Informasi Permainan Video Terkini
Kod Nama Untuk Konsol Xbox Seterusnya Adalah Anaconda Dan Lockhart

Kod Nama Untuk Konsol Xbox Seterusnya Adalah Anaconda Dan Lockhart

Diterbitkan pada Dis 19, 2018 oleh .

Seperti yang diumumkan oleh Microsoft sebelum ini, mereka kini sedang membangunkan konsol seterusnya buat Xbox. Disamping itu, kami juga melaporkan yang mana Microsoft bakal membangunkan dua variasi konsol Xbox dimana salah satunya adalah memfokuskan penstriman.

Terkini melalui laporan The Verge, tampaknya kedua-dua konsol tersebut sudah pun mempunyai kod nama iaitu Ananconda dan Lockhart. Menurut laporan tersebut, kedua-dua konsol tersebut dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2020.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Xbox dengan nama kod Anaconda akan memfokuskan perkakasan pemprosesan dan grafik oleh AMD sekaligus ianya adalah seakan konsol Xbox One X sekarang dengan prestasi yang lebih tinggi. Menariknya juga, Anaconda juga mungkin akan menyertakan storan SSD untuk tingkatkan lagi prestasi konsol tersebut.

Manakala bagi Xbox dengan nama kod Lockhart pula, seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini akan memfokuskan konsol dalam bentuk penstriman secara digital. Sekaligus ianya mungkin lebih murah dan tidak akan mempunyai ruangan untuk menggunakan cakera.

Tambahan itu apa yang menarik minat kami berkenaan laporan tersebut adalah kedua-dua konsol tersebut tampaknya mempunyai sokongan untuk bermain permainan daripada konsol sebelum ini seperti dari konsol Xbox, Xbox 360 dan termasuklah Xbox One.

Ini merupakan satu perkara yang menarik oleh Microsoft. Dengan tibanya teknologi xCloud yang diumumkan oleh mereka sebelum ini, Microsoft tampaknya akan membawa industri permainan video ke arah penstriman.

Walaupun begitu, Microsoft sendiri tidak menyatakan sebarang pengumuman rasmi. Seperti biasa kami akan kongsikannya setelah ianya diumumkan kelak.


TIPS & ULASAN