Setelah sebulan Red Dead Redemption 2 dilancarkan, Rockstar Games hari ini mengumumkan bahawa mereka akhirnya akan melancarkan mod atas-talian buat permainan tersebut iaitu, Red Dead Online bermula malam ini secara percubaan beta.
Red Dead Online merupakan mod atas-talian yang dibangunkan khas oleh Rockstar Games hasil dari pengalaman mereka membangunkan komponen atas-talian daripada permainan mereka sebelum ini.
Menurut Rockstar Games, Red Dead Online akan mempunyai bentuk permainan asas dari Red Dead Redemption 2 namun mereka akan mengubah beberapa kandungan persekitaran khas untuk dunia multi-pemain tersebut. Pemain juga berupaya untuk mencipta dan mengubah-suai watak mereka sendiri termasuklah kemahiran-kemahiran yang berbeza mengikut citarasa pemain.
Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengembara di dalam dunia tersebut secara solo ataupun bersama-sama rakan dimana pemain berpeluang untuk menghasilkan satu pasukan atau kumpulan sehingga 7 pemain serentak. Seperti Red Dead Redemption 2, pemain berupaya untuk memburu, memancing, bertempur geng musuh dan melakukan pelbagai misi di dalam Red Dead Online 2.
Red Dead Online Beta akan mula beroperasi secara akses awal bermula malam ini, 27 November 2018 pada jam 9:30 malam. Namun, akses awal ini hanyalah untuk pengguna yang memiliki edisi permainan Red Dead Redemption 2: Ultimate Edition.
Manakala untuk hari seterusnya pada 28 November, Red Dead Online beta akan boleh di akses untuk mereka yang bermain permainan Red Dead Redemption 2 pada 26 Oktober selepas pelancarannya sahaja.
Hari seterusnya iaitu 29 November pula, akses Red Dead Online Beta akan diberi kepada pemain yang bermain Red Dead Redemption 2 pada tarikh 26 sehingga 29 Oktober sahaja.
Manakala hari terakhir, iaitu 30 November, Rockstar Games akhirnya akan membuka Red Dead Online Beta secara umum buat semua pemain Red Dead Redemption 2.
Sememangnya Red Dead Online boleh dimainkan untuk semua pemain yang memiliki permainan Red Dead Redemption 2 di Playstation 4 mahupun Xbox One. Namun, menurut Rockstar Games, sebab mengapa mereka mengasingkan masa untuk sesi percubaan Beta adalah mereka ingin pastikan pelayan permainan tersebut tidak akan ranap jika terdapat terlalu ramai pemain yang ingin mencuba log masuk ke dalam Red Dead Online tersebut.
Red Dead Redemption 2 telahpun dilancarkan pada Oktober lepas di Playstation 4 dan Xbox One dan kami di Aksiz juga telahpun membuat ulasan penuh untuk mod solo bagi permainan tersebut. Jika anda berminat untuk menonton atau membaca ulasan tersebut, anda boleh ke pautan dibawah.
Ulasan Red Dead Redemption 2 – Permainan Simulasi Koboi Yang Epik Dengan Pelbagai Kandungan