Skip to main content

Satu perkara yang harus dipuji berkenaan syarikat pembangun permainan Hello Games iaitu mereka tidak berhenti memperkenalkan pelbagai kemaskini baru buat permainan No Man’s Sky.

Baru sahaja Oktober lepas mereka melancarkan kemaskini The Abyss, terkini mereka mengumumkan bahawa kemaskini seterusnya buat permainan tersebut iaitu Visions bakal tiba hari ini sebagai kemaskini percuma.

Melalui kemaskini Visions, Hello Games menyatakan bahawa mereka akan membawa kehidupan baru di planet-planet yang terdapat di dalam permainan ini seperti anomali biom planet baru bersama-sama dengan makhluk baru.

Selain itu mereka juga mengemaskini dengan kandungan langit yang pelbagai bersama-sama dengan meletakkan beberapa kawasan yang mempunyai pelangi.

Namun apa yang paling menarik adalah permainan tersebut kini mempunyai misi komuniti yang mana para pemain boleh melakukan misi-misi secara bersama dan melengkapkannya. Dengan melengkapkan misi tersebut, pemain juga berpeluang untuk mendapat barangan ganjaran seperti helmet Eye of the Korvax.

No Man’s Sky merupakan permainan penembak pandang pertama penerokaan alam terbuka. Ia telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC. Bagi anda yang ingin kembali ke dunia permainan tersebut, jangan lepaskan peluang untuk memuat-turun kemaskini Visions secara percuma bermula hari ini.

Leave a Reply