Naruto To Boruto: Shinobi Striker merupakan permainan berdasarkan siri anime terkenal, Naruto yang mana ianya memfokuskan bentuk permainan secara multi-pemain. Melalui permainan ini, Bandai Namco membangunkannya tanpa sebarang bentuk penceritaan utama dimana pemain berupaya untuk menghasilkan watak mereka sendiri dan melakukan pelbagai misi-misi sampingan yang disediakan. Permainan ini dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan juga PC melalui Steam pada 30 Ogos lepas.

Namun pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baru untuk dunia permainan dimana Dragon Ball juga sebelum ini pernah melakukan sesuatu yang hampir serupa dengan permainan Dragon Ball Xenoverse.

Namun, adakah permainan multi-pemain berdasarkan dunia ninja Naruto adalah sesuatu yang menarik untuk siri tersebut? Ini adalah ulasan penuh saya buat permainan ini.

Memandangkan permainan ini tidak mempunyai sebarang penceritaan utama, sekaligus saya mengambil keputusan untuk tidak menilai permainan ini dari segi penceritaan. Walaupun secara asasnya, ianya mempunyai sebahagian penceritaan yang mana ianya meletakkan pemain untuk menjadi seorang ninja bertaraf Genin dan melakukan pelbagai misi yang disediakan oleh ninja-ninja lain, namun permainan ini tidaklah begitu memfokuskannya malah sebahagian watak-watak dari anime Naruto yang berada di dalam permainan ini hanyalah sebuah watak sampingan sahaja.

Akan tetapi apa yang menariknya adalah permainan ini meletakkan pemain di garis masa selepas Naruto Shippuden dimana Naruto sendiri adalah Hokage di dalam permainan ini yang mana mereka bersama-sama ninja lain sedang melatih ninja-ninja baru, iaitu watak pemain sendiri.

Grafik

Dari segi visual grafik, permainan ini sememangnya tidak mengecewakan. Bukan sahaja setiap wajah watak dipaparkan dengan rekaan menarik, malah visual grafik seakan Cel Shaded membuahkan satu visual permainan yang sangat menawan.

Selain itu, rekaan watak dan eskpresi muka watak juga dihasilkan dengan baik. Ini kerana, memandangkan permainan ini berdasarkan siri anime Naruto, segala reaksi watak seperti Kakashi membaca buku lucah beliau, ataupun riak wajah muka terkejut di dalam siri anime tersebut, diterjemahkan dengan sangat baik dalam bentuk visual 3 dimensi.

Akan tetapi, rekaan watak tersendiri pula agak terhad dimana kebanyakkan wajah-wajah mahupun rambut adalah kitaran daripada watak-watak daripada siri Anime Naruto yang sedia ada. Malah pemain juga perlu menyah-kuncinya secara berperingkat, sekaligusnya ianya berasa agak terhad ketika permulaan permainan tersebut.

Audio

Dari segi audio, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang masalah utama. Malah setiap suara latar watak-watak yang dipaparkan, dilakonkan dengan baik. Akan tetapi kualitinya tidaklah begitu luar biasa dimana setiap watak berasa mendatar.

Walaupun pemain berupaya untuk memilih suara latar watak berbeza, namun ia hanya terhad kepada suara-suara ataupun bunyian desakan ataupun menjerit sahaja. Manakala suara latar bagi watak-watak dari siri anime hanyalah terhad untuk beberapa sesi adegan sahaja.

Tambahan itu, apa yang membuat saya kecewa adalah kebanyakkan dialog-dialog watak sering diulangkan dan ianya berasa agak membosankan. Namun, dengan kandungan yang agak terhad buat permainan tersebut, ianya tidaklah begitu mengejutkan untuk Bandai Namco menghasilkan sesuatu yang agak hambar tanpa sebarang kandungan asli buat permainan tersebut.

Kawalan Permainan

Semenangnya kawalan permainan merupakan sesuatu yang sangat penting buat permainan ini dan Bandai Namco, telah melakukan sesuatu yang sangat mengecewakan.

Naruto To Boruto: Shinobi Striker merupakan permainan yang memfokuskan bentuk pertempuran arena secara multi-pemain. Sekaligus, permainan ini seakan permainan Overwatch ataupun permainan MOBA lain yang mana ianya memfokuskan bentuk bertarungan secara berkumpulan. Walaupun begitu, permainan ini masih lagi mengekal sebilangan mod secara solo dan juga secara koperasi yang mana akan saya terangkan dengan lebih terperinci dibawah.

Pada permulaan permainan ini, pemain berupaya untuk menghasilkan watak pemain sendiri. Pemain juga boleh menetapkan jenis ninja pemain sama ada pemain adalah ninja dari kawasan perkampungan Hidden Leaf ataupun mana-mana perkampungan lain yang terdapat di dalam dunia ninja Naruto tersebut.

Melaluinya, pemain berupaya untuk memilih pelbagai jenis pengubah-suaian seperti pakaian dan rambut bersama-sama dengan jantina. Namun, ketika permulaan permainan ini, segala kelengkapan pemain masih lagi terhad kerana untuk mendapatkan kelengkapan lain, pemain perlu sentiasa bermain dan meningkatkan peringkat pemain untuk menyah-kunci kelengkapan baru.

Seperti kebanyakkan permainan multi-pemain lain, Naruto To Boruto: Shinobi Striker juga menyediakan satu lobi yang luas dimana pemain berupaya untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat untuk melakukan sebilangan aktiviti. Melalui lobi tersebut, pemain berupaya untuk mengakses sebilangan aktiviti yang tersedia seperti menetapkan guru kemahiran pemain, ataupun memilih misi-misi ataupun mod perlawanan secara atas talian.

Dari segi guru kemahiran, sepanjang permainan ini, pemain berupaya untuk mempelajari pelbagai kemahiran berdasarkan watak-watak siri anime Naruto seperti Sasuke, Sakura dan Naruto sendiri. Mod ini dipanggil VR Master yang mana setiap kali pemain tingkatkan kemahiran pemain, pemain akan mempelajari kemahiran berdasarkan watak-watak yang dipilih oleh pemain.

Mod ini agak menarik kerana pemain bukan sahaja berupaya untuk mempelajari kemahiran berdasarkan watak kesukaan pemain, malah pemain juga berupaya untuk mempelajari pelbagai jenis kemahiran dari pelbagai jenis watak dari siri Naruto tersebut.

Walaupun begitu, ini juga memberi kesan yang berulangan buat pemain dimana pemain perlu sentiasa terus bermain untuk mendapatkan pelbagai kemahiran dan ianya akan memakan masa yang agak panjang untuk pemain lakukan.

Dari segi kelengkapan pula, pemain juga berupaya untuk membelinya di kedai yang tersedia di lobi permainan tersebut. Selain itu, permainan ini juga menyertakan satu sistem seakan bentuk kotak tikam dimana pemain berupaya untuk mendapatkan kelengkapan permainan dengan menyah-kunci skrol-skrol.

Skrol tersebut boleh didapati melalui misi-misi ataupun mod pertempuran yang disediakan sebagai ganjaran buat pemain jika pemain berjaya melengkapkan misi-misi tersebut. Setelah mendapat skrol tersebut, pemain perlu ke kedai TenTen untuk menilai skrol tersebut dan mendapatkan barangan-barangan tersebut. Namun, dari segi barangan yang diperolehi, kandungannya adalah rawak seperti baju, duit ataupun senjata dan label nama profil.

Dari segi bentuk perlawanan pula, permainan ini memfokuskan bentuk pertempuran secara empat lawan empat dimana ianya mempunyai sebilangan mod perlawanan yang berbeza. Antara mod yang tersedia adalah mod mengumpul pangkalan dan mod berebut bendara.

Melalui mod ini, pemain akan bertempur dengan pemain lain dimana setiap kemenangan pemain, akan meningkatkan lagi tahap pemain dan pemain juga berupaya untuk mendapat ganjaran skrol dan nilai pengalaman setiap kali pemain berjaya mengalahkan musuh.

Dari segi mod yang tersedia, pada pendapat saya ianya agak sedikit dan berulangan. Bukan sahaja saya berasa bosan sepanjang sesi permainan saya. Malah saya berasa permainan ini berasa agak kosong dengan hanya kandungan-kandungan yang berulangan.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan misi sampingan yang pemain  boleh lakukan secara solo ataupun secara koperasi bersama-sama rakan melalui atas-talian. Mod ini juga agak menarik memandangkan sebahagian daripada misi-misi yang disediakan, Bandai Namco mengasingkan mengikut tahap kesukaran malah mereka juga memperlihatkan sebahagian misi-misi daripada adegan-adegan daripada siri asal Anime tersebut.

Terdapat pelbagai misi menarik seperti mengumpul halaman buku lucah Kakashi, ataupun mempertahankan pintu pagar daripada diserang oleh musuh. Terdapat juga misi-misi lain seperti menewaskan ketua musuh besar dan sebagainya.

Walaupun begitu, kebanyakkan misi-misi yang tersedia agak berulangan dengan hanya musuh-musuh yang berbeza. Ianya menjadi semakin bosan dimana kebanyakkan misi yang bertaraf tinggi hanyalah mempunyai tahap kesukaran yang berbeza tanpa sebarang misi yang menarik.

Ianya seakan anda seorang ninja Genin yang hanya melakukan misi-misi hambar tanpa sebarang penceritaan asli mahupun penceritaan yang bersambung. Setiap satu misi mempunyai penceritaan yang tunggal dan tidak langsung berkait antara satu sama lain.

Memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk pertempuran secara berpasukan, pemain juga boleh menetapkan kelas watak permainan sendiri. Terdapat empat kelas yang mana setiap satunya mempunyai senjata, kelengkapan dan kemahiran yang berbeza.

Contohnya seperti kelas serangan, ianya akan memfokuskan bentuk serangan dan kemahiran yang lebih memberi kecederaan yang tinggi. Manakala kelas pertahanan pula akan memfokuskan pemain untuk mengumpan musuh ataupun meningkat nilai nyawa dan sebagainya.

Walaupun adanya mod kelas watak ini, permainan ini tidaklah begitu taktikal memandangkan sepanjang sesi permainan saya, kesemua pemain yang saya temui lebih mementingkan diri dan hanya melakukan apa yang mereka inginkan.

Ini disebabkan permainan ini tidak meletakkan had buat kelas watak tersebut setiap sesi pertempuran malah ianya juga tidaklah memberi kesan yang begitu tinggi jika pemain ingin menjadi kelas watak lain ataupun tidak.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk menetapkan pelbagai jenis kemahiran. Ianya menjadi lebih menarik dimana anda berpeluang untuk menetapkan kemahiran seperti kemahiran Rasengan dan Raikiri pada masa yang sama. Bagi mereka yang ingin melakukan serangan tersebut secara menerus. Pemain juga berupaya untuk mempelajari dan menetap kemahiran berkuasa dengan mempelajari melalui guru VR Master yang diterangkan di atas.

Walaupun begitu, apa yang saya sangat kecewa dengan permainan ini adalah gerakkan kameranya. Sepanjang permainan ini, saya menghadapi masalah dari segi mengawal kamera permainan tersebut. Bukan sahaja ianya merosakkan permainan, malah ianya memberi kesukaran yang sangat menjengkelkan ketika bermainnya.

Dari segi kawalan juga, kesemua sesi permainan ini, saya berasa hanya menekan butang pukul dan kemahiran sahaja berulang-ulang kali. Ini membuatkan permainan ini berasa sangat berulangan dan bosan jika dimainkan berkali-kali.

Satu perkara mengecewakan lagi adalah permainan ini juga tidak mempunyai sebarang kepuasan bagi tahap kemajuan watak. Apa yang saya lakukan adalah bermain mod multi-pemain ataupun mod solo berulang-ulang kali dengan hanya untuk meningkatkan kuasa, mempelajari kemahiran baru dan mendapatkan kelengkapan baru. Ianya terhad setakat itu sahaja dan ianya membuat saya berasa sangat hambar tanpa sebarang bimbingan untuk saya terus bermain.

Tambahan juga, ketika awal pelancaran sesi permainan saya. Permainan ini mempunyai pelbagai pepijat yang merosakkan sesi permainannya. Antara pepijat yang saya alami adalah saya tidak berupaya untuk mengeluar dari lobi ketika mencari sesi seterusnya dan juga berkali-kali saya menghadapi masalah dimana konsol saya terus tidak berfungsi.

Walaupun begitu, sepanjang bulan sejak pelancarannya, Bandai Namco telah pun membaiki pepijat tersebut dan saya tidak lagi menghadapi sebarang masalah berkenaannya.

Kesimpulan

Naruto To Boruto: Shinobi Striker mempunyai satu konsep permainan yang sangat menarik yang bertempatkan di dalam dunia ninja Naruto. Namun, pelaksanaan Bandai Namco buat permainan ini membuatkannya sangat bosan dan berulangan.

Dari segi bentuk permainan yang memfokuskan multi-pemain berpasukan dan tiada penceritaan utama, permainan ini berasa seolah satu permainan kosong yang hanya sesuai untuk dijadikan sebagai permainan percuma di peranti telefon pintar.

Tambahan juga bentuk permainan yang agak berulangan dan hambar, saya berasa ianya adalah satu permainan yang sangat mengecewakan buat siri Naruto dan saya tidak mengesyorkan anda untuk mendapatkan permainan ini. Saya percaya dalam masa terdekat ini juga, jumlah pemain akan berkurangan dan pemain akan menghadapi masalah untuk bermain secara atas-talian.

Penafian: Kod ulasan untuk Naruto To Boruto: Shinobi Striker disediakan oleh Bandai Namco.

Sohor Kini