Pandang Pertama – Devil May Cry 5 Demo

Ketika acara The Game Awards 2018 yang berlangsung baru-baru ini, Capcom mengumumkan Demo buat permainan Devil May Cry 5 yang mana ianya tiba khas di Xbox One. Namun, ketika artikel ini ditulis, Capcom tidak mengumumkan jika demo tersebut akan dilancarkan di platform lain ataupun tidak.

Walaubagaimana pun, hari ini saya ingin berkongsi pandang pertama saya untuk demo Devil May Cry 5 dimana saya berpeluang untuk mencubanya di konsol Xbox One X.

Devil May Cry 5 merupakan permainan seterusnya buat siri tersebut dimana ianya terkenal sebagai satu permainan aksi oleh Capcom. Permainan terakhir yang dilancarkan buat siri tersebut adalah DmC: Devil May Cry yang dibangunkan oleh Ninja Theory. Namun, permainan tersebut mendapat pelbagai kritikkan orang ramai akibat Capcom cuba untuk mengolah semula siri tersebut.

Kini dengan kembalinya permainan tersebut ke garis masa yang asal, ianya merupakan sekuel kepada Devil May Cry 4 yang dilancarkan 10 tahun lepas dimana sekali lagi, permainan ini akan memfokuskan watak Nero. Walaupun begitu, seperti yang dipertontonkan oleh Capcom sebelum ini, watak Dante juga bakal kembali bersama-sama dengan watak baharu yang dinamakan V.

Devil May Cry 5 Demo yang dilancarkan tersebut sememangnya satu demo yang agak pendek dimana saya berupaya untuk menghabiskan dengan hanya 15 minit sahaja. Namun ianya sudah mencukupi untuk saya mencuba beberapa fungsi baru buat watak Nero, terutamanya senjata baharu beliau Devil Breaker, iaitu sebuah tangan mekanikal khas.

Secara asasnya, apa yang saya boleh katakan adalah, Devil May Cry 5 dimainkan seperti Devil May Cry 4. Ini juga mungkin disebabkan demo tersebut hanya menyediakan watak Nero sahaja untuk saya cuba bermain, namun dari segi kawalan dan bentuk pertempuran beliau, ianya masih lagi membuatkan saya ingatkan watak Nero dari Devil May Cry 4.

Ini tidak bermaknanya ia adalah satu perkara negatif kerana pada pendapat saya, bentuk permainan dan kawalan Devil May Cry 4 sudah pun mempunyai bentuk permainan yang bagus. Senjata asal Nero seperti pedang Red Queen dan pistol Blue Rose juga kembali.

Pedang Red Queen, seperti DMC4, anda masih lagi boleh mengecasnya dengan menekan butang LT dan setiap peringkat cas yang dilakukan, akan meningkat kuasa serangan buat Nero. Perkara yang sama juga buat pistol Blue Rose dimana ianya tidaklah mempunyai tembakan pantas seperti pistol Ebony dan Ivory milik Dante dan lebih memfokuskan tembakan yang lebih kuat seperti satu pistol revolver.

Serangan kombinasi dengan butang mengunci RB ke arah musuh dengan arah serangan pedang masih lagi kekal seperti permainan Devil May Cry sebelum ini. Ini juga membuatkan kenapa permainan ini sangat menarik dimana setiap kombinasi serangan klasik masih lagi digunakan di dalam permainan ini dan ianya membuatkan permainan ini berasa sebuah permainan Devil May Cry.

Namun, Capcom juga menambahkan sebilangan perkara baru antaranya adalah Devil Breaker, iaitu tangan mekanikal khas yang menggantikan tangan Devil Brienger buat watak Nero. Seperti yang anda tontonkan di video acah pengumuman permainan tersebut sebelum ini, tangan Devil Brienger Nero dirampas oleh seseorang sekaligus Nero kini tidak lagi mempunyai tangan tersebut.

Melalui demo tersebut, terdapat hanya dua variasi Devil Breaker sahaja yang diperkenalkan iaitu Gerbera dan Overture. Kedua-dua Devil Breaker tersebut mempunyai kemahiran serangan yang berbeza yang pemain boleh lakukan sama ada menekan butang B sekali ataupun menahan dan melepaskannya selepas ianya dicaskan. Menariknya, setiap kemahiran tersebut akan menghasilkan jenis serangan berbeza jika pemain aktifkannya di atas tanah ataupun di udara.

Ini sekaligus memberi sedikit kepelbagaian mengikut jenis Devil Breaker dimana seperti contohnya Devil Breaker Gerbera kemahiran biasa ianya berupaya untuk menembak satu kuasa ke arah musuh manakala jika digunakan diudara, ianya akan menembak ke arah musuh dan juga menerbangkan Nero ke arah yang pemain tujukan. Ini bukan sahaja memberi fungsi elakkan buat pemain, malah cara yang mudah untuk mengawal keadaan apabila terdapat banyak musuh menyerang pemain.

Selain itu, jika Gerbera tersebut dicaskan ketika berada di atas tanah, Nero akan menembak satu tembakan laser yang kuat ke arah musuh. Namun, jika diaktifkan ketika berada di udara, Nero akan menembak laser yang berpantul seakan senjata Artemis dari Devil May Cry 3.

Selain itu, seperti Devil Bringer oleh Nero sebelum ini, Devil Breaker juga mempunyai fungsi untuk menarik musuh ke arah Nero dengan menahan butang RB dan menekan butang B. Fungsi ini adalah fungsi yang sama oleh Nero sebelum ini di dalam Devil May Cry 4 dengan tangan Devil Bringer beliau, sekaligus ianya memberi satu bentuk kebiasaan buat watak tersebut.

Walaupun dengan pelbagai jenis kuasa yang boleh dilakukan oleh pemain, penggunaan Devil Breaker adalah terhad dan setiap kali pemain menggunakannya secara berlebihan, Devil Breaker tersebut akan rosak dan hilang. Namun ini juga akan berbalik kepada satu perkara yang tidak disukai saya iaitu untuk mendapatkan semula Devil Breaker tersebut, saya perlu mencarinya di jalanan pentas permainan tersebut.

Devil Breaker tersebut akan muncul di kawasan yang rawak dimana pemain perlu dapatkan semula jika pemain telah kehabisan Devil Breaker. Pada pendapat saya ianya agak renyah dan terlalu rawak terutamanya jika bertempur dengan ketua musuh dan melalui demo tersebut, Nero hanya dibenarkan membawa empat Devil Breaker sahaja untuk satu masa.

Seperti permainan Devil May Cry sebelum ini, pemain juga berupaya untuk membeli barangan-barangan ataupun senjata baharu melalui van Nico. Namun, demo tersebut tidak menyediakan fungsi tersebut dan hanya menyatakan bahawa pemain berupaya untuk membuat demikian.

Tambahan itu, Red Orb juga kembali sebagai mata wang utama untuk pemain beli barang, senjata ataupun kemahiran baru melalui van Niko yang dikongsikan oleh saya diatas.

Dari segi bentuk permainan yang lain, segala bentuk asas Devil May Cry yang terdapat di dalam permainan sebelum ini, sememangnya tidak berubah di dalam Devil May Cry 5. Seperti kawasan tersembunyi, lokasi yang dikuncikan dan pemain perlu kalahkan semua musuh sebelum berupaya untuk bergerak ke lokasi seterusnya, ataupun menyelesaikan tekaria ringkas dengan mengambil barangan ke satu lokasi ke satu lokasi.

Dari segi pertempuran bersama ketua musuh, seperti biasa ianya masih lagi epik dengan ketua musuh yang besar dan sukar. Melalui penghujung demo ini, Nero akan bertempur dengan ketua musuh bernama Goliath dan menariknya, keseluruhan pertempuran tersebut akan ditukarkan persekitarannya mengikut peringkat.

Dari segi keseluruhan pertempuran, seperti biasa pemain perlu belajar corak lawan ketua musuh, mengelak dan terus memukulnya setelah ianya letih ataupun berhenti menyerang seketika.

Tambahan itu, seperti biasa jika pemain melakukan pelbagai serangan kombinasi tanpa kecederaan, pemain juga akan mendapat gred yang berbeza seperti A, B ataupun S.

Konsep Devil May Cry sememangnya tidak berubah dan ianya adalah satu perkara yang bagus. Ini kerana bentuk permainannya ini adalah apa yang membuatkan Devil May Cry itu seronok. Kombinasi serangan yang pelbagai, bersama-sama bentuk aksi yang pantas, ini sememangnya apa yang membuatkan permainan Devil May Cry itu unik.

Satu lagi perkara yang saya harus puji adalah visual grafiknya yang sangat foto realistik. Seperti yang saya nyatakan di atas, saya bermain permainan ini di konsol Xbox One X dan sememangnya permainan ini berjaya memaparkan visual resolusi 4k dengan kadar bingkai sesaat 60FPS.

Akhir kata, apa yang saya boleh katakan berkenaan demo buat Devil May Cry 5 ini, sememangnya Capcom ke arah yang betul buat permainan tersebut. Segalanya yang dipertayangkan melalui demo ini, ianya membuat saya sendiri mengenangkan kembali apa yang saya sangat sukai berkenaan Devil May Cry. Dengan bentuk permainan yang pantas bersama kombinasi pelbagai jenis serangan, saya pasti ianya akan menjadi salah satu permainan yang menarik bagi tahun 2019.

Bagi anda yang mempunyai konsol Xbox One, saya menyarankan anda untuk mencubanya dengan memuat-turunnya secara percuma melalui Microsoft Store.

Namun bagi anda di platform yang lain, anda mungkin perlu menanti sebarang pengumuman oleh Capcom sama ada demo tersebut bakal tiba di Playstation 4 atau PC ataupun tidak. Jika tidak, tampaknya anda perlu menantinya apabila Devil May Cry 5 bakal dilancarkan iaitu pada 8 Mac 2019 ini dan kami di Aksiz pasti akan mengulaskan permainan tersebut.

Sohor Kini