Heroes of the Storm merupakan permainan MOBA yang dikeluarkan oleh Blizzard. Ia dikeluarkan pada tahun 2015 akan tetapi tidak dapat menyaingi populariti permainan MOBA lain terutamanya League of Legends dan Dota 2.
Hari ini, melalui penulis di blog Blizzard, Presiden Blizzard J. Allen Brack serta ketua eksekutif pembangunan Ray Gresko mengumumkan yang kerana terdapat banyak permainan yang sudah dikeluarkan serta sedang dibangunkan, mereka terpaksa membawa beberapa pembangun daripada Heroes of the Storm ke projek yang lain.
Mereka juga mengatakan ini bukanlah sesuatu yang baharu, permainan seperti Diablo II, World of Warcraft, StarCraft II dan Overwatch mungkin tidak wujud jika perkara ini tidak dilakukan. Namun, mereka akan terus menyokong permainan Heroes of the Storm akan tetapi sasaran lebih memfokuskan jangka masa panjang.
Selain itu, mereka juga mengumumkan yang kejohanan e-sukan untuk permainan tersebut iaitu Heroes Global Championship dan Heroes of the Dorm, tidak akan diteruskan untuk tahun 2019. Mungkin ini adalah petanda Heroes of the Storm akan dihentikan tidak lama lagi?