Bethesda Softworks hari ini melancarkan kemaskini terbaru buat permainan Fallout 76 yang mana ianya boleh dimuat-turun sekarang di Playstation 4, Xbox One dan juga PC.
Menariknya, kemaskini tersebut adalah bersaizkan 48.39GB yang mana hampir dengan saiz permainan teras tersebut.
Sememangnya ini tidaklah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kami baru sahaja melaporkan bahawa permainan tersebut mempunyai pepijat sehingga menyebabkan pelayan permainannya ranap setelah ditembak sebanyak tiga tembakan nuklear.
Dari segi kandungan kemaskini pula, Bethesda Softworks juga berkongsi sebilangan kemaskini yang mereka umumkan seperti isu prestasi permainan, pepijat yang terdapat ketika membina kem dan juga pembaikkan antara muka buat permainan tersebut. Bagi anda yang ingin membaca senarai penuh kemaskini tersebut, anda boleh ke pautan ini.
Fallout 76 sudah dikeluarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC (melalui Bethesda.net) dengan harga bermula RM237. Bagi ulasan kami, kami masih lagi sedang membuat ulasan berkenaan permainan dan akan kami kongsikannya dalam masa terdekat ini.