Thronebreaker: The Witcher Tales merupakan permainan yang dibangunkan oleh CD Projekt Red (CDPR) berdasarkan siri permainan RPG keluaran mereka iaitu The Witcher.

Pada awalnya, ia dibangunkan sebagai penambahan kepada permainan kad mereka iaitu Gwent. Namun, mungkin untuk mencapai lebih ramai pemain, ia dikeluarkan sebagai satu permainan berasingan. Walaupun, begitu ia masih satu permainan berdasarkan permainan kad.

Anda mungkin tertanya, jika anda tidak menggemari permainan kad adakah permainan ini masih berbaloi dan jika anda penggemar permainan kad adakah ia memberi cabaran? Untuk mengetahuinya berikut adalah ulasan penuh saya.

Cerita

Thronebreaker, walaupun satu permainan berbeza, ia berlaku di dalam dunia yang sama seperti siri permainan The Witcher. Bahkan ia berlaku beberapa tahun sebelum kejadian di dalam permainan pertama untuk siri permainan The Witcher.

Penceritaan Thronebreaker adalah mengenai Meve iaitu Ratu untuk negara Lyria dan Rivia yang merupakan sebahagian daripada negara di Northern Realm. Negara-negara di Northern Realm sedang menghadapi cabaran kerana kerajaan Nilfgaard cuba untuk menakluk negara-negara mereka.

Selepas satu kejadian di awal permainan, Meve ditangkap dan negara-negara beliau jatuh ke tangan Nilfgaard. Dengan bantuan Reynard iaitu pembantu kanan beliau dan juga Gascon yang sebelum ini merupakan orang tahanan, Meve berjaya melarikan diri dari penjara dan berusaha untuk mendapatkan kembali kerajaan beliau.

Selepas 30 jam bermain, saya boleh katakan yang penceritaan yang ada di dalam permainan ini bukan sahaja berlaku di dalam dunia yang sama, ia juga mempunyai kualiti yang baik seperti siri permainan The Witcher. Walaupun tidak mengikut watak yang merupakan seorang Witcher, namun, Meve sebagai seorang Ratu tetap membawa penceritaan yang menarik.

Jika anda meminati penceritaan seperti Game of Thrones, permainan ini yang membawa satu penceritaan dengan tema yang sama sudah semestinya akan menjadi kegemaran anda. Jalan cerita yang disediakan mempunyai pelbagai cabang yang akan berubah mengikut pilihan pemain. Setiap pilihan pemain akan memberikan pelbagai akibat yang berbeza, pemain juga mungkin mendapat atau kehilangan watak sampingan berdasarkan tindakan yang dipilih.

Jalan cerita yang baik turut dikuatkan lagi dengan watak-watak yang ada, tidak kira watak utama ataupun sampingan. Setiap watak direka dengan baik dan membuatkan watak tersebut diminati walaupun hanya hadir untuk masa yang singkat. Perhubungan antara Meve dan watak-watak tersebut adalah satu yang sangat menarik untuk diikuti.

Selain penceritaan utama, Thronebreaker juga mempunyai jalan cerita sampingan yang dilakukan dengan baik menjadikan permainan ini penuh dengan pengisian dan sudah semestinya tidak membosankan. Boleh katakan ia berkongsi DNA yang sama seperti The Witcher 3. Selepas permainan ini berakhir, saya masih mengenang penceritaan yang diperlihatkan dan ingin tahu lebih lanjut mengenai setiap watak yang ada.

Bentuk Permainan

Thronebreaker yang dibina sebagai penambahan untuk Gwent sebelum ini sudah semestinya menerapkan elemen permainan kad tersebut sebagai bentuk permainan utama untuk permainan ini. Namun, ia juga merupakan satu permainan RPG yang penuh. Saya akan terangkan mengenai permainan kad di pengakhiran untuk bahagian ini, sebelum itu berikut adalah perkara-perkara lain yang pemain akan lakukan semasa bermain.

Pertama adalah pengembaraan, walaupun ia dilakukan dengan agak ringkas, pemain mengawal Meve dari sudut pandang atas dan menggunakan teknik kawalan point and click, tetapi pengisian yang ada di dalam dunia permainan ini menjadikan ia satu pengalaman yang mengasyikkan.

Semasa mengembara pemain akan berjumpa dengan pelbagai kejadian ataupun watak yang mungkin akan meminta tolong ataupun akan menyerang anda. Pemain akan diberikan pilihan dalam bentuk dialog untuk menyelesaikan kejadian tersebut. Setiap cara berlainan akan memberi kesan yang berlainan.

Selain itu, di dunia ini juga terdapat pelbagai barangan yang pemain perlu kumpul untuk meningkatkan tahap. Barangan-barangan tersebut adalah emas, kayu dan tentera. Kegunaan barangan tersebut saya akan terangkan kemudian.

Bagi saya pengembaraan merupakan sesuatu yang harus dilakukan oleh pemain, walaupun pemain boleh terus menuju ke tujuan utama tetapi dengan memasuki kawasan lain memastikan anda sepenuhnya dapat mengalami permainan ini. Saya boleh katakan ia dilakukan dengan sangat menarik dan akan sudah semestinya anda tidak akan bosan.

Bagi pemain yang turut bermain Gwent, terdapat juga Golden Chest yang pemain boleh cari dengan membukanya pemain akan diberikan kad serta bingkai untuk digunakan di dalam permainan kad Gwent.

Kedua, seperti permainan RPG lain, anda perlu meningkatkan tahap. Namun, di dalam permainan ini anda tidak akan meningkatkan tahap watak, sebaliknya meningkatkan tahap kem tentera anda. Di kem tentera, terdapat 5 bahagian iaitu Royal Tent, Mess Tent, Command Tent, Training Grounds dan Workshop.

Untuk meningkatkan tahap ia akan memerlukan emas dan kayu, seperti yang saya terangkan di atas, anda boleh mendapatkan emas dan kayu dengan mencarinya semasa pengembaraan ataupun dengan bertempur. Dengan meningkatkan tahap bahagian-bahagian tersebut pemain boleh mendapat pelbagai kelebihan seperti membolehkan menggunakan kad yang lebih kuat, serta menghasilkan jenis-jenis kad yang berbeza untuk digunakan semasa bertempur.

Ketiga adalah tekaria yang merupakan aktiviti sampingan untuk permainan ini, namun dengan menyelesaikannya pemain akan mendapat emas, kayu dan juga tentera selain itu pemain juga akan mendapat kad khas yang pemain tidak boleh mendapatkannya dengan cara yang lain.

Tekaria di dalam permainan ini masih menggunakan kad, namun ia tidak akan menggunakan dek yang dicipta oleh pemain, sebaliknya pemain akan diberi satu dek khas dan perlu mencari cara untuk menyelesaikan tekaria tersebut dengan menggunakan kad yang diberikan. Bagi saya tekaria di dalam permainan ini adalah satu aktiviti sampingan yang sangat menyeronokkan. Bahkan lebih seronok berbanding pertempuran biasa. Saya sentiasa teruja apabila menemui tekaria baharu semasa mengembara.

Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan kad merupakan bentuk permainan utama bagi permainan ini. Bagi anda yang sudah biasa bermain permainan kad, walaupun tidak berpengalaman bermain Gwent ia tidak akan memberi anda masalah kerana permainan kad Gwent adalah agak ringkas dan mudah untuk difahami.

Manakala untuk pemain yang tidak berpengalaman dengan permainan kad, permainan ini akan mengajar serba sedikit mengenai cara untuk bermain. Saya boleh katakan selepas itu anda akan serba sedikit memahami cara untuk bermain. Anda mungkin mengalami sedikit masalah untuk memahami jenis kad-kad berbeza, tetapi permainan ini menyediakan Training Ground yang membolehkan anda terus mencuba.

Bagi pertempuran (selain tekaria) terdapat dua jenis iaitu biasa dan dipendekkan. Untuk pertempuran biasa, terdapat 3 pusingan, anda perlu menang 2 daripada 3 manakala pertempuran yang dipendekkan ia hanya mempunyai 1 pusingan sahaja.

Anda perlu mencipta dek anda sendiri menggunakan kad yang ada. Pada pengalaman saya bermain, kad yang ada sudah cukup untuk menghasilkan dek yang baik. Namun, jika anda inginkan kad yang lain, anda boleh menghasilkan menggunakan emas, kayu dan juga tentera. Pilihan kad akan ditambah apabila anda meningkatkan tahap kem.

Bagi saya, walaupun permainan kad adalah bentuk permainan utama akan tetapi ia dilakukan dengan agak ringkas. Saya bermain di tahap kesukaran sederhana dan sepanjang permainan saya hanya menukar 3 kali sahaja dek dan sesetengah kombinasi kad mempunyai kekuatan yang melampau menjadikan setiap pertempuran terlalu mudah.

Permainan ini juga tidak membolehkan untuk mempunyai lebih daripada satu dek. Jika saya ingin mencuba dek berlainan, saya perlu membuang dek lama dan untuk permainan kad ia adalah satu perkara yang seharusnya tidak berlaku.

Terdapat tiga tahap kesukaran di dalam permainan ini, iaitu Adventurer untuk pemain yang ingin memfokuskan kepada penceritaan sahaja yang memberi pemain pilihan untuk tidak bertempur. Manakala tahap sederhana iaitu Battle-Hardened iaitu tahap yang saya pilih, pertempuran perlu dilakukan tetapi ia agak mudah. Manakala tahap terakhir iaitu Bonebreaker adalah untuk pemain yang berpengalaman dalam permainan ini.

Bagi pemain yang sekadar inginkan penceritaan, saya cadangkan tahap kesukaran Battle-Hardened manakala untuk pemain yang ingin mendalami permainan kad Gwent ataupun sudah berpengalaman, Bonebreaker adalah pilihan terbaik.

Grafik

Arahan seni yang diberikan di dalam permainan ini adalah agak ringkas tetapi cukup baik untuk bentuk permainan yang cuba disampaikan. Persekitaran dihasilkan bagaikan lukisan tangan, begitu juga dengan adegan yang dihasilkan seperti buku komik. Ia sudah semestinya dihasilkan dengan berinspirasi daripada pen & papaer RPG.

Terdapat juga bahagian dialog yang akan lebih memfokuskan kepada watak, ia juga dilakukan dengan efektif dan setiap rekaan watak adalah sangat menarik dan segar untuk dilihat. Walaupun jauh berbeza dengan permainan seperti The Witcher 3, tetapi rekaan dunia dan watak yang ada masih memberi pengalaman seakan-akan permainan tersebut.

Saya bermain permainan ini di laptop HP Omen 15-CE0xx yang menggunakan CPU Intel i7-7700HQ, 8GB Ram dan GPU GTX 1050 8GB dan tidak mengalami sebarang masalah kelancaran untuk bermain secara HD penuh walaupun sedang merekod sesi permainan. CDPR juga menyediakan tekstur 4k yang boleh dimuat turun secara berasingan tetapi saya mengalami masalah kelancaran apabila menggunakannya.

Audio

Seperti penceritaan yang mempunyai DNA siri permainan The Witcher, permainan ini juga mempunyai muzik latar, kesan bunyi serta lakonan suara yang sangat baik.

Sepanjang mengembara, saya ditemani dengan muzik latar yang sangat mengasyikkan dan pada masa sama memberikan perasaan epik. Ia adalah penting kerana anda sedang mengawal seorang ratu. Muzik latar semasa bertempur, di kem ataupun semasa dialog juga dilakukan dengan sempurna.

Disebabkan permainan ini menggunakan grafik yang agak ringkas, kesan bunyi memainkan peranan penting untuk menghasilkan adegan yang berkesan dan CDPR berjaya melakukannya. Walaupun penceritaan dilakukan dengan grafik ringkas dan selebihnya melalui dialog, adanya kesan bunyi yang baik memberikan satu pengalaman sama dengan adegan yang dihasilkan dengan grafik yang berkualiti tinggi.

Manakala lakonan suara adalah sama seperti kesan bunyi. Ia memainkan peranan yang sangat penting untuk memberi impak kepada penceritaan, dan saya boleh katakan semua pelakon suara memberi satu persembahan yang layak untuk dipuji. Walaupun anda boleh membaca teks dengan cepat tanpa menantikan lakonan suara, saya jarang melangkauinya kerana ingin mendengar suara-suara pelakon.

Rumusan

Thronebreaker: The Witcher Tale bukan sekadar satu permainan kad. Ia merupakan permainan RPG penuh dan layak untuk menjadi sebahagian daripada permainan The Witcher kerana penceritaan yang diberikan adalah sangat menarik.

Menguatkan lagi penceritaan, permainan ini juga mempunyai grafik yang cukup baik untuk arahan seni yang cuba dicapai. Selain pada itu, ia juga disertakan dengan persembahan audio seperti muzik latar, kesan bunyi dan lakonan suara yang berkualiti tinggi.

Bentuk permainan yang disediakan adalah menarik akan tetapi ia bergantung kepada minat anda bagi permainan kad. Jika anda meminati permainan kad, permainan ini akan memberikan lebih kepuasan. Walaupun begitu, dengan penceritaan dan pengalaman permainan yang baik, walaupun anda tidak berminat dan berpengalaman untuk permainan kad, ia masih satu permainan yang sangat berbaloi.

Sohor Kini