Skip to main content

Earth Defense Force 5 merupakan permainan terbaru untuk siri Earth Defense Force yang pertama kali dikeluarkan pada 14 tahun lepas dan sudah semestinya mempunyai pengikutnya tersendiri.

Namun, walaupun sering mendengar mengenainya, ini adalah pertama kali saya mencuba permainan buat siri tersebut. Dibangunkan oleh Sandlot dan diterbitkan oleh D3 Publisher pada 11 Disember 2018 untuk Playstation 4.

Sebagai seorang pemain baharu buat siri ini, berikut adalah ulasan penuh saya untuk Earth Defense Force 5.

Cerita

Walaupun saya adalah pemain baharu untuk siri ini, tetapi pada permulaan lagi saya menyedari yang penceritaan adalah bukan fokus utama untuk permainan ini. Sepanjang permainan ia adalah sekadar pengisian yang membuatkan sesuatu misi ataupun kejadian mempunyai makna.

Permainan ini bermula apabila watak anda di dalam permainan ini adalah pengawal kerajaan yang melawat ke kem Earth Defense Force (EDF). Namun, selepas kem tersebut secara tiba-tiba diserang oleh raksasa semua, anda terpaksa menyertai mereka untuk mempertahankan kem tersebut.

Selepas itu, watak anda terus kekal menjadi seorang EDF dan dihantar untuk menyelesaikan pelbagai misi bagi menyelamatkan bumi daripada serangan penjahat yang tidak dikenal pasti berikut. Sepanjang permainan, pemain akan mendengar perbualan di antara pihak kerajaan, pihak tentera dan juga berita yang menceritakan perkembangan terbaru mengenai serang berikut.

Penceritaan yang disediakan adalah sangat ringkas, tidak membawa sebarang kelainan jika ingin dibandingkan dengan filem-filem sains fiksyen yang lain. Buat permainan yang memfokuskan membunuh raksasa, bagi saya ia sudah cukup baik walaupun tidak mempunyai sebarang keistimewaan.

Bentuk Permainan

Jika anda menonton mana-mana video acah ataupun video permainan, anda akan terus mengetahui apakah bentuk permainan untuk permainan ini. Anda akan dihujani dengan raksasa yang menyerupai bentuk binatang, walaupun kecil dan sekadar menggunakan senjata biasa, anda dapat membunuh mereka. Secara asasnya, itu adalah bentuk permainan untuk EDF 5.

Terdapat lebih 100 peringkat ataupun misi yang harus diselesaikan oleh pemain. Walaupun disertakan dengan pelbagai misi yang berbeza, serta raksasa yang berlainan, namun setelah bermain untuk satu jangka masa yang lama saya mula merasai pengulangannya dan akan berasa penat untuk terus bermain.

Bagi menyelesaikan setiap misi tersebut, terdapat 4 kelas yang boleh dipilih oleh pemain, dan boleh menukarnya pada bila-bila masa. Empat kelas tersebut adalah Ranger, Wing Diver, Air Raider dan Fence. Setiap kelas tersebut mempunyai keupayaan serta senjata yang tersendiri.

Ranger lebih kepada penembak biasa yang menggunakan pelbagai senjata dan memfokuskan serangan hendap. Wing Diver seperti namanya, merupakan tentera yang boleh terbang tinggi dan mencapai tempat yang tidak boleh dicapai oleh kelas lain. Air Raider boleh dikatakan lebih taktikal, menggunakan senjata seperti memanggil serangan udara serta memasang penembak. Akhir sekali Fence, lebih kepada tentera berat yang memakai perisai robot serta membawa senjata yang berat.

Adanya 4 kelas yang mempunyai kelainan membuatkan permainan yang berulang berasa agak segar, selepas bosan dengan sesuatu kelas anda boleh menggunakan kelas lain yang akan memberikan cabaran yang berbeza. Setiap kelas juga mempunyai pelbagai senjata yang boleh digunakan, walaupun kebanyakan senjata adalah terlalu lemah berbanding yang lain menjadikan pilihan adalah berdasarkan kuasa dan tidak semestinya strategi saya. Selain itu, pemain juga mengubahsuai penampilan akan tetapi terhad kepada warna perisai sahaja.

Sesuatu yang saya kurang gemari mengenai senjata adalah cara untuk mendapatkan senjata yang berbeza. Sepanjang pertempuran dengan raksasa, kotak senjata akan jatuh secara rawak bersama dengan kotak perisai serta kotak nyawa. Pemain perlu mengutipnya untuk mendapatkan senjata yang juga secara rawak. Ia sudah semestinya membuatkan pertempuran lebih cemas, akan tetapi saya lebih gemar jika dapat mengawal senjata apa yang ingin dibina.

Dari segi kesukaran, saya boleh katakan ia tidak menentu dan tidak menggunakan konsep menaik sebaliknya ia dicampur aduk, ada peringkat yang sukar ada peringkat yang mudah, bahkan ada yang terlalu mudah dan terlalu sukar. Bagi peringkat yang mudah, anda sekadar menembak dan menembak dah selesai. Manakala untuk peringkat yang lebih sukar, memerlukan saya untuk lebih berhati-hati serta memerlukan saya untuk mengawas nyawa tentera lain agar tidak tinggal berseorangan menghadapi ribuan semut.

Secara keseluruhan saya boleh katakan terdapat lebih 20 raksasa serta penjahat yang berbeza (ada penjahat adalah kenderaan seperti piring terbang dan makhluk asing). Kebanyakan adalah bersaiz besar, dan ada yang sangat besar seperti Godzilla. Oleh disebabkan ini adalah pertama kali saya bermain EDF, sesetengah raksasa yang diperlihatkan sangat mengejutkan dan membuat saya sangat teruja.

Mod Multi-Pemain

Walaupun saya mempunyai pengalaman yang sedikit, kerana lebih lama bermain secara berseorangan, namun saya boleh katakan bermain bersama rakan adalah cara terbaik untuk bermain terutama kerana bentuk permainan yang agak berulang.

Dengan bermain bersama rakan, anda mempunyai pengalaman yang lebih menarik berbanding secara berseorangan. Permainan ini membolehkan anda bermain bersama sehingga 4 orang rakan secara setempat (pembahagian skrin) dan secara dalam talian.

Saya tidak sempat untuk mencuba secara setempat, akan tetapi untuk secara dalam talian, semasa penulisan ulasan ini, saya boleh katakan anda tidak akan mempunyai masalah untuk mencari rakan untuk bermain bersama.

Secara dalam talian, anda boleh menjadi hos ataupun menyertai hos lain. Jika menjadi hos, anda boleh menetapkan password untuk mengelakkan semua orang boleh menyertainya, anda juga boleh membukanya. Jika anda ingin menyertai hos, terdapat beberapa hos yang membuka permainan untuk disertai oleh sesiapa selagi mana slot tidak penuh.

Jika anda seperti saya, merasa bosan selepas menyelesaikan beberapa peringkat secara menerus, saya cadangkan bermain bersama rakan ataupun dengan orang lain secara dalam talian, ia akan memberikan satu pengalaman yang lebih segar.

Grafik

Jika anda tidak berpengalaman bermain EDF seperti saya, mungkin anda juga pada awalnya tidak berminat dengan permainan ini, disebabkan kualiti grafik yang disediakan. Namun, selepas saya bermain permainan ini, oleh disebabkan terlalu fokus kepada pertempuran kualiti grafik serta binaan persekitaran yang berulang tidak sangat mengganggu.

Semasa diserang oleh ribuan semut dan beberapa ekor kata, ditambah lagi dengan piring terbang, persekitaran yang membosankan bukanlah fokus utama saya semasa bermain. Walaupun begitu, saya berharap permainan seterusnya untuk EDF akan membawa satu kualiti grafik yang lebih baik.

Satu perkara yang mengejutkan, walaupun mempunyai ribuan raksasa, bersama dengan tentera serta pelbagai letupan, pemain ini tidak mempunyai masalah kelancaran. Saya tidak menyedari sebarang masalah kelancaran kecuali untuk beberapa peringkat yang jumlahnya sangat sedikit.

Masalah lain seperti tekstur lambat untuk keluar serta bangunan dan pokok muncul dan mengilang secara rawak sering berlaku, akan tetapi tidak terlalu jelas dan tidak sangat mengganggu.

Rumusan

Bagi pemain yang mengikuti permainan ini, EDF 5 adalah satu permainan yang sama yang menyertakan beberapa jenis raksasa baharu, namun pada asasnya ia masih satu permainan yang anda kenali sebelum ini.

Manakala untuk pemain yang tidak pernah mencuba, permainan ini menyediakan bentuk permainan yang sangat menyeronokkan akan tetapi sangat berulang. Walaupun disertakan dengan pelbagai kelas dan peringkat, ia tidak mampu untuk kekal menarik buat satu jangka masa yang lama. Melainkan anda bermain bersama rakan yang sudah semestinya akan menjadi lebih menarik.

Dengan harga jualan seperti permainan AAA, walaupun disertakan dengan kandungan yang banyak dan akan mengambil masa yang lama untuk dihabiskan akan tetapi apa yang disediakan bagi saya tidak berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

Penafian: Kod ulasan untuk Earth Defense Force 5 disediakan oleh PlayStation Asia.

Leave a Reply