Skip to main content

Ketika Belanjawan 2019 lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk membangun dan menggalakkan e-sukan dan pada masa sama beliau juga mengatakan ia melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

Seperti yang diperkatakan oleh saya sebelum ini, pengumuman tersebut adalah agak mengelirukan kerana e-sukan dan pemaju permainan digital adalah dua perkara berbeza walaupun kedua-duanya melibatkan permainan video.

Terbaru, kami melaporkan yang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq mengatakan beliau juga ingin Malaysia turut menjadi pengeksport permainan video, namun kenyataan beliau juga agak mengelirukan apabila beliau juga bercakap mengenai pembangunan permainan video e-sukan.

Pada hemat saya, pembangunan permainan video harus tidak disasarkan untuk sekadar menghasilkan permainan yang boleh dijadikan sebagai satu e-sukan. Bahkan, kebanyakan permainan yang kini menjadi satu e-sukan, dibangunkan pertamanya sebagai permainan dan bukan sebagai sebagai e-sukan. Permainan yang dibangunkan sebagai satu e-sukan juga banyak yang gagal kerana tidak mempunyai penggerak yang ramai.

Oleh disebabkan itu, saya berpendapat kerajaan dan terutama Kementerian Belia dan Sukan harus mengasingkan kedua-dua industri tersebut dan mempertanggungjawabkan pembangunan untuk industri tersebut kepada dua pihak yang berbeza dan berikut adalah sebab-sebab mengapa;

Dua Industri Yang Sangat Berbeza

Jika ingin dibandingkan, saya boleh menggunakan analogi bagai darat dan lautan, walaupun di atas bumi yang sama akan tetapi keduanya sangat berbeza. Sebegitu jugalah apabila dibandingkan antara industri pembangunan permainan video dan industri e-sukan. Walaupun kedua-duanya melibatkan permainan video namun perbezaan di antara keduanya sangatlah besar,

Andai ingin disenaraikan cara-cara untuk memajukan dua industri tersebut, saya boleh katakan yang ia akan memberikan dua senarai yang sangat berbeza.

Dua Industri Yang Masih Berkembang Di Malaysia

Saya boleh katakan yang industri pembangunan permainan video lebih dahulu bertapak di Malaysia, hanya beberapa tahun yang lepas sahaja industri e-sukan mula menjadi ‘sohor kini’ di sini. Namun, seperti industri e-sukan, industri pembangunan permainan video juga mempunyai satu perjalanan yang jauh untuk menjadi setara dengan negara-negara lain.

Oleh disebabkan itu pembangunan kedua-dua industri ini akan memerlukan gerak kerja dan inisiatif yang pelbagai serta agak sukar. Jika ingin digabungkan kedua-dua industri ini, ia akan menjadi sangat tidak fokus terutama sebab pertama yang saya tulis di atas. Ia adalah dua industri yang berbeza.

Mengejar Dua Arnab Serentak, Kedua-duanya Akan Terlepas

Pepatah Russia ada mengatakan jika kita mengejar dua ekor arnab, kita akan kehilangan kedua-duanya. Begitu jugalah dengan usaha kerajaan untuk memajukan kedua-dua industri ini. Jika kerajaan ingin membangunkan dua industri ini secara bersama, saya boleh katakan, kita tidak akan memajukan mana-mana industri.

Adakah perlu mengorbankan satu? Tidak semestinya, namun jika kerajaan betul-betul ingin untuk memajukan kedua-dua industri ini, mereka perlu menyediakan peruntukan yang jauh lebih besar berbanding RM10 juta yang diumumkan sebelum ini. Bahkan, RM10 juta adalah satu nilai yang kecil jika ingin bercakap mengenai pembangunan satu industri, inikan lagi jika kedua-duanya.

Memajukan industri pembangunan permainan video merupakan satu tugas yang sukar, begitu juga memajukan industri e-sukan. Jika ingin memajukan industri pembangunan permainan video untuk e-sukan? Saya boleh katakan ia adalah hampir mustahil.

Saya sudah semestinya tidak mempunyai jawapan yang lengkap, namun pada pendapat saya berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan oleh pihak terlibat termasuk juga kerajaan.

Mengasingkan Gerak Kerja Bagi Dua Industri Tersebut

Kita kembali kepada pengumuman semasa belanjawan 2019, peruntukan RM10 Juta yang diberikan untuk memajukan ‘e-sukan’ diberikan kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang merupakan, pada pengetahuan saya, lebih memfokuskan kepada industri pembangunan permainan video.

MDEC boleh dikatakan tidak terlibat dengan industri e-sukan, sekurang-kurangnya tidak secara langsung. Disebabkan perkara ini yang membuatkan saya keliru dengan pengumuman belanjawan tersebut. Saya juga berpendapat, MDEC seharusnya hanya memfokuskan kepada industri pembangunan permainan video. Mereka sudah melakukan perkara yang baik antaranya adalah Level Up iaitu inkubator pembangun permainan video.

Manakala kemajuan industri e-sukan seharusnya diberikan kepada satu badan lain. Bahkan saya merasakan adalah lebih baik, kementerian juga dibezakan. Jika Kementerian Belia dan Sukan memfokuskan usaha mereka untuk pembangunan industri e-sukan, kemajuan industri pembangunan permainan video seharusnya diberikan kepada kementerian lain, contohnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Prospek Industri Pembangunan Permainan Video Lebih Baik Berbanding E-Sukan

Jika terpaksa memilih salah satu industri untuk difokuskan, terutama dengan kekangan hutang negara yang mengakibatkan pelbagai manifesto ditangguhkan, pada pendapat saya, prospek industri pembangunan permainan video adalah lebih baik berbanding e-sukan.

Benar, kedua-dua industri tersebut memerlukan bantuan dan sentuhan daripada kerajaan, namun berbanding e-sukan, industri permainan video lebih memerlukannya manakala e-sukan boleh dilakukan dengan secara minimum tetapi ia masih berkembang dengan usaha-usaha pihak lain terutama di kalangan pemain sendiri.

Bahkan, walaupun kedua-duanya adalah satu tugas serta tanggungjawab yang sangat besar, industri pembangunan permainan video adalah lebih jelas usaha yang harus dilakukan berbanding dengan e-sukan yang bagi saya masih tidak jelas sasaran akhir.

Jika kerajaan berkemampuan dan sanggup untuk mengusahakan kedua-dua industri, teruskan akan tetapi jika tidak, industri pembangunan permainan video adalah satu permata yang akan lebih bersinar terang berbanding industri e-sukan.

Industri pembangunan permainan video juga mempunyai contoh kejayaan yang lebih banyak berbanding e-sukan. Lemon Sky Studio contohnya, sudah terlibat dengan pelbagai pembangunan permainan AAA, jika diberikan suntikan dan bantuan yang betul, mungkin mereka juga akan berjaya menghasilkan permainan AAA sendiri.


Berikut adalah sekadar pendapat saya dengan kadar pengetahuan yang terhad untuk kedua-dua industri tersebut. Saya merasakan, kementerian yang sudah semestinya mempunyai tenaga kerja serta peruntukan yang lebih sudah semestinya dapat lebih mendalami kedua-dua industri ini dan mengetahui apa yang betul-betul perlu dilakukan.

Leave a Reply