Skip to main content

PlayStation Classic yang mana baru sahaja dilancarkan semalam, tampaknya kini pengguna telah pun memperoleh cara untuk mengakses tetapan pelagak buat konsol tersebut dengan hanya menggunakan papan kekunci sahaja.

Menurut laporan IGN, saluran RETRO GAMING ARTS memuat-naik satu video yang mana mereka berupaya untuk mengakses tetapan konsol retro mini tersebut dengan hanya menekan butang kekunci ‘Escape’ selepas menghubungkannya melalui penyambung USB yang terdapat di konsol tersebut.

Namun, berdasarkan video tersebut, beliau juga menyatakan bahawa mereka membuka konsol tersebut dan memasangnya semula tanpa melakukan sebarang perubahan. Tambahan itu, menurut mereka juga, terdapat beberapa papan kekunci sahaja yang boleh digunakan seperti papan kekunci keluaran Logitech ataupun Coisair.

Melalui tetapan tersebut, pengguna tampaknya berupaya untuk mengubah beberapa tetapan seperti rantau, tunjukkan nilai kadar bingkai sesaat dan sebagainya.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, sememangnya PlayStation Classic tersebut menggunakan pelagak sumber terbuka PCSX. Tampaknya dengan penggunaan pelagak tersebut, akses untuk tetapannya juga kelihatan mudah.

Walaupun begitu, kami di Aksiz tidak berkesempatan untuk memiliki konsol retro mini tersebut untuk mencubanya sendiri. Namun, bagi anda yang memilikinya dan ingin mencuba, pastikan anda lakukannya atas risiko sendiri. Berdasarkan video di atas, menurut mereka jika terdapat beberapa perubahan tetapan yang dilakukan, anda mungkin akan merosakkan konsol tersebut.

Leave a Reply