Oktober lepas, melalui perkongsian di Reddit, EA mengumumkan yang mereka bakal membangunkan kembali Command & Conquer untuk versi yang ditambah-baikkan.
Menariknya, hari ini melalui perkongsian video pendek, EA mengumumkan Petroglyph Studio akan dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ini. Petroglyph Studio merupakan studio yang ditubuhkan oleh bekas pembangun Westwood Studio iaitu studio asal yang membangunkan permainan Command & Conquer sebelum EA menutupnya pada tahun 2003.
Selain itu, mereka juga mengumumkan Frank Klepacki yang menghasilkan muzik asal untuk permainan tersebut kini menyertai Petroglyph sebagai pengarah audio untuk Command & Conquer Remastered.
Satu perkara yang boleh dibanggakan adalah, EA juga mengumumkan Lemon Sky Studios iaitu pembangun dari Malaysia juga akan terlibat di dalam pembangunan permainan ini. EA mengatakan mereka akan membantu untuk memastikan permainan tersebut boleh dimainkan dengan resolusi 4K.
Projek Command & Conquer Remastered ini akan pada mulanya menyertakan Tiberian Dawn iaitu penceritaan asal untuk permainan pertama dan juga Command & Conquer: Red Alert bersama dengan semua penambahan yang disertakan dalam satu permainan.
EA juga mengatakan yang permainan ini tidak akan menyertakan sebaran mikro-transaksi. Buat masa ini masih tiada tarikh pengeluaran dan seperti sebelum ini, jangkaan kami adalah ia akan dikeluarkan pada tahun 2020.