Informasi Permainan Video Terkini
10 Permainan Menarik Diumumkan Semasa Kinda Funny Games Showcase

10 Permainan Menarik Diumumkan Semasa Kinda Funny Games Showcase

Diterbitkan pada Dis 10, 2018 oleh .

Kinda Funny Games iaitu media permainan video yang terdiri daripada penggalak seperti Greg Miller baru-baru ini mengadakan acara Kinda Funny Games Showcase yang memperlihatkan lebih 70 permainan yang sudah dan bakal tiba.

Namun, melalui penulisan ini, saya ingin kongsikan 10 permainan yang paling menarik, ia tidak mengikut sebarang susunan.

1. A Fold Apart

A Fold Apart merupakan permainan tekaria yang dibangunkan oleh Lightning Rod Games. Ia adalah mengenai kesukaran perhubungan jarak jauh antara 2 watak. Menariknya, permainan ini seperti judulnya, menggunakan lipatan kertas sebagai asas utama tekaria. Permainan ini akan dikeluarkan pada 14 Februari 2019.

2. At Sundown

At Sundown merupakan permainan menembak secara solo ataupun multi-pemain. Ia dibangunkan oleh Mild Beast Games dan diterbitkan oleh Versus Evil. Permainan ini boleh dikatakan seakan-akan permainan Invisigun Heroes, di mana semasa pertempuran pemain tidak dapat melihat diri sendiri dan lawan sehinggalah pemain tersebut menyerang. Ia akan dikeluarkan pada 22 Januari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC.

3. Away: Journey to the Unexpected

Away: Journey to the Unexpected merupakan permainan aksi pengembaraan RPG yang memfokuskan pembinaan pasukan menggunkaan pelbagai watak menarik yang terdapat di dalam dunia permainan ini. Ia dibangunkan Aurelien Regard Games serta diterbitkan oleh Playdius untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC dan akan dikeluarkan pada Februari 2019.

4. Bury Me, My Love

Bury Me, My Love merupakan permainan yang memfokuskan penceritaan dan memfokuskan bentuk permainan menggunakan teks mesej. Ia adalah mengenai Nour iaitu seorang pelarian dari Syira yang cuba ke Eropah. Melalui permainan ini, pemain akan mengetahui mengenai mengapa beliau melarikan diri serta nasibnya. Ia dibangunkan oleh The Pixel Hunt dan diterbitkan oleh Playdius. Ia sudah dikeluarkan sebagai permainan mudah alih untuk iOS dan Android. Manakala, untuk Switch akan dikeluarkan pada 10 Januari 2019.

5. Disco Elysium

Disco Elysium dikatakan permainan yang menggabungkan penceritaan detektif Polis dan permainan strategi RPG dengan pandangan isometrik. Menariknya lagi, permainan ini juga memberikan kebebasan kepada pemain untuk menyelesaikan permainan mengikut cara pilihan mereka yang akan memberikan penceritaan yang unik untuk setiap pemain. Ia dibangunkan oleh ZA/UM dan diterbitkan oleh Humble Bundle. Ia akan dikeluarkan pada separuh pertama tahun 2019.

6. Jenny LeClue – Detectivu

Jenny LeClue – Detectivu adalah satu lagi permainan berdasarkan penyiasatan dalam senarai ini. Ia adalah permainan pengembaraan misteri yang mempunyai arahan seni yang menarik. Dalam permainan ini, Jenny LeClue mengembara untuk membuktikan yang emaknya tidak bersalah dalam kes bunuh. Semasa mengembara, pemain akan menjumpai pelbagai watak unik serta mempunyai pilihan untuk menggerakkan penceritaan. Ia akan dikeluarkan pada tahun ini untuk Playstation 4, Switch dan PC.

7. Moving Out

Jika permainan Overcooked tidak cukup untuk membuatkan anda bergaduh dengan rakan, mungkin permainan Moving Out bakal mencabar perhubungan anda. Dibangunkan oleh SMG Studio ia adalah mengenai permainan tekaria berkenaan mengeluarkan barangan daripada sesuatu tempat. Berdasarkan video acah, ia boleh dimainkan secara berseorangan ataupun dengan rakan. Ia akan dikeluarkan pada tahun 2019 untuk PC dan konsol.

8. The Church of Darkness

The Church of Darkness merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Paranoid Production dan diterbitkan Fellow Traveller. Di dalam permainan ini, anda akan menjadi seorang watak yang cuba memasuki ke tempat sekumpulan ajaran melampau untuk mencari ahli keluarga yang menyertai kumpulan tersebut. Anda boleh memilih pelbagai cara untuk menyiasat, dan akan mempunyai pelbagai pengakhiran berdasarkan cara anda bermain. Ia akan dikeluarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC pada tahun 2019.

9. The Occupation

Di dalam permainan The Occupation, anda akan menjadi seorang wartawan penyiasatan yang sedang menyiasat mengenai akta baharu yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan Britain selepas serangan pengganas yang menyebabkan 23 orang mati. Pemain diberi kebebasan untuk menyiasat tetapi mempunyai masa yang terhad. Setiap tindakan pemain akan mendapat reaksi dan penceritaan yang berbeza. Ia dibangunkan oleh White Paper Games dan diterbitkan oleh Humble Bundle untuk Playstation 4, Xbox One dan PC pada 5 Februari 2019.

10. Yiik Postmodern RPG

Yiik Postmodern RPG seperti judulnya merupakan permainan RPG yang boleh dikatakan aneh. Ia adalah mengenai Alex yang meminta bantuan daripada internet untuk menyiasat mengenai kehilangan seorang perempuan secara tiba-tiba semasa mereka berada di dalam lif. Semasa penyiasatan ini, pemain akan menjumpai pelbagai cabaran, pertempuran dan misteri. Ia dibangunkan oleh Ackk Studios dan diterbitkan oleh Ysbryd Games untuk Playstation 4, Switch dan PC. Permainan ini bakal tiba pada 17 Januari 2019.

Walaupun saya menyenaraikan 10 sahaja permainan akan tetapi terdapat banyak lagi permainan yang menarik diumumkan semasa Kinda Funny Games Showcase ini. Dengan pilihan yang pelbagai, sudah semestinya ada permainan yang ‘kena dengan jiwa’ anda.

Oleh disebabkan jumlah yang banyak, kami akan terus kemaskini Aksiz untuk permainan-permainan lain. Namun, anda boleh menonton video penuh acara ini di bawah. Jika anda sudah menontonnya, pastikan anda kongsi permainan-permainan yang menarik minat anda.


TIPS & ULASAN