Astro Bot Rescue Mission merupakan permainan realiti-maya yang dibangunkan khas oleh JapanStudio dari Sony Interactive Entertainment. Permainan ini merupakan permainan realiti-maya esklusif di Playstation 4 melalui Playstation VR.

Melalui permainan ini, pemain akan mengawal watak Astro Bot, iaitu robot-robot kecil yang asalnya berada di dalam permainan The Playroom iaitu permainan percuma di konsol Playstation 4.

Permainan ini dilancarkan pada 2 Oktober 2018 lepas dan ini adalah ulasan penuh saya bagi permainan Astro Bot Rescue Mission.

Cerita

Penceritaan permainan Astro Bot: Rescue Mission agak ringkas, namun ianya sesuai dengan bentuk watak dan naratifnya kerana ianya sememangnya satu permainan yang kasual sahaja.

Melalui permainan ini, kapten Astro Bot tersebut mengembara bersama-sama kru-kru beliau di satu kapal angkasa. Namun, ketika pengembaraan mereka, kapal angkasa mereka telah diserang oleh makhluk asing dan pada masa yang sama, makhluk asing tersebut juga merosakkan kapal angkasa tersebut dan merampas sebahagian kelengkapan kapal angkasa tersebut. Akibat serangan tersebut, seluruh kru-kru Astro Bot tersebut turut terpisah dan mereka terdampar di pelbagai planet di seluruh angkasa.

Jadi, keseluruhan permainan ini, pemain akan mengawal kapten Astro Bot tersebut dan pada masa yang sama membantu beliau untuk mendapat semula kru-kru beliau dan juga membaiki kapal angkasa tersebut.

Dari segi penceritaan permainan ini, sememangnya ianya merupakan satu naratif permainan yang ringkas. Akan tetapi, dengan penceritaannya yang sebegini, ianya adalah satu penceritaan yang sempurna untuk permainan kasual dan sememangnya ia menjadi satu permainan yang ringan untuk dimainkan.

Grafik

Visual yang dipaparkan melalui permainan Astro Bot Rescue Mission sememangnya tidak mengecewakan. Ianya juga dihasilkan dengan baik buat paparan melalui Playstation VR. Dari segi rekaan watak, sehinggalah rekaan musuh dan kawasan, kesemua dihasilkan dengan kualiti yang baik.

Sememangnya permainan ini tidak mempunyai rekaan watak yang terlampau terperinci, namun rekaannya adalah sangat sesuai dengan genre permainan ini yang memfokuskan bentuk secara kasual.

Walaupun begitu apa yang perlu saya puji adalah prestasi permainan ini yang dimainkan dengan baik sekali di Playstation VR. Bukan sahaja setiap rekaan pentas permainan dihasilkan dengan baik melalui visual paparannya, malah reka bentuk dan susunan objek yang dipertayangkan merupakan satu kombinasi permainan realiti-maya dan platformer terbaik pernah saya mainkan.

Saya juga sangat menyukai bentuk visual yang sering sentiasa memerlukan pemain mencari-cari jalan keluar ataupun kawasan yang tersembunyi. Disebabkan had kamera permainan ini berdasarkan penglihatan pemain melalui set kepala realiti-maya tersebut, visual permainan ini sememangnya menghasilkan satu bentuk yang sangat seronok untuk dimainkan.

Audio

Permainan realiti-maya sememangnya memerlukan audio yang baik untuk menghasilkan satu pengalaman yang menarik, dan Astro Bot Rescue Mission melakukannya dengan baik. Dari segi kualiti audio yang dihasilkan, permainan ini mencukupi kesemuanya.

Muzik yang menarik dengan susun atur audio yang memuaskan. Setiap pengembaraan pemain, muzik yang dimainkan adalah sangat menyegerak dengan situasi pemain seperti ketika pemain atau kapten Astro Bot tersebut diserang oleh ketua musuh dan ataupun ketika saat dimana pemain menaiki satu kenderaan yang laju, mahupun ketika pemain berada di dalam gelap. Setiap audio dan muzik yang dimainkan sangat bersesuaian dengan keadaan permainan tersebut.

Tidak dilupakan juga dengan bunyi-bunyi efek yang terdapat di dalam permainan ini dimana ianya dihasilkan dengan begitu comel sekali. Ini sedikit sebanyak berkait rapat dengan rekaan robot Astro Bot tersebut yang mana ianya sangat comel, dicampur dengan bunyian suara mereka yang kecil tersebut, pasti akan membuat anda menyukai mereka.

Kawalan Permainan

Secara asasnya, Astro Bot Rescue Mission merupakan permainan 3 dimensi platform yang ringkas. Melalui permainan ini, pemain akan mengawal Astro Bot yang mana beliau berupaya untuk melompat dari platform ke platform, memukul dan menewaskan musuh. Astro Bot tersebut juga berupaya untuk terapung untuk sementara waktu dengan menggunakan laser dikakinya. Laser tersebut juga boleh digunakan untuk menembak ke arah musuh yang berada di bawah Astro Bot tersebut.

Keseluruhan permainan tersebut juga mempunyai sebilangan peringkat permainan dimana pemain akan bergerak dari satu tempat sehinggalah ke kawasan penamatnya. Permainan ini mempunyai sebilangan peringkat dimana setiap satu planet, mempunyai lima peringkat permainan. Pada penghujung peringkat planet tersebut juga, permainan ini juga menyertakan satu ketua musuh yang mana setiap satunya mempunyai bentuk pertempuran yang berbeza.

Seperti yang diterangkan saya berkenaan penceritaan permainan ini, dengan mengalahkan ketua-ketua musuh tersebut, pemain juga akan mendapatkan kelengkapan kapal angkasa yang terhilang ketika awal penceritannya permainan ini. Selain daripada mendapatkan kelengkapan tersebut, pemain juga ditugaskan untuk mencari semula kru-kru Astro Bot yang terdampar di planet-planet tersebut.

Akan tetapi, apa yang membuat permainan ini menarik adalah ianya dimainkan melalui set kepala realiti-maya Playstation VR. Bukan sahaja ianya membuat permainan ini berasa lebih unik, malah ianya membuatkan segala berkenaan bentuk permainan ini menjadi sangat seronok untuk dimainkan.

Melalui permainan ini, sememangnya anda akan mengawal sebagai kapten Astro Bot tersebut, namun, pemain sendiri akan berada di dalam pentas permainan sebagai robot yang lebih besar dan sentiasa mengikuti Astro Bot tersebut seolah satu robot arahan.

Namun, apa yang membuat permainan ini lebih seronok dimainkan adalah fungsi pad sesentuh yang terdapat di alat kawalan Dualshock 4 tersebut. Permainan ini menggunakan fungsi tersebut dengan baik sekali dimana sepanjang pengembaraan permainan, pemain akan bertemu dengan pelbagai jenis gajet yang pemain boleh gunakan bersama Dualshock 4 tersebut.

Melalui gajet tersebut, pemain bukan sahaja akan menggunakannya untuk menyelesaikan tekaria, malah penggunaannya juga sangat bijak dimainkan bersama-sama dengan rekaan pentas permainan yang baik, sekaligus menghasilkan satu bentuk permainan yang sentiasa menyeronokkan dan setiap peringkat permainan berasa seolah satu permainan yang baru.

Selain itu, seperti Super Mario Bros, pada penghujung peringkat permainan tersebut, permainan ini juga menyertakan satu peringkat seakan bonus dimana pemain perlu menggunakan alat kawalan Dualshock 4 pemain dengan fungsi pad sesentuh tersebut untuk melastik Astro Bot tersebut ke gegelung bonus yang disediakan.

Menariknya juga, dengan menggunakan kamera permainan asas sebagai realiti-maya, pemain juga perlu sentiasa menoleh dan mencari-cari ruangan tersembunyi untuk mencari kru-kru Astro Bot dan juga mengumpul koin-koin yang terdapat di dalam permainan tersebut.

Ianya bukan sahaja menghasilkan satu bentuk permainan platformer yang unik, malah setiap peringkat permainan merupakan satu pengembaraan yang saya tak boleh lupakan. Setiap saat, saya sentiasa mencari-cari ruangan tersembunyi, mahupun kru-kru yang terdampar yang mungkin berada di ruangan yang tidak saya perasan.

Walaupun begitu, terdapat juga saat-saat saya berasa kamera permainan tersebut agak menjanggalkan. Ini kerana keadaan kamera tersebut tidak boleh ditukar seperti pemain lakukan dengan penggunaan alat kawalan Analog R3, sekaligus ianya sentiasa membuat saya perlu sentiasa menoleh dan mencari-cari lokasi kapten Astro Bot tersebut.

Terdapat juga saat dimana saya hilang kedudukan Astro Bot tersebut dan beliau sebenarnya berada di bawah saya. Sekaligus dengan bentuk kamera sebegitu, ianya memberi pengalaman yang sedikit janggal buat saya. Namun, masalah tersebut tidaklah merosakkan keseluruhan permainan saya.

Bercakap berkenaan koin permainan sebelum ini, koin yang dikumpul oleh pemain juga boleh digunakan di dalam kapal angkasa Astro Bot tersebut untuk mendapatkan diorama-diorama melalui permainan kren yang terdapat di dalamnya. Diorama tersebut juga boleh dimain dan diteroka oleh pemain, sekaligusnya ia merupakan satu lagi aspek kandungan permainan yang terdapat di dalam permainan ini.

Ini juga memberi satu ruangan untuk pemain mengumpul barangan-barangan seteleh pemain tamat bermain permainan ini. Terdapat juga mod cabaran tambahan yang pemain boleh lakukan melalui permainan ini yang mana pasti akan membuat mereka yang menyukai permainan bergenre platformer akan menyukai permainan ini.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh katakan adalah permainan Astro Bot Rescue Mission merupakan satu permainan platformer yang sangat baik. Setiap rekaan pentas permainan bersama-sama dengan bentuk permainan yang inovatif dengan penggunaan bentuk realiti-maya dan alat kawalan Dualshock 4, sememangnya ianya adalah permainan yang sangat memuaskan.

Pada pendapat saya, permainan ini merupakan permainan realiti-maya terbaik pernah saya mainkan di Playstation VR dan bagi mereka yang masih belum mempunyai set kepala realiti-maya tersebut, saya sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkan set Playstation VR dan bermula bermain permainan ini sebagai permainan realiti-maya pertama anda di set kepala realiti-maya tersebut.

Penafian: Kod ulasan untuk Astro Bot: Rescue Mission disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini