Sony hari ini mengesahkan bahawa mereka akan membenarkan pemain untuk menukar nama pengguna PSN menjelang awal 2019.
Menurut Sony, penukaran pertama boleh dilakukan secara percuma dimana penukaran berikutnya akan dikenakan cas sebanyak $10(~RM42) dan $5(~RM21) buat pelanggan Playstation Plus.
Buat masa ini, fungsi ini hanya terhad untuk pengguna beta dimana mereka berpeluang untuk mencubanya terlebih dahulu sebelum ianya dilancarkan tahun depan kelak.
Selain itu, Sony juga menyatakan bahawa fungsi ini juga terhad mengikut permainan dimana ianya hanya serasi dengan permainan yang dilancarkan selepas 1 April 2018 dan sebilangan permainan utama yang dimainkan di Playstation 4 sahaja. Sony juga menyatakan bahawa terdapat juga permainan dan aplikasi lain di Playstation 4, Playstation 3 dan Playstation Vita yang mungkin tidak akan menyokong fungsi ini dan pengguna mungkin akan menghadapi beberapa masalah jika menukarnya. Namun, Sony juga menyatakan bahawa pengguna berupaya untuk menukar semula ke nama asli secara percuma jika terdapat sebarang masalah.
Bagi mereka yang ingin mengubah nama pengguna PSN juga, pengguna berupaya untuk mempamerkan nama pengguna PSN yang lama untuk memudahkan pengguna lain mencari nama tersebut.
Dengan pengumuman ini, janji Sony untuk menyediakan fungsi penukaran nama pengguna PSN akhirnya terjawab. Walaupun ianya kelihatan agak sukar dengan bayaran tambahan, sekurang-kurangnya penukaran pertama tidak akan dicas dan pengguna berpeluang untuk menukar kepada nama yang lebih menarik tanpa sebarang masalah menjelang 2019 ini.