Salah satu permainan koperasi kesukaan kami iaitu Overcooked! 2 kini sekali mendapat kandungan baharu khas bertemakan perayaan Krismas. Menariknya, kandungan ini merupakan kandungan percuma khas yang mana ianya menyertakan sebilangan masakan, dapur dan watak baharu.
Melalui kemaskini kandungan Kevin’s Chrismas Cracker, Ghost Town Games dan Team 17 mengumumkan bahawa mereka akan menyertakan 5 dapur baharu buat pemain bersama-sama 3 masakan baharu khas yang bertemakan Krismas seperti pai, coklat panas dan puding.
Selain itu, mereka juga umumkan dua watak tukang masak baharu yang pemain boleh mainkan buat keseluruhan permainan tersebut. Menariknya, melalui kemaskini ini, pembangun juga akan menyertakan mod latihan dimana pemain berupaya untuk melatih memasak dahulu sebelum memasak di dalam peringkat permainan tersebut.
Overcooked! 2 merupakan permainan parti masakan yang dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC pada Ogos lepas. Bagi anda yang ingin membaca ulasan kami, anda boleh berbuat demikian di pautan dibawah.