Pada hari ini, salah satu kedai permainan digital yang popular dan digunakan ramai untuk membeli permainan adalah Steam daripada Valve. Populariti Steam, dan posisi merka kini dilihat menerima beberapa cabaran. Selepas Discord hadir dengan kedai permainan tersendiri, kini Epic Games, pembangun Fortnite turut mengumumkan perancangan untuk hadir dengn kedai permainan digital untuk pengguna desktop.
Epic Games Store ini bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan akan menawarkan permainan PC dan juga Mac.
Seperti ramai sedia maklum, pelbagai pengeluar permainan sedia menggunakan enjin Unreal Engine yang dikeluarkan syarikat berkenaan – sekaligus mungkin memudahkan Epic Games untuk menarik para penerbit untuk menggunakan Epic Games Store untuk penerbitan permainan. Malah, Epic Games dilihat akan turut menawarkan beberapa ganjaran bagi penerbit yang menggunakan enjin Unreal dan menerbitkannya di kedai permainan mereka.
Epic Games juga akan mengambil hanya 12% daripada pendapatan, dan membolehkan penerbit permainan mendapatkan 88% daripada harga pembelian – berbeza dengan kedai lain yang mengambil lebih 30% daripada pendapatan.
Tarikh pelancaran rasmi Epic Games Store ini masih tidak diketahui lagi. Kita mungkin mendengar lanjut mengenainya tidak lama lagi – dan mungkin dengan populariti seperti Fortnite akan memudahkan ramai pengguna memasang perisian Epic Games Store ini kelak.
Pembetulan: Kami sebelum ini meletakkan Epic Games mengambil 22%, jumlah sebenar adalah 12%.