Sudah pastinya sepanjang tahun ini, anda mesti mengetahui berkenaan permainan Red Dead Redemption 2 yang baru sahaja dilancarkan minggu lepas. Permainan tersebut sering digembar-gembur kerana ianya merupakan permainan seterusnya oleh Rockstar Game yang mana mereka terkenal dengan siri permainan dunia terbuka seperti Grand Theft Auto.
Kami di Aksiz berkesempatan untuk bermain permainan tersebut selama 20 jam pertama dimana melalui artikel ini, kami ingin berkongsi pandang pertama kami berkenaan permainan tersebut. Ini kerana, kami masih belum lagi menghabiskan penceritaan utama permainan tersebut sekaligus ulasan penuh buat permainan tersebut akan kami lakukannya kemudian.
Apa yang saya boleh katakan berkenaan permainan ini adalah ianya sememangnya bukan satu permainan tipikal dunia terbuka seperti permainan lain. Red Dead Redemption 2 lebih memfokuskan bentuk permainan simulasi yang memfokuskan dunia koboi.
Sebelum saya kongsikan berkenaan bentuk permainan ini dengan lebih terperinci, saya ingin memfokuskan penceritaan permainan ini dahulu. Red Dead Redemption 2 memfokuskan watak Arthur Morgan iaitu salah seorang daripada geng Van Der Linde yang diketuai oleh Dutch Van Der Linde. Sememangnya watak pemain adalah seorang penjenayah dimana Arthur bukan sahaja seorang perompak, malah beliau juga pernah melakukan pelbagai jenis pembunuhan dan keganasan.
Walaupun begitu, memandang permainan ini bertempatkan di era koboi di Amerika pada tahun 1899, sebarang undang-undang dan keadaan dunia permainan tersebut memfokuskan keadaan ketika masa itu. Sekaligus, perkara seperti membunuh mahupun merompak adalah satu perkara biasa di antara penjenayah-penjenayah.
Red Dead Redemption 2 sememangnya diletakkan sebelum permainan pertama Red Dead Redemption. Menariknya juga, terdapat pelbagai watak yang anda mungkin akan kenal jika anda bermain pertamanya seperti watak utama permainan Red Dead Redemption pertama, iaitu John Marston.
Selain itu, memandangkan pemain akan bergerak di dalam satu geng ataupun pasukan Van Der Linde, pemain juga perlu mengurus pelbagai perkara seperti permakanan, peluru kelengkapan dan keadaan kem pemain.
Ini juga menyebabkan kenapa saya menyatakan bahawa permainan ini merupakan permainan simulasi koboi. Pemain bukan sahaja perlu mengurus stamina atau tahap kelaparan pemain, malah pemain juga perlu menjaga keadaan kuda pemain yang mana ianya sangat penting sepanjang permainan ini.
Selain daripada pengurusan diri, pemain juga perlu mengurus kelengkapan kem seperti yang dinyatakan oleh kami diatas. Ini juga termasuk nilai makanan, barangan dan kelengkapan lain. Pemain perlu sentiasa memburu binatang untuk mendapatkan makanan ataupun pemain juga berupaya untuk menyumbang sebilangan wang untuk digunakan menaik-taraf kem tersebut. Antara pernaik-tarafan yang disediakan adalah seperti meningkatkan taraf penyimpanan makanan dan ubatan kem tersebut dimana pemain juga berupaya untuk menggunakannya sebelum pemain keluar mengembara.
Dari segi pemburuan, pemain boleh memburu pelbagai jenis binatang daripada arnab, rusa sehinggalah beruang. Melaluinya, pemain juga berupaya untuk membuang kulit binatang tersebut untuk dijual ataupun untuk digunakan sebagai hiasan di kem ataupun menaik-taraf kelengkapan dan pakaian pemain.
Kuda pula kali ini pula memainkan peranan yang sangat penting buat permainan tersebut. Pemain berupaya untuk menjana satu hubungan antara watak permainan, iaitu Arthur dan kuda beliau. Dengan tingkatnya hubungan tersebut, pemain akan menyah-kunci pelbagai jenis kemahiran baru buat kuda tersebut seperti keupayaan untuk menunggang dengan lebih laju dan sebagainya.
Tambahan itu, segala barangan dan senjata pemain juga disimpan di pelana kuda tersebut. Sekaligus pemain perlu sentiasa memastikan kuda pemain sentiasa hidup dan tidak mati. Ini kerana, permainan ini meletakkan mati secara nyata buat kuda pemain. Kalau kuda pemain meninggal, kuda tersebut akan terus mati dan pemain perlu mengambil pelana tersebut dan meletakkannya di kuda yang baru jika pemain tidak ingin barangan pemain hilang.
Permainan ini sememangnya meletakkan satu bentuk dunia terbuka yang sangat nyata. Bukan sahaja setiap penjuru dunia permainan berasa seolah hidup, malah jika pemain mengembara di dalam dunia tersebut secara bersahaja, pemain akan menemui pelbagai jenis adegan dan aktiviti yang berlaku.
Seperti contohnya, ketika saya bermain, saya menemui seorang lelaki yang digigit oleh ular dan beliau hampir mati akibat racun yang terdapat melalui gigitan tersebut. Namun, saya sempat menyelamat beliau dengan menghisap dan meludah racun tersebut sebelum terlambat. Selang beberapa hari selepas itu, saya menjumpai lelaki tersebut semula dan beliau mengucapkan terima kasih kepada saya dengan membelikan saya sebarang senjata yang saya mahu di kedai senjata.
Sememangnya tindakan tersebut boleh dipilih untuk tidak dilakukan dan pemain boleh meninggalkan lelaki tersebut untuk mati keracunan. Akan tetapi setiap pilihan yang pemain lakukan memberi pelbagai kesan terhadap permainan tersebut sekaligus ianya berasa seolah satu dunia yang sangat nyata dan menarik.
Seperti permainan dunia terbuka lain oleh Rockstar Games, permainan ini juga membenarkan pemain untuk membeli pelbagai jenis pakaian, senjata dan juga barangan makanan dan sebagainya. Terdapat pelbagai pengubah-suaian yang pemain boleh lakukan seperti topi koboi, baju sehinggalah kepada tali pinggang.
Walaupun begitu, mungkin bagi sesetengah pemain akan merasa permainan ini terlalu nyata dan membosankan. Ini adalah perkara yang tidak dapat dinafikan kerana permainan ini mempunyai pelbagai pengurusan mikro yang pemain perlu lakukan. Dari segi menjaga kem, menjaga tahap bounty dan keadaan watak, ianya mungkin akan menjadi satu permainan yang terlalu kompleks untuk sesetengah pemain.
Akan tetapi, saya percaya buat mereka yang menyukai permainan berbentuk nyata, dunia terbuka mahupun penceritaan yang mendalam, pasti akan menyukai permainan ini.
Dari segi visual, permainan ini sememangnya dihasilkan dengan kualiti yang sangat baik sekali. Saya sendiri bermainnya di Playtation 4 Pro dengan tetapan resolusi 4k dan HDR dan setiap kali saya memasuki dunia Red Dead Redemption 2, saya sangat terpegun dengan tahap kualiti grafik yang dipertayangkan. Setiap terperinci di kulit-kulit watak bersama-sama dengan eskpresi wajah, kesemua adalah sangat sempurna.
Selain itu, dari segi animasi pergerakkan watak juga dianimasikan dengan baik dan sangat nyata. Ini merupakan perkara yang saya perlu puji kerana setiap terperinci visual tersebut membentukkan satu dunia yang sangat benar dan nyata. Seperti contohnya ketika kuda sedang mendaki gunung yang bersalji, setiap langkah kuda tersebut dianimasikan dengan sangat sebenar dimana kuda tersebut mengangkat kakinya dengan lebih tinggi untuk berjalan di atas salji.
Apa yang saya boleh katakan adalah Red Dead Redemption 2 sememangnya adalah satu permainan yang sangat luas. Terdapat pelbagai aktiviti dan penceritaan yang pemain boleh lakukan. Bukan sahaja ianya sangat nyata, malah pemain juga akan pasti sesat di dalam dunia permainan tersebut dimana pelbagai kandungan yang pasti akan membuat pemain terus bermain.
Setakat 20 jam sesi permainan yang saya main, saya boleh katakan ini adalah satu permainan dunia terbuka terbaik yang pernah Rockstar Games hasilkan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, ulasan penuh permainan ini akan saya lakukan kelak kerana saya masih lagi memerlukan masa untuk menghabiskan penceritaan utama permainan ini.
Penafian: Kod permainan untuk Red Dead Redemption 2 disediakan oleh Rockstar Games.