Informasi Permainan Video Terkini
Epic Games Bakal Membawa Servis Atas-Talian Rentas Platform Secara Percuma Menjelang 2019

Epic Games Bakal Membawa Servis Atas-Talian Rentas Platform Secara Percuma Menjelang 2019

Diterbitkan pada Dis 13, 2018 oleh .

Epic Games, iaitu pembangun untuk permainan Fortnite, pembangun enjin permainan Unreal Engine dan juga pemilik kedai permainan digital atas-talian Epic Games Store yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini, mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan servis atas-talian rentas platform secara percuma.

Melaluinya, mereka akan menyertakan servis dan peralatan buat fungsi tersebut seperti mana yang mereka gunakan buat permainan Fortnite kepada pembangun secara percuma untuk kesemua enjin permainan, platform dan juga kedai digital atas-talian yang lain.

Melalui perancangan Epic Games, mereka akan membawa servis tersebut secara berperingkat menjelang 2019 bermula dengan servis log masuk sistem, kepada penyimpanan data sehinggalah kepada fungsi komunikasi bersuara.

Sememangnya ini merupakan satu perkara yang sangat menarik dimana dengan tibanya fungsi ini, segala pemain di pelbagai konsol dan platform seperti Playstation, Xbox, Nintendo mahupun PC bakal berupaya untuk bermain bersama-sama secara atas-talian tanpa sebarang sekatan.

Kami di Aksiz juga percaya fungsi ini juga akan memberi kebebasan dan membawa komuniti permainan video yang lebih positif pada masa akan datang. Namun buat masa ini, perancangan masih lagi dilakukan oleh Epic Games dan segala informasi tambahan berkenaannya akan dikongsikan pada masa akan datang.


TIPS & ULASAN