Permainan simulasi adalah permainan di mana anda memerlukan komitmen untuk melengkapkan misi dan segala tugasan yang diberikan. Permainan simulasi juga terdapat yang mengikuti masa nyata dan turut terdapat pilihan mempercepatkan masanya, agar pemain boleh melangkau banyak masa untuk meneruskan misi lain.

Two Point Hospital dibangunkan oleh Two Point dan diterbitkan oleh Sega. Permainan ini boleh dikatakan adalah inspirasi daripada Theme Hospital pada zaman Playstation 1 suatu ketika dahulu.

Dalam artikel ini, ia adalah ulasan untuk permainan simulasi baru iaitu Two Point Hospital. Daripada tajuk, anda sudah tahu – ia adalah satu permainan simulasi yang berkait dengan dunia hospital.

Cerita

Dalam permainan simulasi hospital ini, pemain diberi tugasan sebagai seorang pengurus. Di mana tugas pengurus ini adalah untuk memastikan pesakit menerima rawatan dan keuntungan hospital turut dijana. Tugas pengurus juga perlu menaikkan taraf setiap hospital untuk memastikan pesakit kerap mengunjung dan prestasi hospital adalah terbaik. Setiap hospital mempunyai tiga bintang yang perlu dicapai dan bintang ini hanya akan diterima jika prestasi hospital yang dijaga pemain adalah terbaik dan segala misi dan tugasan atau objektif berjaya dilengkapkan.

Pada awal permainan, pemain perlu menetapkan suasana hospital. Seperti berfikir lokasi mana untuk meletakkan kaunter atau di mana untuk letakkan kerusi untuk pesakit duduk menunggu. Kemudian, pemain perlu mengikut misi seperti membina bilik-bilik doktor, bilik merawat, bilik mengambil ubat, wad pesakit, dan sebagainya. Lebih menghiburkan (sedikit rasa bersalah) apabila pemain gagal merawat pesakit, pesakit itu akan mati dan menghantui hospital ini. Bagaimana cara untuk hapuskannya? Baca ulasan ini, dan anda akan tahu bagaimana seronoknya permainan simulasi ini.

Grafik

Two Point Hospital menggunakan grafik 3D yang dilihat seakan kartun animasi 3D. Watak-watak dalam permainan ini kelihatan comel dan warna yang digunakan adalah meriah.

Setiap persekitaran permainan ini adalah seperti sebuah bandar yang berdekatan dengan taman perumahan. Ia kelihatan menarik, meriah dan tenang. Grafiknya secara keseluruhan adalah sesuai untuk dimainkan oleh dewasa atau kanak-kanak. Grafiknya senang dilihat dan seronok.

Pemain juga boleh melihat bagaimana setiap watak dalam permainan ini bergerak dari luar hospital ke hospital. Pergerakan setiap watak itu kelihatan kelakar dan menggelikan hati. Kerana seperti yang saya katakan awal tadi, mereka kelihatan sebagai watak kartun.

Dalam pada itu, walaupun grafik permainan ini kelihatan ringkas – prestasinya adalah sangat lancar. Saya bermain pada HP Pavilion 15 Gaming dengan RAM 8GB, storan jenis SSD, CPU Intel i5 generasi kelapan dan kad grafik GTX1050. Prestasi keseluruhan adalah memuaskan.

Audio

Dalam permainan ini, ia tidak mempunyai sebarang dialog perbualan baik antara watak ataupun hos permainan. Audio yang hadir dalam permainan ini memfokuskan kesan bunyi watak, bunyi persekitaran, muzik latar. Muzik latar pula adalah berbeza mengikut suasana hospital.

Kesan bunyi setiap situasi pula adalah menghiburkan dan menyeronokkan. Contoh, apabila pesakit mati dan menjadi hantu muzik latarnya berbeza. Apabila watak khas muncul atau badut muncul muzik latarnya juga berbeza. Anda mungkin fikir adakah permainan ini serabut atau memeningkan kerana banyak muzik? Tidak. Kerana muzik latar berdasarkan suasana ini hanya berubah apabila pemain zoom ke kawasan yang ingin difokuskan. Seperti di bilik doktor muzik dan kesan bunyi lain, bilik rawatan lain, di ruang kaunter lain atau di ruang menunggu.

Bentuk Permainan

Two Point Hospital boleh diikatakan adalah permainan simulasi pertama saya yang saya benar-benar main. Jadi, saya tidak dapat bandingkan bagaimana sesebuah bentuk permainan simulasi. Untuk setiap watak penting dalam permainan ini, pemain perlu mengupah mereka. Seperti doktor, pembantu doktor, jururawat dan lain-lain pekerja. Sebagai pengurus hospital, pemain juga boleh melatih setiap pekerja dalam hospital ini untuk menaik taraf kualiti kerjanya. Setiap pekerja juga turut boleh memohon gaji mereka untuk dinaikkan.

Untuk Two Point Hospital, pemain hanya perlu menjaga hosiptal mereka dalam keadaan baik. Maksud menjaga ini adalah mengawal perniagaan hospital. Ya, perniagaan. Kenapa? Kerana setiap hospital dalam permainan ini mempunyai tahap keuntungan, kerugian dan perbelanjaan. Jika salah satu hospital itu  bermasalah seperti mengalami kerugian, bahagian hospital itu dikira bankrup dan tidak boleh dimainkan kecuali dengan menetapkan semula daripada awal. Hospital yang dikawal baik akan menerima bintang.

Seperti pengenalan pada awal artikel tadi, tiga bintang akan diberikan pada setiap hospital. Bintang-bintang ini hanya boleh diterima dengan bermain dengan baik dan lengkapkan segala objektif. Kawalan pula adalah dengan beberapa kunci dari papan kekunci dan tetikus. Terdapat juga gabungan papan kekunci dan tetikus untuk bergerak atau mengubah sudut pandangan. Tidak pasti sama ada saya sendiri yang kurang mahir mengawal atau permainan simulasi memang lebih kurang begini.

Pemain perlu dengan kreatif membina bilik-bilik, menyusun dengan baik dan menjadikan suasana hospital ini seperti sebuah hospital sebenar. Pastikan terdapat cukup ruang untuk berjalan, letak objek dan lain-lain. Jangan fikir objek ini hanya objek semata-mata dan tidak penting. Setiap objek seperti rak buku, pokok bunga, kerusi sangat memberi peranan. Jika tidak, pesakit atau pengunjung hospital akan berubah perasaan mereka. Untuk setiap bilik dan objek, pemain perlu membelinya. Ia hadir di ruang inventori dan pemain hanya perlu klik dan tempatkan di lokasi yang sesuai. Jika terdapat objek yang dikunci, ini bermakna pemain belum sampai tahap yang boleh membeli objek tersebut.

Berbalik kepada hantu tadi, pemain boleh hapuskan hantu itu dengan gajet seakan Ghostbuster. Ia boleh dihapuskan dengan kawalan yang mudah dan watak permainan akan lengkapkan tugasan. Tetapi bagaimana hantu itu boleh muncul? Ia muncul apabila pesakit mati. Terdapat juga perkara lain seperti pesakit bertukar menjadi badut, memakai kuali atas kepada atau berubah menjadi robot. Kadangkala, kepala pesakit turut boleh berubah menjadi lampu mentol. Setiap perubahan pada pesakit ini adalah berdasarkan penyakit yang mereka hadapi, seperti murung, pandemik atau juga penyakit baru seperti cubism. Terdapat juga watak badut yang murung. Di mana cara untuk merawatnya adalah di dalam mesin khas yang memperlihatkan pelbagai perasaan sehingga badut tadi menjadi manusia normal. Jika pemain kehabisan wang, pinjaman boleh dibuat dan perlulah main dengan baik bagi menjana wang untuk bayar semula hutang.

Kesimpulan

Pendapat saya, Two Point Hospital adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan. Tiada jalan cerita seperti permainan lain yang serius. Penceritaan dalam permainan ini ditetapkan pemain. Kerana, hanya pemain sahaja boleh tetapkan bagaimana setiap pesakit kekal hidup dan bagaimana perniagaan hospital tadi tidak akan lingkup.

Bentuk permainan yang ringkas, kemas dan mudah. Mungkin, jika anda seorang yang pernah mainkan permainan simulasi – permainan ini tidak akan menjadi masalah untuk anda.

Tidak lupa juga, apabila Two Point Hospital dimainkan ia adalah ibarat kerja sebenar di dunia realiti. Seperti yang dijelaskan tadi, tugas pemain adalah sebagai pengurus dan sebagai pengurus kerja-kerja menjaga hospital ini adalah serius dan komitmennya adalah penting.

Sohor Kini