Bagi anda yang meminati arena kriptowang mahupun rantaian-blok, iCandy minggu ini mengumumkan permainan berdasarkan rantaian-blok Ethereum iaitu Cryptant Crab.
Permainan ini merupakan permainan berdasarkan permua Crab War yang mana juga dibangunkan oleh pembangun yang sama.
Melalui permainan ini, pemain berupaya untuk menternak ketam khas Cryptant Crab dan bukan sahaja pemain berupaya untuk mengumpulnya, malah bahagian-bahagian ketam tersebut juga boleh ditukar untuk menghasilkan ketam terbaik untuk pemain. Terdapat 5 elemen asas ketam yang pemain boleh gunakan dimana setiap satunya mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri.
Menurut pembangun, permainan ini juga akan mempunyai bentuk pertempuran yang mana ianya bakal tiba pada tahun hadapan. Melalui bentuk tersebut, pemain juga berupaya untuk menternak nilai kemenangan dan kekalahan ketam tersebut, sekaligus menghasilkan seekor ketam yang unik dan menarik.
Tambahan juga, memandangkan permainan ini berdasarkan konsep rantaian-blok, pemain juga berpeluang untuk menjual ketam dengan menggunakan mata wang Ethereum. Justeru itu, bagi anda yang mengumpul set lengkap ketam tersebut ataupun mempunyai nilai ketam yang tinggi, pemain berpeluang untuk menjualnya dengan nilai yang tinggi.
Bersempena dengan pelancaran pra-jualan permainan ini pada 25 Oktober ini, iCandy mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan acara kempen Bounty yang mana pemain berpeluang untuk mendapatkan seekor ketam Cryptant Crab yang bernilai 0.5 Ethereum.
Kempen ini bukan sahaja membenarkan pemain untuk mendapatkan ketam tersebut, malah melaluinya, pemain juga akan mendapat status Pioneer, bahagian ketam khas dan juga berpeluang untuk mendapatkan bahagian yang lebih terhad.
Cryptant Crab merupakan permainan pertama di Asia Tenggara yang menggunakan konsep rantaian-blok dan ianya juga dibangunkan oleh pembangun dari Malaysia. Buat masa ini, ianya dijadualkan untuk dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Bagi anda yang berminat untuk mendaftar kempen Bounty tersebut dan mendapat pelbagai ganjaran tambahan, anda boleh melayari laman rasmi Cryptant Crab dibawah.
[info] Layari : Cryptant Crab [/info]