Jika anda mempunyai set kepala realiti-maya Playstation VR bersama-sama dengan alat kawalan gerakkan Playstation Move, anda pasti tertanya-tanya permainan apakah yang anda boleh main bersama-sama set tersebut?

Sepanjang dua tahun sejak pelancaran Playstation VR, Sony telah pun melancarkan pelbagai permainan realiti-maya di Playstation VR dengan pelbagai jenis bentuk permainan dari permainan seram sehinggalah permainan perlumbaan kenderaan.

Namun melalui Déraciné, Hidetaka Miyazaki dari From Software, iaitu beliau terkenal dengan siri permainan Dark Souls dan Bloodborne, cuba untuk menceburi permainan realiti-maya yang mana ianya dilancarkan secara esklusif di Playstation 4 pada 6 November 2018 lepas.

Namun adakah ianya satu permainan yang menarik oleh beliau? Ini adalah ulasan penuh saya untuk Déraciné.

Cerita

Penceritaan Déraciné tidak dapat dinafikan ialah satu penceritaan yang menarik dan mendebarkan. Namun, bagi anda yang tidak menyukai permainan seram, anda tidak perlu khuatir kerana permainan ini bukanlah satu permainan seram mahupun ngeri. Sepanjang permainan ini, ianya tidak mempunyai adegan mengejutkan. Tetapi, permainan ini masih lagi mempunyai satu atmosfera yang agak menyeramkan kerana arah seni permainan itu sendiri.

Déraciné meletakkan pemain bermain sebagai seorang faerie ataupun pari-pari. Melaluinya, pemain akan mengembara di kawasan rumah anak yatim dan membantu segala keperluan anak-anak yatim tersebut seperti melakukan gurauan terhadap anak yatim yang lain dan juga menyelesaikan sebilangan misteri yang terdapat di dalam permainan tersebut.

Sepanjang sesi permainan ini, anak-anak yatim tersebut tidak berupaya untuk melihat pemain, namun pemain masih lagi boleh berinteraksi dengan mereka dengan memberi barangan ataupun menyentuh mereka.

Secara asasnya, apa yang pemain lakukan di dalam keseluruhan permainan ini hanyalah menyelesaikan misteri permainan tersebut. Namun apa yang menariknya adalah Déraciné menggunakan sebilangan bentuk pengembaraan masa dimana pemain akan bergerak ke masa hadapan dan juga masa lampau untuk menukar sebilangan pilihan-pilihan yang dilakukan oleh anak-anak yatim tersebut.

Seperti contohnya, terdapat anak yatim bernama Rosza, dimana beliau mengalami kecederaan di kaki dan membuat beliau tidak berupaya untuk berjalan dengan baik. Namun, pemain berupaya untuk ke masa lampau dan mengelak daripada kemalangan tersebut berlaku. Sekaligus, apabila pemain ke masa kini, Rosza berupaya untuk berjalan dengan baik tanpa sebarang kecederaan.

Sepanjang penceritaan ini, pemain bukan sahaja akan mengambil berat terhadap kelima-lima watak anak yatim tersebut, malah pemain juga akan mengetahui misteri dan juga kisah latar antara mereka dengan berinteraksi dengan mereka.

Walaupun ianya mempunyai konsep yang menarik, namun keseluruhan permainan ini hanyalah menempatkan konsep yang hampir sama sahaja. Dimana pemain hanya akan menyelesaikan tekaria untuk menggerakkan penceritaan dan ianya berasa seolah satu simulasi perjalananan sahaja.

Saya akui ketika pertengahan penceritaan permainan ini, Déraciné memaparkan satu bentuk penceritaan yang unik dan menarik. Namun, setelah sampai ke penghujungnya, ianya berasa agak mendatar dan dari segi penerangan pengakhiran, ianya berasa agak lemah.

Tambahan itu, permainan ini juga adalah sangat pendek, bahkan saya berasa ianya boleh dihabiskan dengan satu sesi permainan sahaja, Ini kerana penceritaannya sangat ringkas dan saya berjaya habiskan bahkan mendapat Platinum permainan ini kurang daripada enam jam sesi permainan.

Grafik

Dari segi grafik, permainan ini tidaklah memaparkan visual grafik yang tinggi. Malah ianya berasa seakan biasa sahaja. Ini kerana, Déraciné bukannya sebuah permainan beraksi, sekaligus segala pergerakkan watak berasa seolah satu gambaran yang bergerak sahaja.

Dari segi animasi, ekspresi watak, kesemuanya kelihatan sangat mendatar. Bukan setakat itu sahaja, memandangkan permainan dimainkan di Playstation VR, visual grafik yang dihadkan oleh set kepala tersebut memberinya lebih banyak masalah seperti model 3D klip sesama sendiri dan juga pepijat visual ketika skrin permuatan.

Dari segi prestasi permainan, permainan ini sememangnya dimainkan dengan baik sekali dengan Playstation VR bersama Playstation 4 Pro. Sepanjang sesi permainan saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah kadar bingkai sesaat mahupun kerosakkan visual grafik. Namun, apa yang saya lalui adalah terdapat beberapa saat ketika bermain permainan ini, terdapat beberapa model 3D lambat dimuatkan.

Walaupun masalah tersebut tidaklah begitu berat dan merosakkan permainan, ianya masih lagi merosakkan tahap immersif buat permainan tersebut, memandangkan permainan realiti-maya memerlukan kepuasan immersif yang tinggi.

Audio

Audio permainan ini tidaklah begitu teruk namun ianya tidaklah begitu menarik. Sememangnya kesemua sesi permainan ini, ianya dimainkan dengan bahasa Inggeris bersama pelakon suara latar. Namun, apa yang mengecewakan saya adalah hampir kesemua watak yang melakon watak-watak di dalam permainan ini berasa seolah lemah dan tidak bersemangat.

Jika ingin dikaitkan dengan arah seni permainan ini, saya memahami memandangkan ianya berkonsep atmosfera permainan yang sedih dan muram. Akan tetapi, disebabkan keadaan pelakon suara latar yang agak kurang bagus, ianya berasa satu bentuk permainan yang agak bosan pada saya.

Walaupun begitu, saya perkara yang saya harus puji berkenaan permainan ini adalah muziknya. Segala muzik yang dipapar dan dimainkan di dalam permainan ini sememangnya satu muzik yang sangat berkualiti tinggi.

Bukan sahaja ianya tepat bersama atmosfera arah seni permainan ini, malah muzik permainan ini sendiri memberi satu pengalaman yang sangat menarik sepanjang sesi permainan saya.

Kawalan Permainan

Kawalan atau bentuk permainan Déraciné adalah sangat mengecewakan. Namun, masalah permainan ini bukanlah disebabkan oleh rekaannya, tetapi ianya juga disebabkan oleh had perkakasan Playstation VR.

Seperti yang anda tahu, permainan ini memerlukan Playstation VR untuk dimainkan bersama-sama alat kawalan Playstation Move. Namun, alat kawalan tersebut tidak mempunyai sebarang kawalan Analog seperti di Dualshock 4. Sekaligus, segala pergerakkan di dalam permainan ini dihadkan berdasarkan alat kawalan Playstation Move.

Sepanjang permainan ini, pemain perlu melihat ke arah kawasan yang pemain ingin bergerak dan menekan butang utama Playstation Move untuk rentas jarak ke lokasi tersebut. Ini bukan sahaja merosakkan kualiti immersif permainan, malah ianya berasa pergerakkan permainan ini dihadkan.

Namun, saya memahami kenapa From Software menggunakan bentuk kawalan seperti buat permainan Déraciné. Namun, dari segi kawalannya, ianya sudah memecah belahkan immersif permainan realiti-maya. Selain itu, untuk bertukar arah, ianya menggunakan butang pangkah dan bulat untuk berpusing arah. Kawalan ini juga menyebabkan permainan ini berasa agak kompleks dan tidak seronok untuk dimainkan.

Namun, dari segi kawalan pergerakkan seperti pengambilan barang ataupun melakukan tekaria, ianya tidaklah bermasalah seperti kawalan pergerakkan. Ini kerana, Playstation Move sememangnya mimik pergerakkan tangan dengan baik sekali seperti ketika saya ingin mengambil barangan yang terdapat di lantai, ataupun di watak anak yatim tersebut. Kawalan pergerakkan tersebut dihasilkan dengan baik seperti permainan realiti-maya yang lain dengan penggunaan Playstation Move.

Bercakap berkenaan tekaria, sepanjang permainan ini pemain akan menyelesaikan sebilangan tekaria untuk merungkai misteri yang terdapat di dalam permainan ini. Namun, tekaria yang terdapat di dalam Déraciné tidak begitu kompleks, malah pemain hanya perlu mendengar petua-petua yang diberikan oleh anak yatim tersebut untuk menyelesaikannya.

Akan tetapi, ianya berasa seolah satu bentuk yang sangat ringkas kerana kebanyakkan tekaria yang tersedia di dalam permainan ini, pemain hanya perlu bergerak ke satu tempat ke satu tempat dan mengambil sesuatu barangan dan membawanya kembali ke tempat asal.

Seperti contohnya, terdapat satu tekaria yang mana pemain perlu membuka kotak yang berkunci. Namun, untuk mencari kunci tersebut, pemain hanya perlu mendengar lokasi kunci melalui watak anak yatim yang terdapat di dalam permainan ini. Watak tersebut secara mudahnya akan memberitahu lokasi kunci tersebut, dan pemain hanyalah perlu ke lokasi yang dinyatakan untuk mengambilnya tanpa sebarang halangan ataupun cabaran tambahan.

Ianya juga berasa seolah satu bentuk misi permainan yang sangat malas oleh pembangun dan ia membuatkan permainan ini berasa berulangan disebabkan tekaria-tekaria yang terdapat di Déraciné hampir seragam.

Selain itu, permainan ini juga mempunyai satu bentuk pengembaraan masa dimana pemain akan bergerak dari masa depan ke masa lampau ataupun sebaliknya. Walaupun begitu, konsep ini berasa sangat mendatar kerana pemain tidaklah mempunyai sebarang pilihan masa ataupun waktu. Ini kerana, permainan ini sendiri akan memilih jangka masa yang pemain akan mengembara untuk menggerakkan penceritaannya.

Sekaligus, konsep ini tidaklah memberi satu kebebasan yang menarik dari segi penceritaan bersama-sama dengan bentuk permainan. Malah, pada pendapat saya, konsep ini hanyalah satu bentuk permainan yang sia-sia dan bergimik sahaja.

Dari segi kawalan yang lain, jika anda pernah bermain permainan simulasi perjalanan yang lain, permainan ini sememangnya tidak memberi sebarang bentuk yang baru. Ianya masih lagi meletakkan pemain untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan hanyalah menyelesaikan misteri secara berperingkat.

Kesimpulan

Déraciné sememangnya satu permainan yang unik. Dari segi penceritaannya, ianya memaparkan satu cerita yang sangat misteri dan mendebarkan. Namun, dari segi penyampaian bersama-sama dengan masalah visual dan suara latar, ianya menyebabkan tahap immersif untuk permainan realiti-maya berasa agak hambar.

Tambahan itu, dari segi bentuk permainannya yang mengecewakan bersama-sama tekaria yang sangat mudah untuk diselesaikan. Permainan ini berasa sangat pendek dan kandungannya sangatlah sedikit dan menyebabkan saya berasa agak bosan sepanjang sesi permainan.

Namun, bagi anda yang ingin mendapatkan trofi Platinum dengan mudah ataupun bagi anda yang berminat untuk mencari easter egg ataupun rujukkan permainan Bloodborne yang terdapat di dalam permainan ini, anda mungkin berminat untuk mencubanya.

Namun bagi anda yang lain, saya sendiri tidak mengesyorkan permainan ini malah saya berasa terdapat pelbagai lagi permainan realiti-maya yang jauh lebih baik di Playstation VR.

Penafian: Kod ulasan untuk Déraciné disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini