Skip to main content

Sewaktu pembentangan Belanjawan 2019, menteri kewangan Malaysia Lim Guan Eng mengumumkan beberapa perkara yang berkait dengan industri permainan video. Antara yang diumumkan adalah;

Cukai perkhidmatan ke atas Perkhidmatan yang Diimport

Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020. Contoh perkhidmatan ini termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital.

Pengumuman ini membawa maksud yang bermula 1 Januari 2020, perkhidmatan dalam talian seperti Steam, Playstation Store, App Store, Play Store akan dikenakan cukai perkhidmatan. Buat masa ini kami tidak pasti cara untuk perkara ini akan dikenakan.

Berdasarkan yang diumumkan oleh Lim Guan Eng, syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut perlu mendaftar dengan kastam.

Dana RM10 Juta Untuk Pembangunkan E-Sukan Diberikan Kepada MDEC

Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangun dan menggalakkan E-Sports, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda, yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

Meneruskan komitmen kerajaan untuk memajukan industri e-sukan, Lim Guan Eng mengumumkan peruntukkan RM 10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Namun, kami agak musykil dengan peruntukan ini. Pertama, peruntukan tersebut adalah untuk membangun dan menggalakkan e-sukan, akan tetapi peruntukkan tersebut diberikan kepada MDEC yang lebih terlibat dalam industri pembangunan permainan video.

Kedua, peruntukan tersebut menyatakan ia melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital yang agak berlainan dengan e-sukan.

Kami juga berpendapat, RM 10 juta untuk industri e-sukan dan industri pembangunan permainan video adalah sangat sedikit. Mungkin kita akan menerima maklumat lanjut selepas ini.

Leave a Reply