Seperti yang anda sedia maklum, sebelum ini Hajime Tabata, iaitu pengarah buat permainan Final Fantasy XV baru-baru ini meninggalkan Square-Enix dan menubuhkan syarikat permainan video beliau sendiri iaitu JP Games.
Walaupun begitu, ketika saat pengumuman tersebut dilakukan, terdapat pelbagai spekulasi berkenaannya kerana ianya diumumkan pada masa yang sama DLC pernambahan buat Final Fantasy XV dibatalkan.
Terkini, melalui sesi sembang industri permainan video hujung tahun oleh Niconico yang dilaporkan oleh Gematsu, Hajime Tabata berkongsi sebilangan kenyataan beliau berkenaannya.
Berkenaan peninggalan Square-Enix, Hajime Tabata menyatakan bahawa pilihan beliau untuk meninggalkan Square-Enix adalah sebelum DLC kandungan Final Fantasy XV dibatalkan. Tambah beliau, Hajime Tabata sendiri agak kecewa atas pembatalan tersebut dan memohon maaf buat peminat yang menantinya. Menurut beliau, atas sebab beliau meninggalkan Square-Enix adalah beliau ingin bergerak sendiri tanpa mengganggu mereka malah peninggalan beliau adalah dalam keadaan terma yang baik.
Apabila bercakap berkenaan JP Games pula, Hajime Tabata mereka masih lagi mencari sebuah ofis dan buat masa ini mereka dibiayai sendiri. Tambahan itu, mereka masih lagi mencari pasukan staf dan hanya akan mendirikan syarikat dengan nilai staf yang kecil. Dari segi permainan pula, Hajime Tabata menyatakan bahawa mereka tidak pasti mereka berupaya untuk menghasilkan permainan bertarafkan AAA, namun mereka berminat untuk membangunkan permainan buat pelbagai platform seperti konsol, PC dan telefon pintar.
Selain itu, Hajime Tabata juga menyatakan bahawa ketika pembangunan Final Fantasy XV, terdapat pelbagai cara pembangunan yang beliau ingin tukarkan kerana ketika permainan tersebut dibangunkan, terdapat saat dimana pelbagai kerja yang perlu diselesaikan. Sekaligus, mereka terpaksa mengupah pembangun luar dari Malaysia dan Vietnam ke studio mereka untuk membantu sesi pembangunan. Ini juga menyebabkan pelbagai persediaan yang perlu dilakukan oleh beliau seperti isu polisi sekuriti, perkakasan dan sebagainya yang menyebabkan ianya sukar.
Oleh sebab itu, Hajime Tabata menyatakan bahawa buat JP Games, beliau ingin mengubah cara pembangunan permainan dan lebih memfokuskan pembangunan secara maya seperti menggunakan teknologi awan.
Kami di Aksiz sekali lagi ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Hajime Tabata. Seperti Wan Hazmer sebelum ini, tampaknya dengan bergerak dari studio besar kepada studio indie, mungkin juga adalah satu pilihan yang baik untuk beliau untuk bergerak sendiri tanpa sebarang ikatan. Kami juga tidak sabar untuk melihat permainan yang bakal dibangunkan oleh JP Games kelak.