Bandai Namco minggu ini berkongsi satu lagi video acah untuk permainan pertempuran mereka iaitu Jump Force. Melalui video baharu ini, mereka memperlihatkan penceritaan yang akan disertakan di dalam permainan ini.
Di dalam video tersebut, Glover iaitu watak rekaan khas untuk permainan ini yang merupakan pengarah untuk Jump Force, menerangkan tanggungjawab pemain sebagai sebahagian daripada Jump Force yang turut disertai oleh watak-watak daripada dunia yang lain. Anda perlu menyelamatkan dunia daripada di takluk oleh Kane dan Galena.
Berdasarkan video acah tersebut juga, tampaknya pemain akan mereka watak sendiri untuk digunakan bagi permainan penceritaan. Pemain boleh memilih pelbagai rekaan berbeza termasuk juga kuasa yang boleh digunakan. Ia adalah berdasarkan pelbagai watak daripada siri manga Jump.
Selain itu, Bandai Namco juga memperlihatkan watak-watak baharu yang akan disertakan di dalam permainan ini. Antaranya adalah Trunk daripada Dragon Ball, Asta daripada Black Clover dan Deku daripada My Hero Academia.
Jump Force akan dilancarkan pada 15 Februari 2019 ini buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.