Ubisoft hari ini mengumumkan bahawa mereka akan memberhentikan fungsi atas-talian buat permainan Just Dance di konsol generasi lama, iaitu Playstation 3, Xbox 360, Wii dan juga Wii U. Fungsi atas-talian tersebut akan dihentikan pada 19 November 2018 ini menurut Ubisoft.

Bagi permainan Just Dance 2015 dan 2014 di Playstation 4 dan Xbox One, fungsi atas-talian buat kedua-dua permainan tersebut juga akan diberhentikan. Namun, bagi permainan Just Dance 2019 yang bakal dilancarkan minggu ini akan masih lagi disokong secara atas-talian walaupun di konsol generasi lama.

Selain itu, Ubisoft juga menyatakan bahawa mereka juga akan menghentikan sokongan atas-talian buat permainan I Am Alive, Tom Clancy’s End War dan Splinter Cell Double Agent juga pada tarikh yang sama. Manakala sokongan atas-talian permainan Assassin’s Creed 2 di platform Mac dan Rayman 3 HD di Playstation 3 dan Xbox 360 juga akan diberhentikan.

Menurut Ubisoft, mereka perlu menutup servis atas-talian bagi permainan-permainan lama yang mana ianya semakin kurang dimainkan dimana mereka kini berupaya untuk memfokuskan produksi mereka di permainan-permainan baru. Ubisoft juga menyatakan bagi pemain yang masih lagi mempunyai mata wang permainan di dalam permainan yang tersenarai, mereka dinasihatkan untuk menggunakannya kerana Ubisoft tidak akan membuat pembayaran kembali.

Ini bukanlah sesuatu yang asing, memandangkan permainan-permainan lama sudah tidak dimainkan dan fungsi tersebut tidak lagi digunakan oleh sebilangan pemain. Malah ini merupakan satu perkara yang harus dipuji buat Ubisoft kerana setelah sekian beberapa tahun, Ubisoft masih lagi memberi sokongan terhadap permainan-permainan lama mereka.

Bagi anda yang masih lagi bermain permainan yang tersenarai, anda mungkin berminat untuk berpindah kepada permainan yang lebih baru menjelang November ini.

Sohor Kini