Lanjutan daripada tetapan pelagak PlayStation Classic boleh diakses dengan hanya menggunakan papan kekunci, kini konsol mini retro tersebut akhirnya berjaya digodam oleh pengguna dengan hanya selepas seminggu ianya dilancarkan.
Menurut laporan The Verge, terdapat sebilangan pengguna juga berjaya meletakkan pemain mereka sendiri dengan menggunakan pemacu USB sahaja. Tambahan juga, terdapat juga pengguna yang berjaya mengubah rantau di dalam permainan tersebut sekaligus kadar bingkai sesaat yang dikunci oleh rantau PAL akhirnya berjaya diatasi.
Seperti yang dipertontonkan di atas, pengguna Youtube, Yifan Lu berjaya memainkan permainan Crash Bandicoot melalui konsol PlayStation Classic tersebut.
Dengan 20 permainan yang diumumkan sebelum ini mendapat kritikan oleh ramai peminat, dengan keupayaan untuk meletakkan permainan pilihan pengguna sendiri merupakan fungsi yang pasti pemilik PlayStation Classic menyukainya.
Walaupun begitu, kami di Aksiz semestinya tidak akan berkongsi cara-cara untuk menggodam konsol tersebut kerana ianya adalah sedikit sebanyak berkaitan dengan isu cetak rompak. Bagi anda yang memiliki konsol retro mini tersebut dan ingin mencubanya, anda boleh mencubanya atas risiko anda sendiri.
Akan tetapi, dengan hanya seminggu sahaja konsol mini retro tersebut berjaya digodam, ini sudah pasti sesuatu yang tidak dijangkakan oleh Sony. Namun, kami juga berharap jika Sony ingin membawa konsol retro mini buat Playstation 2 pula pada masa akan datang, mereka akan menyediakan fungsi seperti keupayaan untuk membeli permainan secara atas-talian ataupun menyediakan permainan-permainan yang lebih menarik buat pengguna.