Skip to main content

Permainan Mega Man sudah semestinya menjadi satu permainan retro kesukaan ramai dengan bentuk kawalan yang mencabar dan pada masa yang sama sangat responsif. Dengan bentuk platformer secara dua dimensi, siri ini boleh dikatakan antara permainan yang memberi satu nafas baru bagi genre tersebut sejak ianya dilancarkan pada 1987 lepas.

Terkini, Capcom membawa kembali Mega Man buat pemain moden, iaitu Mega Man 11 dimana Mega Man sekali akan mengembara bersama anda untuk menewaskan rancangan jahat Dr. Wily.

Mega Man 11 telah dilancarkan pada 3 Oktober 2018 lepas di Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Namun, ulasan ini adalah berdasarkan konsol Switch dan ini adalah ulasan penuh saya, untuk Mega Man 11.

Cerita

Mega Man 11 sememangnya mempunyai penceritaannya sendiri dan tidaklah seperti permainan klasik Mega Man sebelum ini yang tidak terlalu memfokuskan penceritaan. Sememangnya penceritaan yang terdapat di dalam Mega Man 11 memberi sedikit kelainan dari siri yang lain, namun ianya tidaklah mempunyai penceritaan yang terlalu kompleks seperti kebanyakkan permainan terkini. Walaupun begitu, pada pendapat saya ianya sudah memadai walaupun ianya ringkas, ianya masih menarik dan bersesuaian dengan tema siri Mega Man.

Melalui Mega Man 11, penceritaannya memfokuskan dua watak profesor utama iaitu Dr. Light dan Dr. Wily. Menariknya, mereka meletakkan kisah dimana mereka masih muda dan Dr. Wily mencipta satu teknologi yang dibantah oleh Dr. Light. Ini sekaligus membuatkan Dr. Wily berdendam dengan Dr. Light dan ingin membalas dendam.

Lanjutan daripada itu, seperti biasa Dr. Wily akan menculik Robot Master dari Dr. Light dan mengubah robot tersebut menjadi robot jahat dimana robot-robot tersebut merupakan ketua musuh yang bakal Mega Man tempuhi. Mega Man juga seperti biasa perlu mengalahkan Dr. Wily untuk menghentikan rancangan jahat Dr. Wily tersebut.

Sememangnya ini dari segi penceritaannya ianya adalah sangat ringkas dan berulangan daripada penceritaan Mega Man sebelum ini. Namun, pada pendapat saya sendiri ianya sekurang-kurang mempunyai kelainan dimana penceritaan utamanya berkait rapat dengan sistem baharu yang diperkenalkan iaitu sistem Double Gear yang akan saya terangkan dengan lebih lanjut di kawalan permainan dibawah.

Grafik

Seperti yang kami kongsikan melalui pandang pertama Mega Man 11 sebelum ini, sememangnya visual permainan ini sangat menarik dengan paparan rekaan watak dengan model 3D. Walaupun permainan ini dimainkan secara 2D, bentuk rekaan 3D di dalam visual permainan ini adalah sangat cantik dan bersesuaian dengan tema Mega Man tersebut.

Apa yang saya sangat sukai berkenaan visual permainan ini juga adalah prestasinya. Walaupun dimainkan di konsol Switch, Mega Man 11 masih mengekalkan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS. Tambahan itu, keseluruhan sesi permainan saya, kadar tersebut tidak langsung terjejas dan kelancarannya adalah sangat baik sekali.

Ini bukan sahaja sangat penting untuk permainan bergenre ini, malah ianya memberi satu tindak balas kawalan yang sangat responsif, sekaligus memudahkan pemain untuk bergerak dan bertempur di dalam Mega Man 11.

Selain itu, saya juga menyukai dimana kali ini, setiap kali Mega Man mengalahkan ketua musuh ataupun Robot Master tersebut, Mega Man bukan sahaja akan mendapat senjatanya malah rupa keseluruhan Mega Man juga akan berubah. Dimana sebelum ini penukaran Mega Man hanyalah terhad kepada warna sahaja. Kali ini, Mega Man sendiri akan berubah wajah, dan ianya bagi saya adalah satu rekaan visual yang sangat menarik.

Audio

Dari segi audio, sudah semestinya muzik di dalam Mega Man 11 adalah sangat baik sekali. Bukan sahaja muzik klasik permulaan pentas permainan tiba dengan olahan baru, malah ianya juga mempamerkan kualiti muzik retro yang dimodenkan.

Seperti setiap permainan Mega Man, setiap pentas permainan mempunyai muziknya tersendiri dan setiap kali pemain bertempur dengan ketua musuh ianya juga mempunyai muzik yang berbeza. Sememangnya muzik yang dihasilkan juga adalah sangat berkualiti dan peminat siri Mega Man pasti akan menyukainya.

Walaupun begitu, dari segi suara latar, pada pendapat saya ianya tidaklah begitu bagus. Namun, memandangkan permainan ini bukanlah permainan yang bertaraf AAA, saya sendiri memahami kenapa ianya tidaklah sesuatu yang menakjubkan. Walaupun begitu, apa yang saya perlu puji sekurang-kurang permainan ini masih lagi mengekalkan suara latar.

Kawalan Permainan

Terdapat banyak perkara yang saya perlu kongsikan berkenaan kawalan permainan Mega Man 11 ini. Walaupun begitu, saya ingin kongsikan asasnya dimana tidak seperti siri Mega Man X, Mega Man 11 tidak mempunyai pentas peringkat awal permainan.

Ini bermakna, sekaligus pemain bermula permainan ini, ianya akan terus memberi pilihan untuk pemain memilih pentas permainan berdasarkan Robot Master yang pemain ingin kalahkan. Setelah pemain kalahkan Robot Master tersebut, pemain juga akan mendapat senjata-senjata oleh mereka seperti mana siri Mega Man yang sebelum ini.

Namun, seperkara lagi yang saya menyukai permainan ini setelah pemain mengalahkan Robot Master tersebut, pemain berupaya untuk mencuba senjata yang pemain peroleh sebaik sahaja pemain kalahkan mereka. Ini memberi satu bentuk yang sangat menyenangkan pemain untuk mempelajari senjata-senjata baharu tersebut.

Dari segi asas kawalan lain, seperti siri Mega Man sebelum ini, pemain berupaya untuk melompat dan menembak. Secara asasnya permainan ini adalah seperti berikut dan melalui Mega Man 11 kali ini. Ianya masih lagi responsif dengan tindak balas yang sangat mengagumkan. Selain itu, fungsi seperti permainan Mega Man sebelum ini seperti pengecasan Mega Buster dan gelongsor juga tiba di dalam permainan ini.

Ini juga menyebabkan saya perlu puji Capcom atas pilihan mereka untuk mengekalkan konsep asal siri Mega Man yang pasti membuat peminat siri Mega Man menyukainya.

Akan tetapi, Capcom juga menambah sebilangan fungsi baharu antaranya adalah keupayaan untuk memanggil Rush, iaitu teman anjing Mega Man dengan lebih pantas dengan menekan butang X. Sememangnya fungsi memanggil bantuan Rush tiba di permainan sebelum ini, namun melalui butang pintas ini ianya memudahkan lagi untuk memanggil Rush dan beliau berupaya untuk membantu Mega Man untuk ke lokasi yang lebih tinggi seperti bantuan loncatan spring.

Tambahan itu, Rush juga berupaya untuk menukar dirinya menjadi Rush Jet dan membantu Mega Man dengan menerbangkan Mega Man ke lokasi hadapan pentas permainan tersebut. Namun fungsi ini perlu dinyah-kunci oleh pemain setelah pemain menewaskan beberapa Robot Master. Walaupun begitu, fungsi-fungsi Rush lain dari siri Mega Man sebelum ini seperti Rush Super Adapter, Rush Drill dan sebagainya, tidak disertakan. Namun, watak Beat, Auto, Eddie dan juga Roll tiba di dalam permainan dan hanyalah merupakan watak sampingan sahaja.

Bercakap berkenaan Auto, seperti di dalam permainan Mega Man sebelum ini, Auto juga menyediakan satu fungsi kedai di dalam permainan dimana pemain berupaya untuk pelbagai barangan seperti tin E, pernaik-tarafan senjata Mega Man dan juga barangan sokongan lain.

Sehubungan dengan kawalan permainan ini, bentuk utama yang Capcom ingin fokuskan adalah sistem Double Gear yang saya kongsikan di atas. Ini merupakan sistem baharu yang dihasilkan khas buat permainan Mega Man 11 dimana melaluinya, Mega Man akan diberi kemahiran yang lebih berkuasa berbanding biasa.

Sistem Double Gear pertama iaitu Speed Gear, akan membenarkan pemain memperlahankan masa. Untuk mengaktifkan fungsi ini, saya hanya perlu menekan butang R sahaja. Fungsi ini sangat berguna dimana saya berupaya untuk memperlahankan keadaan masa ketika bermain, dan ianya memberi peluang saya untuk menembak tepat ke arah kelemahan musuh, mengelak serangan musuh ataupun memudahkan untuk saya melompat ke kawasan yang lebih sukar.

Sistem Double Gear kedua pula adalah Power Gear, yang mana ianya boleh diaktifkan dengan menekan butang L. Melalui fungsi ini, Mega Man akan mempunyai kuasa tembakan yang lebih kuat. Ianya juga memberi kuasa pengecasan yang lebih berkuasa buat Mega Buster. Disamping itu, Power Gear tersebut juga boleh digunakan untuk senjata-senjata yang pemain dapatkan selepas menewaskan Robot Master.

Pada waktu yang sama, sistem Double Gear tersebut mempunyai had penggunaan dan ianya tidak boleh digunakan secara serentak. Selain itu, seperti yang anda lihat di meter atas kepala Mega Man, ianya merupakan had masa yang pemain boleh aktifkan sistem tersebut. Jika pemain menggunakan Double Gear lebih dari masa yang diberi, pemain tidak lagi boleh menggunakannya untuk sementara waktu.

Satu lagi perkara yang saya harus puji adalah pilihan tahap kesukaran permainan ini. Bagi anda yang pernah bermain siri Mega Man sebelum ini, anda pasti mengetahui berkenaan tahap kesukarannya. Dimana anda sering perlu bermain berulang kali untuk belajar selok-belok pentas permainan tersebut.

Akan tetapi, melalui Mega Man 11, Capcom menyediakan empat tahap kesukaran iaitu Newcomver, Casual, Normal dan Super Hero. Dua daripadanya, Newcomer dan Casual adalah tahap yang lebih mudah. Ini bukan sahaja memberi peluang untuk pemain baharu bermain permainan ini, malah buat mereka yang tidak ingin berulang kali bermain permainan ini, mereka berupaya untuk terus bermain tanpa sebarang masalah dan cabaran yang lebih sukar.

Namun, untuk mereka yang menyukai cabaran yang lebih, mereka juga boleh memilih tahan kesukaran yang lebih mencabar ataupun bermain mod cabaran yang disediakan.Melalui Mega Man 11, Capcom juga menyediakan beberapa mod cabaran buat pemain yang pasti membuat peminat veteran siri Mega Man menyukainya. Ini bukan sahaja membuka lebih banyak bentuk permainan di dalam permainan ini, malah ianya memberi lebih banyak kandungan walaupun pemain telahpun menamatkan permainan tersebut.

Selain daripada mod-mod diatas, Capcom juga menyediakan sebilangan mod lain seperti mod galeri, mod rekod untuk melihat kejayaan pemain dan juga fungsi untuk melihat kedudukan pemain berbanding pemain lain secara atas-talian.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, apa yang saya boleh katakan berkenaan permainan Mega Man 11 ini ianya sememangnya adalah permainan yang menarik. Dari segi kandungan, tahap cabaran sehinggalah bentuk permainan ianya masih lagi mengekalkan konsep asal apa yang membuatkan permainan Mega Man itu seronok untuk dimainkan.

Tambahan itu, permainan ini juga membawa sentuhan moden seperti fungsi Double Gear Sistem baharu bersama-sama dengan bentuk cabaran yang berbeza. Ini bukan sahaja memberi satu nafas yang baru buat siri tersebut, malah ianya sudah pastinya akan menarik minat pemain baharu.

Akan tetapi, kandungan dan penceritaan permainan Mega Man 11 ini masih lagi ditahap biasa sahaja dan ianya tidak langsung memaparkan sesuatu yang berbeza daripada siri sebelum ini. Justeru itu, dengan apa yang diperlihatkan melalui Mega Man 11 ini, saya sendiri tidak sabar untuk menanti apa kandungan baharu yang bakal Capcom bawakan untuk siri Mega Man pada masa akan datang.

Leave a Reply