Jika sebelum ini, Google mengumumkan yang PUBG Mobile sebagai permainan mudah alih terbaik di Play Store, Apple pula minggu ini mengumumkan Donut County yang memenangi anugerah tersebut di App Store.
Donut County dibangunkan oleh Ben Esposito secara berseorangan untuk sebahagian besar permainan ini dan diterbitkan oleh Annapurna Interactive. Di dalam permainan ini pemain akan menjadi rakun yang mencuri pelbagai barangan dengan menggunakan lubang. Selain permainan mudah alih, ia juga dikeluarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Ia sudah dikeluarkan pada 28 Ogos lepas.
Apple juga mengumumkan genre permainan mudah alih popular untuk tahun ini adalah, tidak mengejutkan sesiapa, pertempuran royale. Manakala permainan mudah alih percuma terbaik tahun ini adalah Fortnite, 8 Ball Pool dan Rise Up. Tahniah kami ucapkan untuk para pemenang.