang saya perkatakan di atas, semasa perlawanan, pemain akan mengawal A.I sahaja. Semasa bermain, akan terdapat “Teammate Grade” yang akan menentukan prestasi permainan anda serta jumlah VC yang akan diberi. Walaupun penceritaan sering berkait dengan prestasi semasa bermain, akan tetapi ia tidak sangat mengikut prestasi sebenar anda semasa bermain.

Contohnya ada bahagian di mana, anda berjanji untuk membantu rakan anda menjaring, sama ada anda menunaikan janji tersebut ataupun tidak ia tidak membawa sebarang perbezaan di dalam penceritaan. Jika sepanjang permainan, anda bermain dengan teruk, penceritaan tetap berlaku bagaikan anda bermain dengan baik.

Perbezaan mengenai apa yang berlaku di gelanggang dan di penceritaan sangat mengganggu pengalaman. Namun penceritaan yang mengambil masa 3-4 jam untuk dihabiskan ini sudah semestinya satu perkara yang menarik sebelum anda memulakan karier sebagai pemain NBA melalui mod ini. Jika anda ingin bermain menggunakan watak yang berlainan anda boleh membuat simpanan baharu, dan dapat terus ke NBA tanpa bermain kembali The Way Back.

Selepas penceritaan berakhir, pemain boleh terus bermain sebagai watak tersebut sebagai pemain untuk pasukan yang menjadi pilihan anda. Selain itu terdapat juga mod The Neighborhood yang merupakan hub dalam talian untuk mod ini. Melaluinya anda boleh bertemu ataupun bermain dengan pemain-pemain lain yang akan menggunakan watak mereka sendiri. Anda boleh mengubah rupa serta pemakaian A.I akan tetapi untuk barangan yang menarik perlu dibeli menggunakan VR. Ia agak mengecewakan, terutama VR juga perlu digunakan untuk meningkatkan tahap A.I serta membeli pek di mod MyTEAM.

Grafik & Audio

Grafik permainan ini dilakukan dengan baik, rekaan pemain juga dilakukan dengan teliti walaupun ada beberapa wajah yang agak berbeza dengan pemain sebenar. Rekaan stadium serta penonton juga sangat realistik. Semasa saya bermain ia bagaikan menonton satu perlawanan secara langsung.

Namun, ia juga mempunyai beberapa masalah, walaupun kecil tetapi agak mengganggu pengalaman bermain. Ekspresi muka di dalam permainan ini agak janggal. Mengikut siaran langsung di TV, permainan ini juga menyertakan pelbagai temubual serta ulasan sebelum, semasa dan selepas sesuatu perlawanan. Untuk setiap adegan tersebut, saya merasakan karakter-karakter terutama ekspresi muka nampak sangat kaku. Ia membuatkan saya tidak berminat untuk mendengar dengan lebih lanjut.

Saya bermain di Playstation 4 Pro dan tidak mengalami sebarang masalah terutama dari segi kelancaran. Namun terdapat beberapa masalah seperti pemain bermain memakai jaket dan bukan jersi, sebelum jaket tersebut secara magis menghilangkan diri. Ia berlaku sangat jarang dan tidak sangat mengganggu pengalaman bermain.

Bagi segi audio pula, saya sering meninggalkan permainan ini terbuka walaupun tidak bermain kerana ingin mendengar pilihan lagi yang disertakan, terutama di bahagian utama permainan.

Selain itu, ia juga mempunyai bunyi permainan yang realistik termasuk juga sorakan penonton. Satu rungutan saya mengenai audio, seperti grafik adalah pengulas. Percakapan pengulas sangat berulang, terutama untuk pengulas sebelum dan semasa bermain. Ulasan semasa bermain, walaupun berulang tetap menarik dan membaca permainan semasa dengan baik.

Rumusan

NBA 2K19 adalah satu permainan simulasi bola keranjang yang baik. Ia menyertakan kawalan permainan yang agak rumit akan tetpai memberi kepuasan kepada pemain yang tegar dan belajar mengawalnya dengan baik

Ia juga menyertakan pelbagai mod yang boleh dipilih oleh pemain mengikut citarasa sendiri. Penceritaan yang disertakan melalui mod career walaupun dilakukan dengan ringkas tetapi agak menarik untuk satu permainan video sukan.

Grafik dan audio dilakukan dengan baik tetapi mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki lagi. Akhir kata, NBA 2K19 adalah satu permainan yang menarik jika anda meminati sukan bola keranjang.

Penafian: Kod ulasan untuk NBA 2K19 disediakan oleh 2K Asia

Leave a Reply