Ulasan Artifact – Permainan Kad Yang Unik Dan Mencabar

Pertama kali saya mencuba permainan kad adalah semasa Hearthstone dikeluarkan iaitu pada tahun 2014. Kini, selepas 4 tahun, Hearthstone masih lagi merupakan permainan kad utama yang saya mainkan hampir setiap hari. Walaupun saya juga mencuba lebih 100 jam permainan lain seperti Gwent oleh CD Projekt Red serta The Elder Scrolls: Legends oleh Bethesda, namun tiada yang dapat membuatkan saya meninggalkan Hearthstone.

Valve pada 28 November 2018 lepas mengeluarkan permainan kad baharu iaitu Artifact untuk PC manakala versi permainan mudah alih dirancangkan untuk tahun hadapan. Adakah permainan ini akhirnya dapat membuatkan saya meninggalkan Hearthstone? Berikut adalah ulasan penuh saya.

Bentuk Permainan

Apabila Valve mengumumkan Artifact, mereka mengatakan permainan ini adalah berdasarkan Dota 2. Mereka sudah semestinya tidak menipu mengenai perkara tersebut. Artifact bukan sahaja menggunakan watak daripada permainan MOBA tersebut tetapi juga mengambil bentuk permainan seakan Dota 2 ataupun MOBA sendiri dengan menyertakan 3 Lane. Setiap lane mempunyai Tower tersendiri yang pemain boleh serang menggunakan kad-kad yang ada. Cara untuk memenangi satu pertempuran adalah dengan terlebih dahulu menghancurkan Tower pada Lane yang sama sebanyak dua kali (Tower pertama mempunyai 40 nyawa, Tower kedua 80 nyawa) ataupun dengan menghancurkan Tower pada dua lane daripada tiga lane yang ada.

Artifact juga menggunakan konsep Hero berdasarkan Dota 2. Di dalam satu dek akan terdapat 5 hero yang boleh digunakan oleh pemain. Selain mempunyai kebolehan, setiap hero juga mempunyai warna tersendiri. Setiap hero dibahagikan kepada empat warna iaitu Hitam, Merah, Hijau dan Biru. Warna tersebut adalah penting kerana kad-kad lain yang turut mempunyai warna hanya boleh digunakan di lane yang mempunyai hero berwarna seperti kad-kad tersebut.

Pada awal permainan, 3 hero akan diletakkan di setiap lane secara rawak (satu lane, satu hero), kemudian hero seterusnya akan diletakkan (mengikut pilihan pemain) pada pusing ke-2 dan ke-3. Susunan Hero ini anda boleh tetapkan semasa membina dek. Hero yang mati, boleh diletakkan kembali selepas 1 pusingan. Setiap pusingan, 2 Creep juga akan diletakkan pada lane secara rawak.

Setiap pusingan akan terdapat 3 bahagian iaitu Action Phase, Attack Phase dan Shopping Phase. Action Phase adalah fasa di mana pemain akan menurunkan kad-kad yang boleh dimainkan mengikut giliran tanpa had selagi Mana mencukupi. Fasa ini adalah penting untuk pemain menguatkan Hero ataupun Creep yang terdapat sebagai persedian untuk menyerang. Ia juga boleh digunakan untuk mengurangkan kekuatan lawan.

Manakala Attack Phase akan berlaku apabila anda serta lawan anda tidak lagi mempunyai mana ataupun kad untuk dimainkan pada Action phase. Fasa ini adalah setiap Hero ataupun Creep yang terdapat di lane tersebut, akan menyerang Hero, Creep ataupun Tower lawan. Arah serangan adalah rawak yang ditetapkan pada awal Action Phase. Dua fasa ini akan berlaku satu persatu untuk setiap lane, iaitu apabila Attack phase selesai di lane pertama barulah akan bermula Action Phase untuk lane ke-2.

Jika anda membunuh Hero, anda akan mendapat 5 Coins, manakala 1 Coins jika membunuh Creep. Coins ini akan digunakan untuk fasa yang seterusnya iaitu Shopping Phase. Fasa ini bermula apabila kesemua Lane sudah selesai Attack Phase mereka. Ketika Shopping Phase, pemain akan berpeluang menggunakan coins untuk membeli aksesori. Aksesori ini adalah berdasarkan kad aksesori yang terdapat di dalam dek pemain. Aksesori tidak mempunyai warna dan boleh digunakan oleh kesemua hero ataupun di lane yang tidak mempunyai hero.

Bagi saya, bentuk permainan yang terdapat di dalam Artifact sangat segar. Walaupun The Elder Scrolls: Legends sebelum ini mencuba dengan mempunyai 2 lane, manakala Gwent mempunyai 2 Row untuk memberikan bentuk permainan yang lebih menarik berbanding Hearthstone, namun mereka gagal. Artifact saya boleh katakan, semasa percubaan saya lebih menarik untuk dimainkan berbanding Hearhstone.

Penggunaan Hero yang mempunyai warna-warna berbeza membuatkan saya lebih berhati-hati dari segi penggunaan kad, dan ditambah lagi mempunyai 3 Lane yang harus diperhatikan menjadikan permainan tidak membosankan. Walaupun ia mungkin akan memerlukan satu sesi permainan yang lama. Selain itu, permainan ini yang mempunyai 2 cara kemenangan yang berbeza, memerlukan anda untuk merancangkan serangan anda dengan lebih teliti, pada masa yang sama memberi lebih ruangan untuk anda mengelak daripada kekalahan.

Buat masa ini saya tidak boleh mengatakan dengan tepat bagaimana meta untuk permainan ini di masa hadapan akan tetapi buat masa sekarang, setiap pertempuran jauh lebih menyeronokkan berbanding Hearthstone. Oleh disebabkan ini adalah satu permainan kad, yang akan terus menerima pelbagai penambahan, ia mungkin berubah di masa hadapan.

Mod Permainan

Di dalam Artifact, disediakan pelbagai mod permainan. Ada yang percuma ada yang berbayar. Pertama adalah Featured, iaitu mod sementara yang memberi peluang untuk pemain bermain menggunakan dek-dek yang dibina oleh Valve (walaupun anda tidak memiliki kad tersebut). Oleh disebabkan mod ini adalah sementara, ia hanya boleh dimainkan sehingga 10 Disember 2018. Saya tidak pasti jika Valve akan menggantikan mod ini dengan mod yang berlainan apabila ia berakhir kelak.

Mod seterusnya adalah Solo Play, melalui mod ini anda boleh mencuba dek dan bermain untuk berlawan dengan bot. Menariknya, anda boleh memberi mana-mana dek kepada bot tersebut walaupun yang mengandungi kad yang anda tidak miliki. Mod ini bagus jika anda ingin mencuba dek anda untuk melawan dengan sesuatu dek yang mungkin anda bermasalah untuk melawannya.

Mod ketiga adalah Social Play. Mod ini adalah untuk membolehkan anda berlawan dengan rakan Steam anda yang turut memiliki permainan ini. Anda boleh menghebahkan yang anda mencari lawan, atau memilih rakan Steam anda secara terus, anda juga boleh mencipta kejohanan sendiri yang mempunyai pelbagai pilihan.

Casual Play merupakan mod seterusnya yang terdapat di dalam permainan ini. Melaluinya anda boleh bertempur dengan pemain-pemain di dalam talian secara percuma. Terdapat tiga kategori iaitu Global Matchmaking di mana anda perlu memilih satu dek dan bertempur dengan pemain lain di dalam talian. Manakala Casual Constructed seperti Global Matchmaking akan tetapi satu sesi membolehkan anda bermain sehingga memenangi 5 perlawan ataupun tewas 2 kali sebelum ia berakhir. Casual Phantom Draft adalah seperti Casual Constructed tetapi dek yang anda bina adalah dengan memilih pilihan kad yang diberi secara rawak. Ia tidak terhad kepada kad yang anda miliki. Bagi saya, mod Casual Phantom Draft ini adalah paling menarik terutama kerana ia adalah percuma dan memberi anda peluang untuk mencuba pelbagai jenis kad.

Terakhir adalah Expert Play iaitu mod khas untuk pemain yang ingin bermain Artifact secara serius. Expert Constructed adalah seperti Casual Constructed, namun anda memerlukan 1 tiket untuk bermainnya. Jika anda berjaya memenangi 3 perlawanan, anda akan mendapat kembali 1 tiket, manakala 4 kali menang mendapat 1 tiket dan 1 pek dan 5 kali menang anda akan mendapat 1 tiket dan 2 pek. Phantom Draft adalah seperti Casual Phantom Draft, tetapi memerlukan 1 pek dan seperti Expert Constructed bergantung kepada jumlah anda menang anda akan mendapat tiket dan pek. Keeper Draft pula adalah seperti Phantom Draft namun ia memerlukan 2 tiket dan juga 5 pek yang berharga RM8 setiap satu. Anda juga akan mendapat tiket serta pek tetapi Keeper Draft memberikan 2 tiket serta 1 pek dengan 3 kemenangan, 2 tiket serta 2 pek dengan 4 kemenangan dan 2 tiket serta 3 pek dengan 5 kemenangan. Kesemua kad yang anda pilih semasa permainan ini juga dimasukkan ke dalam koleksi kad anda.

Mod permainan yang terdapat di dalam Artifact bagi saya agak seimbang untuk pemain yang ingin bermain secara kompetitif, serta permain yang sekadar ingin bermain secara kasual. Namun, tiadanya mod Ranked mungkin agak mengecewakan untuk pemain yang ingin bermain secara serius. Namun, mungkin ia dilakukan kerana tidak ingin menjadikan permainan terlalu ‘bayar-untuk-menang’.

Di dalam pelbagai mod yang disediakan, Draft adalah yang paling menarik kerana anda tidak perlu risau dengan koleksi kad yang anda ada. Sebaliknya sekadar cuba mencipta dek terbaik dengan kad yang anda peroleh secara rawak. Selain itu, ia juga boleh dimainkan secara percuma sangat baik membuatkan anda tidak perlu membazir tiket sekadar ingin mencuba mod tersebut.

Ekonomi

Sebagai satu permainan kad, ekonomi di dalam permainan ini adalah sesuatu yang sangat penting. Tambahan, tidak seperti permainan kad yang lain, ia bukanlah permainan percuma untuk dimainkan. Sebaliknya anda perlu membayar RM85 untuk mendapatkan permainan ini.

Namun, anda akan mendapat 2 dek permulaan, 10 pek yang bernilai RM80 serta 5 tiket yang bernilai RM20. Ia mungkin agak mengecewakan kerana anda tidak boleh mencuba permainan ini secara percuma, akan tetapi apa yang diberikan dengan pembayaran tersebut sudah cukup untuk menjadikan ia berbaloi.

Objektif utama permainan kad, selain berlawan, adalah mengembangkan koleksi kad anda. Anda boleh melakukannya dengan menggunakan pek yang boleh dibeli atau dengan mendapatkan secara percuma dengan bermain Expert Constructed, Phantom Draft dan Keeper Draft. Tiada cara lain untuk mendapatkan pek secara percuma, akan tetapi Valve menyediakan Market Place di mana permain boleh berjual beli kad yang mereka miliki tetapi tidak ingin digunakan ataupun mempunyai jumlah yang berlebihan.

Melalui Hearthstone dan juga Gwent, saya sentiasa berharap pek percuma yang diperoleh dengan bermain, Artifact yang tidak menyediakan sistem yang sama agak mengecewakan akan tetapi saya merasakan sistem Market Place yang disediakan adalah lebih baik berbanding dengan mengharapkan kepada RNG kotak tikam dalam bentuk pek. Buat masa ini, harga Market Place boleh dikatakan tidak terlalu mahal kecuali untuk beberapa kada. Ia mungkin akan menjadi lebih baik ataupun lebih mahal di masa hadapan.

Expert Constructed, Phantom Draft dan Keeper Draft memerlukan tiket untuk bermain. Anda boleh membeli 5 tiket dengan harga RM20. Bagi saya harga yang ditawarkan tidaklah mahal, bahkan jika anda bermain dengan baik dan mendapat 3 kemenangan sekurang-kurangnya, anda sebenarnya bermain secara percuma. Artifact juga menyediakan mod Casual yang membolehkan anda mencuba sebelum menggunakan tiket. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan satu tiket dengan mengitar semula 20 kad yang berlebihan ataupun tidak diingini.

Mungkin ramai yang mengatakan setiap permainan di dalam Artifact memerlukan pembayaran, akan semasa percubaan awal saya ini, saya berpendapat sistem ekonomi yang disediakan di dalam permainan ini lebih mesra pemain berbanding permainan kad lain termasuk juga Hearthstone.

Grafik Dan Audio

Permainan kad, terutama Artifact yang mempunyai 3 lane berbeza merupakan satu permainan yang boleh menjadi serabut dengan mudah. Namun, saya merasakan Valve melakukan dengan baik untuk memastikan apa yang dipaparkan lebih mudah untuk difahami sekaligus memudahkan anda untuk merancang strategi yang diinginkan.

Bantuan visual juga dilakukan dengan baik. Setiap sesuatu perkara yang harus diketahui oleh pemain, diperlihatkan dengan kesan visual yang jelas. Contohnya, kad apa yang boleh dimainkan dan kad yang akan mati semasa Action Phase. Bantuan visual ini amatlah penting kerana bentuk permainan yang memerlukan pemerhatian yang tinggi.

Rekaan kad adalah menarik tetapi agak ringkas, begitu juga dengan aksi untuk sesetengah kad. Lukisan yang disediakan di setiap kad agak biasa dan statik tanpa sebarang animasi. Manakala kesan aksi sesuatu kad, dilakukan dengan efektif tetapi tidak menarik seperti mana permainan kad yang lain.

Secara keseluruhan rekaan grafik yang ada sudah cukup baik dan kelancaran permainan sangat stabil. Saya bermain permainan ini di laptop HP Omen 15-CE0xx yang menggunakan CPU Intel i7-7700HQ, 8GB Ram dan GPU GTX 1050 8GB dan tidak mengalami sebarang masalah walaupun sedang merakam sesi permainan tersebut.

Seperti grafik dan visual, audio juga memainkan peranan penting untuk menjadikan permainan kad lebih menarik dan Artifact melakukannya dengan baik. Muzik latar yang disediakan di dalam permainan ini adalah sangat mengasyikkan dan sangat menjadikan satu sesi permainan yang panjang tidak membosankan.

Setiap kad, mempunyai penerangan yang mempunyai audio tersendiri yang dibaca oleh watak-watak hero di dalam permainan ini. Manakala hero juga akan memperkatakan sesuatu setiap kali kad dimainkan menjadikan permainan lebih interaktif. Walaupun bukan sebahagian penting di dalam bentuk permainan akan tetapi audio yang disediakan di dalam permainan ini sudah cukup baik untuk meningkatkan kualiti permainan dan pertempuran.

Rumusan

Percubaan yang dilakukan oleh Valve untuk memecah masuk ke genre permainan kad telah dilakukan dengan baik. Artifact mempunyai keunikan serta kekuatan tersendiri yang tidak menjadikan ia sekadar satu lagi permainan kad. Bentuk permainan yang mudah difahami akan tetapi mengambil masa untuk menjadi pakar menjadikan ia satu permainan yang mesra pemain yang berpengalaman ataupun tidak berpengalaman untuk permainan kad.

Permainan ini disertakan dengan mod yang pelbagai bukan sahaja untuk pemain yang serius, tetapi juga untuk pemain yang sekadar ingin bermain secara kasual. Walaupun pada awal permainan ia memerlukan bayaran tetapi selepas itu pemain boleh bermain tanpa mengeluarkan sebarang duit terutama secara kasual melalui mod Casual Phantom Draft. Selain itu, bagi pemain yang ingin bermain secara kompetitif, ia menyediakan beberapa mod yang bersesuaian tetapi agak kecewa kerana tidak disertakan mod Ranked yang sudah semestinya menjadi penarik untuk permainan kad yang lain.

Sistem ekonomi di dalam permainan ini mungkin tidak digemari oleh sebilangan pemain. Terutama ia memerlukan bayaran sebanyak RM85 untuk sekadar mencuba permainan tersebut. Oleh disebabkan ia tidak menyediakan sebarang cara untuk mendapatkan pek secara percuma, pemain harus berharap kepada Market Place untuk mendapatkan kad-kad yang diingini. Bagi saya, ia adalah cara yang lebih baik berbanding hanya berharap kepada pek kad.

Artifact sudah semestinya satu permainan kad yang mempunyai bentuk permainan yang unik. Bagi anda yang meminati permainan kad ataupun yang ingin mencuba, Artifact adalah sesuatu permainan kad yang baik dan saya akan meluangkan lebih banyak masa bermain permainan ini berbanding Hearthstone sekurang-kurangnya untuk satu jangka masa terdekat ini.

Penafian: Kod ulasan untuk Artifact disediakan oleh Valve.

Sohor Kini