Informasi Permainan Video Terkini
Adakah Telefon Pintar Bakal Menggantikan Konsol Permainan Mudah Alih?

Adakah Telefon Pintar Bakal Menggantikan Konsol Permainan Mudah Alih?

Diterbitkan pada Okt 19, 2018 oleh .

Huawei memperlihatkan beberapa peranti terbaru untuk siri Mate20 semasa acara pelancaran beberapa hari lepas. Antara peranti yang diperlihatkan adalah Mate20 X yang mempunyai skrin serta kapasiti bateri yang lebih besar berbanding peranti Mate20 yang lain.

Seperti biasa, Huawei membuat perbandingan antara Mate20 X dengan beberapa peranti mercu lain seperti Note 9 dan iPhone Xs Max. Namun, bagi saya yang membuatkan saya ingin bercakap mengenai peranti tersebut apabila mereka juga membandingkannya dengan Nintendo Switch.

Walaupun perbandingan tersebut mengejutkan saya akan tetapi ia jelas mengapa, Switch seperti kita sedia maklum merupakan satu-satunya konsol utama yang boleh dimainkan secara mudah alih. Selepas membuat perbandingan mengenai saiz skrin dan ketahanan bateri, Huawei menyatakan Mate20 X adalah peranti permainan mudah alih terbaik.

Huawei, andai informasi saya tidak salah, adalah syarikat pertama cuba membandingkan telefon pintar mereka dengan konsol permainan. Namun, apabila kita becakap mengenai permainan mudah alih, terdapat pelbagai lagi telefon pintar yang direka khas untuknya. Razer mempunyai Razer Phone 2, Asus mempunyai ROG Phone dan Honor mempunyai Honor Play. Ini memperlihatkan kesungguhan pembangun telefon pintar untuk memasuki pasaran dengan menawarkan platform permainan mudah alih terbaik.

Ia mungkin membuatkan ramai yang tertanya adakah telefon pintar akan menggantikan konsol permainan mudah alih?

Pada pendapat saya, jika hanya melihat dari segi spesifikasi, skrin, ketahanan bateri dan tawaran fungsi tambahan sudah semestinya telefon pintar mungkin adalah lebih baik jika ingin dibandingkan dengan konsol permainan mudah alih seperti Switch, 3DS dan PS Vita. Namun, berikut adalah beberapa kekangan yang terdapat di dalam telefon pintar yang menghalang daripada ia menggantikan konsol permainan mudah alih.

Pertamanya, tidak seperti konsol, telefon pintar menerima kemaskini baharu pada setiap tahun. Sesuatu generasi konsol mungkin bertahan sehingga 5 hingga 6 tahun. Walaupun, telefon pintar tidak perlu dibeli saban tahun, namun kelancaran sesuatu telefon pintar hanya di tahap yang baik untuk dua atau tiga tahun sahaja.

Keduanya, telefon pintar juga mempunyai pelbagai syarikat pengeluar yang mengeluarkan model , sistem operasi serta spesifikasi berlainan. Ia mempunyai masalah yang sama seperti PC, disebabkan itu PC tidak dapat untuk menggantikan konsol namun ia adalah sekadar satu pilihan lain. Walaupun telefon pintar mempunyai dua sahaja sistem operasi yang utama iaitu iOS dan Android, akan tetapi Android sendiri mempunyai pelbagai fork yang mempunyai perbezaan kecil dan juga besar.

Oleh disebabkan perkara pertama dan kedua, sebab ketiga adalah ia menjadikan sukar untuk pembangun membangunkan satu permainan bagi telefon pintar. Mungkin ia lebih mudah, jika lebih memfokuskan kepada peranti iOS yang mempunyai ekosistem tertutup, namun buat masa ini Apple tidak memfokuskan kepada permainan mudah alih sebaliknya menjadikannya sebagai sampingan sahaja. Pembangun mungkin membawa beberapa permainan ke telefon pintar tetapi ia tidak secara menyeluruh.

Permasalahan ketiga juga boleh diselesaikan dengan pengeluar telefon pintar itu sendiri menjadikan pembangunan permainan mudah alih. Buat masa ini tiada syarikat yang mempunyai kepakaran serta keinginan untuk melabur di dalam perkara tersebut dan ia adalah sebab keempat iaitu tiada pengeluar telefon pintar yang ingin melibatkan diri di dalam pembangunan permainan video ataupun permainan mudah alih. Sekadar berharap kepada pembangun permainan ketiga tidak cukup untuk menjadikannya satu konsol permainan.

Disebabkan perkara tersebut juga, sebab kelima adalah walaupun telefon pintar versi ‘gamer’ dikeluarkan akan tetapi ia sekadar menyediakan spesifikasi serta penambahan yang boleh meningkatkan pengalaman bermain. Namun, telefon pintar tersebut masih lagi direka pertamanya sebagai telefon dan sebagai sampingan cuba untuk menjadikannya satu platform permainan yang baik. Manakala konsol seperti Switch, ia direka khas terlebih dahulu untuk permainan video. Fungsi lain yang hanya hadir sebagai sampingan.

Jika dilihat pada Switch, fungsi Joy Con itu sendiri menjadi kesukaran untuk diikuti oleh pengeluar telefon pintar melainkan berharap kepada pihak ketiga. Sekadar meletak alat kawalan ke bahagian tepi telefon masih tidak cukup untuk menjadikannya sebagai satu konsol permainan video.

Keenam, pemain di telefon pintar masih tidak boleh menerima permainan yang dijual dengan harga seperti konsol. Ia mungkin akan berubah di masa hadapan akan tetapi buat masa ini, jika satu permainan dijual dengan harga RM200 di dalam App Store ataupun Play Store, sudah semestinya tidak ramai yang sanggup membelinya. Kita sering mendengar “permainan kat telefon je pun, tu pun mahal”. Sebaliknya, jika ia dikeluarkan untuk PS4 ataupun Switch, harga tersebut mungkin tidak akan menjadi masalah.

Square Enix yang merupakan antara syarikat terkenal untuk permainan video sendiri menyatakan, pemain di telefon pintar tidak berminat untuk mendapatkan permainan yang mempunyai harga permulaan. Sebaliknya pemain di permainan mudah alih lebih menggemari permainan percuma untuk di mainkan walaupun kemudiannya berbelanja lebih pada RM200 untuk pembelian di dalam permainan.

Akhir sekali, walaupun terdapat pilihan telefon pintar yang murah, namun telefon yang dikatakan sebagai telefon “gamer” dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM3000. Ia adalah agak mahal jika ingin dibandingkan dengan konsol yang di dalam lingkungan RM1300 sahaja.

Sebab-sebab yang saya nyatakan di atas merupakan antara kekangan yang menghalang daripada telefon pintar untuk menggantikan konsol permainan. Namun, ia tidaklah menghalang untuk telefon pintar akan terus digunakan sebagai platform untuk pemain bermain. PUBG Mobile dan Fortnite contohnya juga di mainkan di telefon pintar walaupun turut dikeluarkan di platform lain.

Demi untuk menjadikannya sebagai satu tarikan, pengeluar telefon pintar juga akan terus menjadikan telefon pintar mereka mesra kepada permainan video. Manakala penerbit permainan juga akan terus berusaha untuk turut mengeluarkan permainan mereka di telefon pintar walaupun mungkin menggunakan cara penjualan yang lebih berbeza disebabkan industri permainan mudah alih di telefon pintar adalah besar, walaupun tidak menggunakan cara yang baik.

Percubaan Huawei untuk membuat perbandingan Switch mungkin sekadar satu gimik, dan kedudukan Switch masih lagi selamat untuk satu jangka masa yang lama. Walau bagaimanapun, perkembangan ini sudah semestinya menarik untuk diikuti. Bahkan saya merasakan Nintendo ataupun mana-mana syarikat yang ingin mengeluarkan konsol mudah alih harus melihat teknologi yang diguna pakai oleh peranti pintar dan membawanya ke konsol mereka.

Bagaimana dengan anda, adakah telefon pintar bakal menjadikan konsol permainan mudah alih seperti Switch tidak diperlukan lagi?


TIPS & ULASAN