Soul Calibur VI merupakan permainan perlawanan yang memfokuskan bentuk pertempuran secara bersenjata. Ianya merupakan siri permainan yang sangat terkenal oleh Bandai Namco dimana permainan pertamanya Soul Calibur dilancarkan hampir 20 tahun lepas.

Terkini, Bandai Namco membawa kembali siri permainan tersebut ke konsol generasi kini dengan pelbagai watak yang kembali termasuklah sebilangan watak-watak baru.

Menariknya juga, siri permainan Soul Calibur juga terkenal dengan watak-watak dari francais permainan lain dimana Soul Calibur VI kali ini memfokuskan watak Geralt of Rivia dari permainan The Witcher. Sebelum ini, Bandai Namco juga mengumumkan bahawa mereka akan membawa watak 2B dari NieR: Automata sebagai watak DLC.

Namun begitu, adakah Soul Calibur VI merupakan permainan perlawanan yang menarik untuk pemain dan peminat siri tersebut? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Soul Calibur VI sememangnya mempunyai mod penceritaan solo yang mana ianya sememangnya memfokuskan kesemua watak-watak yang terdapat di dalam permainan tersebut. Apa yang menariknya adalah permainan ini mempunyai dua mod penceritaan iaitu Libra Of Soul dan Soul Chronicle. Tambahan juga, dari segi penceritaannya, Soul Calibur VI mengolah semula penceritaan asal Soul Calibur yang pertama, sekaligus buat mereka yang tidak bermain siri sebelum ini, anda tidak perlu bermainnya untuk memahami penceritaannya.

Kedua-dua mod ini mencerita dua mod penceritaan yang berbeza dima mod Libra Of Soul akan memfokuskan pemain untuk menghasilkan watak pemain tersendiri dan mengembara bersama beliau. Manakala mod Soul Chronicle pula merupakan mod penceritaan utama permainan ini yang memfokuskan penceritaan awal siri Soul Calibur.

Bagi mod Libra Of Soul, pemain perlu menghasilkan watak pemain sendiri dan mengembara bersama watak tersebut. Sepanjang pengembaraan, pemain akan berjumpa pelbagai jenis musuh dan juga watak-watak peneman daripada siri Soul Calibur VI tersebut. Menariknya, bentuk ini juga mempunyai sebilangan elemen seakan RPG dimana pemain berupaya untuk melakukan misi sampingan, ataupun menaik-taraf kelengkapan senjata dan sebagainya.

Mod ini juga akan membenarkan pemain untuk mengembara di sebahagian dunia Soul Calibur tersebut dan juga membantu jika terdapat perkampungan yang memerlukan pertolongan pemain. Jika pemain membantu kampung tersebut, pemain juga akan mendapat sebilangan ganjaran tambahan dan sebagainya.

Bagi mod Soul Chronicle, pemain akan diberi garis masa baru permainan dimana Soul Calibur VI kali ini mengisahkan cerita asal siri tersebut yang diolah semula. Menariknya mod ini, pemain berupaya untuk memilih sama ada untuk bermain penceritaan utama ataupun bermain penceritaan mengikut watak-watak.

Tambahan juga, watak tetamu seperti Geralt Of Rivia juga mempunyai penceritaannya sendiri dimana pemain juga boleh bermainnya melalui mod ini.

Apa yang saya boleh katakan adalah kedua-dua mod ini sememangnya sangat menarik dengan penceritaan yang bagus, terutamanya dengan memfokuskan penceritaan asal, ianya sememangnya sesuai untuk mereka yang baru dengan siri tersebut.

Namun, apa yang mengecewakan saya adalah kedua-dua mod penceritaan tersebut dipaparkan dengan visual yang agak ringkas. Hampir kesemua dialog penceritaan mod tersebut hanyalah dipaparkan dalam bentuk imej dan teks sahaja. Terdapat juga sebilangan adegan yang dipaparkan, namun kebanyakkan hanya dipertayangkan secara sekejap sahaja.

Sememangnya ianya satu bentuk yang ringkas, namun kami sendiri berharap agak Bandai Namco meletakkan lebih banyak adegan-adegan ataupun sebarang bentuk penceritaan tambahan lain memandangkan penceritaan utama siri tersebut sangat menarik disebabkan ianya di olah semula dari siri asalnya.

Namun dari segi kandungan penceritaan, pada pendapat saya ianya sudah mencukupi dengan kandungan yang pasti akan membuat pemain terus bermain terutamanya di dalam mod penceritaan Libra Of Soul.

Grafik

Tidak dapat dinafikan sebarang permainan yang menggunakan enjin permainan Unreal Engine 4 akan memaparkan hasil visual yang sangat menawan. Soul Calibur VI sememangnya menggunakan enjin permainan tersebut dan ianya memaparkan visual yang sangat menarik.

Reka pentas permainan yang dihasilkan dengan menawan, termasuklah rekaan watak-watak yang pasti membuat peminat siri tersebut menyukainya. Tambahan juga buat mereka yang meminati siri The Witcher, anda tidak perlu khuatir berkenaan reka watak Geralt dimana melalui permainan ini, Bandai Namco sememangnya menghormati karya asal CD Projekt Red.

Saya juga menyukai efek permainan ini yang mana jika pemain mengubah-suai sebilangan watak, Bandai Namco menyediakan pilihan untuk menukar sebilangan efek seperti efek jahat, efek pencahayaan ataupun efek anime. Efek kesan kuasa tersebut kesemuanya dihasilkan dengan visual yang baik sekali.

Dari segi prestasi visual pula, permainan ini dimainkan dengan baik sekali di konsol Playstation 4 Pro bersama-sama dengan kadar 60 bingkai sesaat. Tambahan juga setiap bayangan termasuklah tekstur model kesemuanya dihasilkan dengan bagus.

Audio

Sudah semestinya suara narator ikonik buat siri Soul Calibur kali ini berada di dalam permainan terbaru mereka dimana sememangnya hasil suara tersebut menghasilkan ‘imej’ yang pasti membuat peminat menyukainya.

Dari segi suara latar watak dan muzik permainan, Bandai Namco sekali lagi menghasilkan satu permainan yang sempurna. Bukan sahaja kebanyakkan pelakon suara latar watak-watak tersebut kembali, malah pelakon suara latar asli buat Geralt juga melakonkan semula suaranya di dalam permainan ini.

Muzik permainan ini juga dihasilkan dengan menarik dan ianya berasa sangat menyegerak ketika bertempur mahupun saat ketika menunggu pemain di mod multi-pemain. Saya juga menyukai mod muzium yang disediakan

Kawalan Permainan

Dari segi kawalan permainan, Soul Calibur VI tidaklah begitu berbeza dengan siri sebelum ini. Permainan ini sememangnya memfokuskan bentuk perlawanan yang berasaskan senjata. Kesemua watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini menggunakan pelbagai jenis senjata dari pedang, batang kayu sehinggalah kapak.

Sekaligus, setiap watak mempunyai gaya seni pertahanan diri yang berbeza dan ianya memberi satu impak mekanik permainan yang sangat menarik dan taktikal. Soul Calibur VI secara asasnya hanya mempunyai tiga jenis serangan iaitu serangan melintang, serangan menegak dan menendang.

Namun begitu, dari segi kemahiran mahupun serangan kombinasi serangan buat permainan ini, ianya tidaklah begitu kompleks. Malah saya sendiri berasa ianya adalah satu permainan yang sesuai untuk mereka yang ingin berjinak dengan sebarang permainan perlawanan tanpa sebarang bentuk permainan yang terlalu susah untuk belajar.

Ini kerana, permainan ini mengekalkan bentuk perlawanan yang mudah dimana terdapat hanya beberapa serangan sahaja mengikut senjata yang mana pemain berupaya untuk mencantumnya secara rawak untuk menghasilkan serangan kombinasi yang kuat. Namun, pemain juga berupaya untuk belajar sebilangan serangan kombinasi yang lebih kompleks jika pemain ingin menyelami dengan lebih dalam buat permainan tersebut.

Tambahan juga, pemain berupaya untuk melakukan serangan akhir iaitu Critical Edge dengan hanya menekan satu butang sahaja iaitu R2. Sekaligus ini bukan sahaja menyenangkan pemain baru, malah ianya menghasilkan satu bentuk permainan yang lebih seimbang dan mudah untuk dimainkan.

Dari segi bentuk yang baru adalah Reversal Edge, dimana melalui bentuk ini, pemain boleh menyerang kembali serangan musuh. Namun, ketika berada di dalam bentuk ini, pemain perlu meneka serangan musuh yang mana ianya seakan bentuk mini permainan seperti gunting batu kain, setiap pilihan pemain akan memberi kesan sama ada serangan pemain berjaya ataupun tidak.

Dari segi serangan kemahiran lain seperti Soul Charge dan Critical Edge, Bandai Namco masih lagi mengekalkan konsep yang sama dengan permainan sebelum ini. Melalui bentuk Soul Charge, pemain berupaya untuk meningkatkan kuasa watak pemain dengan menggunakan sebilangan kemahiran.

Seperti yang saya kongsikan berkenaan mod penceritaan di atas, melalui Soul Calibur VI, pemain juga berupaya untuk mencipta watak pemain sendiri. Terdapat pelbagai pengubah-suaian yang pemain boleh lakukan dari segi bangsa watak, rambut, jantina, pakaian dan sebagainya.

Malah apa yang saya menyukai adalah kebebasan mengubah-suaian watak tersendiri tersebut juga membenarkan saya untuk menghasilkan pelbagai watak-watak parodi dari permainan lain. Terdapat juga beberapa peminat berkongsi senarai watak-watak mereka yang menarik dimana anda boleh melihatnya di atas-talian. Namun, dari segi senjata yang pemain boleh tetapkan adalah masih lagi terhad berdasarkan watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini.

Selain dari bentuk pertempuran, permainan ini juga menyertakan mod muzium dimana pemain berupaya untuk melihat sebilangan karya-karya seni mahupun muzik-muzik permainan tersebut. Terdapat juga keupayaan untuk melihat karya-karya dari siri Soul Calibur sebelum ini.

Mod Multi-Pemain

Sepanjang sesi mod multi-pemain ketika saya bermain Soul Calibur VI, saya tidak menghadapi sebarang masalah dari segi hubungan mahupun sebarang masalah. Kesemua sesi saya ketika saya bermain secara atas-talian, permainan ini dimainkan dengan baik sekali.

Malah saya juga menyukai mod atas-talian tersebut kerana ianya berasa seolah satu arena yang membuat saya akan terus bermain. Ini kerana, jika pemain menghasilkan satu bilik lobi, pemain lain boleh menyertainya untuk bertempur dengan pemain. Namun, jika terdapat ramai pemain, pemain perlu menunggu giliran pemain masing-masing dan pemain juga boleh menonton pertempuran pemain lain.

Sekaligus, ianya sememangnya satu bentuk atas-talian yang sangat baik dan sesuai buat mereka yang berminat untuk menyertai ataupun terlibat dalam bentuk kompetitif di dalam permainan ini.

Dari segi bentuk lain, seperti mod kompetitif dan juga kad status pemain secara atas-talian, permainan Soul Calibur VI sememangnya mempunyai set-set mod tersebut yang hampir serupa dengan mana-mana permainan perlawanan terkini.

Kesimpulan

Soul Calibur VI sememangnya adalah satu permainan perlawanan yang baik, setiap terperinci yang dibangunkan oleh Project Soul sememangnya dihasilkan dengan begitu seimbang dan pada masa yang sama mudah untuk dimainkan.

Bukan sahaja penceritaannya yang diolahkan semula adalah sesuai untuk mereka yang baru dengan siri ini, malah bentuk permainannya yang mudah untuk dimain dengan kandungan yang pelbagai akan pasti membuat pemain akan terus bermain permainan ini.

Walaupun begitu, saya juga berharap agar penceritaannya dipaparkan dengan lebih menarik memandangkan ianya mempunyai satu penceritaan dan penulisan yang sangat mendalam terutamanya buat mereka yang mengikuti siri Soul Calibur tersebut.

Soul Calibur VI sudah pastinya adalah salah satu permainan perlawanan terbaik untuk tahun ini.

Penafian: Kod ulasan untuk Soul Calibur VI disediakan oleh Bandai Namco.

Sohor Kini