Informasi Permainan Video Terkini
Overwatch Bakal Menerima Mod Penonton “Overwatch World Cup Viewer”
PC

Overwatch Bakal Menerima Mod Penonton “Overwatch World Cup Viewer”

Diterbitkan pada Okt 25, 2018 oleh .

Bersempena dengan acara BlizzCon 2018 yang bakal berlangsung November ini, Jeff Kaplan, pengarah bagi permainan Overwatch hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan mod penonton yang dinama Overwatch World Cup Viewer melalui kemaskini permainan tersebut.

Menurut Jeff Kaplan, mod ini akan membenarkan pemain untuk menonton perlawanan Overwatch melalui permainan tersebut secara langsung ataupun melalui permainan ulangan. Sekaligus, penonton juga berupaya untuk mengawal kedudukan kamera dan juga melihat sesi tersebut dalam bentuk pandang pertama ataupun pandang ketiga. Terdapat juga sokongan untuk pemain melihat peta kawasan dari atas ataupun terus secara bebas buat keseluruhan sesi perlawanan.

Namun, buat masa ini, mod tersebut hanyalah terhad buat pengguna PC sahaja melalui sesi percubaan beta. Selain itu, ianya juga masih lagi terhad buat perlawanan Overwatch World Cup. Menurut Jeff Kaplan, mereka berminat untuk membawa mod penonton tersebut di platform lain selepas mereka mencubanya melalui acara Overwatch World Cup.

Mod penonton Overwatch World Cup Viewer akan dilancarkan menjelang acara BlizzCon 2018 yang bakal berlangsung pada awal November kelak.

Selain itu, Jeff Kaplan juga mengesahkan bahawa ketika acara BlizzCon 2018, mereka juga tidak akan mengumumkan sebarang peta kawasan baru buat permainan Overwatch. Namun, mereka menyatakan bahawa peta kawasan baru sememangnya sedang dibangunkan.

Jeff Kaplan juga menyatakan bahawa ketika acara BlizzCon 2018, mereka akan mengumumkan pelbagai lagi pengumuman menarik berkenaan permainan tersebut.


TIPS & ULASAN