Informasi Permainan Video Terkini
Nintendo Umum Garis Panduan Baharu Untuk Perkongsian Kandungan Permainan Di Atas-Talian

Nintendo Umum Garis Panduan Baharu Untuk Perkongsian Kandungan Permainan Di Atas-Talian

Diterbitkan pada November 29, 2018 oleh .

Jika anda seorang yang sering memuat-naik video-video bermain permainan di Youtube mahupun Facebook, anda pasti mengetahui berkenaan Nintendo Creator Program yang mana ianya agak menyusahkan buat pencipta kandungan di sosial media.

Terkini, Nintendo mengemaskini garis panduan tersebut yang mana mereka melonggarkan sedikit peraturan dan pada masa yang sama memberi kebebasan yang lebih meluas buat pencipta kandungan.

Menurut Nintendo, mereka sangat berbangga dengan semangat peminat setiap hari yang mana sering diperlihatkan oleh mereka. Sekaligus, dengan garis panduan baharu ini, Nintendo berharap ianya akan memudahkan buat pencipta kandungan untuk berkongsi sebarang kandungan permainan daripada Nintendo.

Nintendo juga menyatakan bahawa mereka tidak berupaya untuk memberi respon untuk sebarang pertanyaan oleh setiap individu dan mereka juga mungkin akan mengemaskini garis panduan tersebut dari semasa ke semasa. Namun setakat ini, berikut adalah garis panduan yang baharu diumumkan oleh Nintendo:

  • Anda mempunyai kebebasan untuk mengewangkan video dan saluran anda secara berasingan yang ditentukan oleh Nintendo. Namun, bentuk mengewangkan yang lain untuk kegunaan komersial adalah tidak dibenarkan. (Platform yang dibenarkan adalah seperti Facebook, Youtube, Twitch dan sebagainya. Senarai penuh di sini )
  • Anda digalakkan untuk menyertakan input kreatif dan ulasan anda sendiri. Video dan imej yang hanya mempunyai kandungan Nintendo tanpa sebarang input kreatif ataupun ulasan tidak dibenarkan. Namun, anda masih lagi boleh memuat-naik kandungan permainan video mahupun paparan skrin yang dikongsikan melalui fungsi sistem perkongsian di Switch tanpa sebarang input atau ulasan.
  • Anda hanya boleh menggunakan kandungan permainan Nintendo yang hanya dilancarkan secara rasmi ataupun kandungan promosi yang dikeluarkan oleh Nintendo seperti video acah trailer ataupun Nintendo Direct.
  • Jika anda ingin menggunakan hak intelek daripada pihak ketiga, anda sendiri akan bertanggungjawab terhadap kebenaran kandungan tersebut.
  • Anda tidak dibenarkan untuk menyatakan bahawa kandungan video anda berkaitan atau ditaja oleh Nintendo.
  • Nintendo masih lagi mempunyai hak untuk membuang sebarang kandungan yang melanggar hak cipta ataupun tidak sesuai mengikut garis panduan ini.

Sememangnya ini merupakan satu perkara yang sangat dinantikan untuk pencipta kandungan diluar sana. Bukan sahaja ianya memudahkan untuk sebarang penstriman secara langsung sesi permainan ataupun ulasan permainan video Nintendo, malah ini juga memberi ruangan yang lebih bebas untuk peminat berkongsi sebarang kandungan permainan Nintendo dan juga mendapatkan wang bayaran melalui program pencipta kandungan seperti di Youtube, Twitch dan Facebook.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui informasi lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh melayari laman rasmi Nintendo untuk membaca kesemua garis panduan yang tersedia termasuklah soalan-soalan yang sering ditanya oleh pencipta kandungan.


TIPS & ULASAN