Informasi Permainan Video Terkini
Blizzard Menjawab Kritikan Terhadap Diablo Immortal

Blizzard Menjawab Kritikan Terhadap Diablo Immortal

Diterbitkan pada November 5, 2018 oleh .

Di acara BlizzCon 2018 beberapa hari lepas, Blizzard mengumumkan permainan baharu untuk siri Diablo. Namun, permainan tersebut merupakan permainan mudah alih iaitu Diablo Immortal.

Pengumuman ini menerima penerimaan yang sangat negatif di kalangan peminat. Semasa sesi Q&A untuk permua tersebut, seorang pemain menanyakan sama ada permainan tersebut akan turut dikeluarkan untuk PC. Blizzard mengatakan tiada perancangan buat masa ini dan mengatakan semua orang mempunyai telefon pintar.

Seorang lagi pemain juga bertanya jika pengumuman tersebut adalah satu jenaka ‘April Fool’ di luar bulan. Blizzard sekali lagi mengatakan yang permainan tersebut adalah pengalaman penuh seperti mana permainan Diablo yang lain.

Trailer pertama untuk permainan ini juga dijadikan tempat untuk pemain melepaskan amarah. Setakat penulisan ini, trailer tersebut mempunyai 14 ribu ‘Like’ dan 360 ribu ‘Dislike’.

Bercakap dengan Gamespot, Pereka Permainan Blizzard Wyatt Cheng mengatakan yang di Blizzard mereka juga adalah pemain yang bermain di pelbagai platform. Oleh disebabkan itu, apabila ada peluang untuk menghasilkan permainan mudah alih, mereka sudah semestinya ingin mencubanya.

Selain itu, beliau juga mengatakan Diablo Immortal dihasilkan adalah kerana mereka mempunyai cerita yang ingin disampaikan kepada pemain. Permua ini berlaku 20 tahun di antara Diablo II, Lord of Destruction dan Diablo III. Beliau mengatakan permua ini adalah ibarat Star Wars: Rogue One di dalam dunia Star Wars yang luas.

Manakala, pengasas Blizzard Allen Adham memberitahu kepada Kotaku yang mereka sudah menjangkakan pemain akan kecewa dengan pengumuman tersebut tetapi tidak seteruk ini. Beliau juga mengatakan pemain juga mengkritik apabila mereka mengumumkan Diablo untuk konsol dan mengeluarkan Hearthstone yang merupakan permainan mudah alih. Ia bukan sesuatu yang baharu bagi mereka. Namun, beliau juga memahami kehendak pemain yang ingin sesuatu yang baharu untuk Diablo.

Bagi kami, kritikan yang diterima oleh permua yang masih tidak dilancarkan ini adalah disebabkan bagaimana ia diumumkan. Pemain yang membayar tiket untuk menghadiri Blizzcon, tidak lupa juga yang membayar untuk membeli tiket maya bagi menonton Blizzcon, ada antara mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai permainan seterusnya untuk siri Diablo.

Sekadar diumumkan permainan mudah alih yang kami merasakan ia akan menjadi permainan percuma dengan pelbagai mikro-transaksi sudah semestinya membuatkan mereka terasa seperti di tipu. Namun, buat masa ini kami tidak akan mengkritik permainan yang masih tidak dikeluarkan walaupun dengan penglibatan NetEase tidak banyak yang boleh diharapkan.

Sekurang-kurangnya dengan kritikan pada awal lagi, boleh membuatkan mereka berhati-hati dalam menghasilkan permainan ini, terutama yang melibatkan mikro-transaksi.


TIPS & ULASAN