Zanki Zero: Last Beginning Bakal Dilancarkan Mac 2019

Spike Chunsoft hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan Zanki Zero: Last Beginning pada 19 Mac 2019 di Playstation 4 dan PC melalui Steam. Permainan ini merupakan permainan yang dibangunkan oleh pembangun yang sama untuk siri permainan visual novel terkenal sebelum ini iaitu Danganronpa.

Menariknya, melalui edisi global ini, Spike Chunsoft menyatakan bahawa mereka akan melancarkan permainan ini secara dwi-bahasa buat suara latar dengan bahasa Inggeris dan Jepun bersama sari kata bahasa Inggeris. Selain itu, cakera muzik latar khas juga akan disertakan bagi edisi hari pertama.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, permainan ini akan memfokuskan 8 watak klon yang mana mereka hanya mempunyai jangka masa untuk hidup sebanyak 13 hari sahaja. Sepanjang 13 hari tersebut, pemain perlu mengembara di sebuah pulau untuk menyelesaikan misteri dan juga bertempur dengan musuh-musuh.

Pemain juga boleh menghasilkan klon-klon yang baru untuk membawa kesemua kemajuan watak ke kitaran hidup seterusnya sekaligus permainan ini juga meletakkan pemain dalam bentuk pertahanan hidup dimana setiap lapan watak di dalam permainan ini mempunyai jangka hayat yang terhad dan umur mereka juga meningkat.

Tahap umur permainan ini juga akan memberi kesan kepada pemain seperti ketika watak pemain masih muda, mereka akan mempunyai tenaga yang lebih manakala ketika watak tua, pemain akan mempunyai tenaga yang berkurangan.

Bagi peminat siri Danganronpa di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan permainan Zanki Zero: The Last Beginning menjelang Mac 2019 ini.

Sohor Kini