Permainan kad oleh Valve berdasarkan Dota 2 iaitu Artifact akan dikeluarkan secara rasmi pada 28 November 2018. Melalui sesi beta terutup, pemain yang diberikan akses dapat mencuba permainan tersebut terlebih awal iaitu bermula hari ini.
Tidak lama selepas beta bermula, permainan tersebut mula menerima kritikan oleh pemain terutama mengenai sistem mikro-transaksi yang disertakan bersama dengan permainan ini.
Berbeza dengan permainan kad yang lain, Artifact memerlukan pembayaran sebanyak RM85 untuk mendapatkan permainan tersebut. Setiap pembelian akan memberikan pemain 10 pek kad, 5 tiket Event dan dua dek permulaan.
Namun, pemain harus berbelanja wang sebenar untuk mendapatkan pek ataupun kad lain. 1 Pek dijual dengan harga $1.99(~RM8.34). Selain itu pemain juga boleh membeli kad yang diinginkan melalui Marketplace, dan bergantung kepada harga yang ditetapkan oleh pemain lain.
Sistem ini agak berbeza jika dibandingkan dengan permainan kad digital yang lain. Contohnya, Hearthstone juga mempunyai mikro-transaksi akan tetapi setiap hari mereka akan memberikan cabaran yang akan memberikan Gold. Gold tersebut boleh ditebus untuk mendapatkan pek. Dengan kata lain, anda boleh bermain Hearthstone tanpa berbelanja.
Manakala Artifact ia adalah mustahil. Selain melalui permainan mod Draft yang memerlukan bayaran untuk menyertainya, tiada pek akan diberikan secara percuma. Ramai pemain yang mencuba permainan tersebut mengatakan Artifact adalah permainan yang memerlukan pemain membayar untuk segalanya.
Valve melalui penulisan di blog Artifact, mengatakan pemain kini boleh kitar semula kad yang tidak diperlukan menjadi tiket Event yang boleh digunakan untuk bermain mod Draft. Namun, masih banyak kritikan yang tidak dijawab.
Artifact boleh dikatakan mengikut sistem permainan kad secara fizikal, pemain tidak berpeluang untuk mendapatkan kad tanpa membayar. Ini adalah penting untuk memastikan sistem Marketplace menjadi sumber utama pembelian. Persoalan timbul, dengan permainan kad lain menyediakan sistem yang lebih mesra bermain secara percuma adakah Artifact dapat bersaing?