XCOM: Enemy Unknown dikeluarkan pada tahun 2012 dan 9 Oktober ini, Firaxis akan menyambut ulang tahun ke-6 untuk permainan tersebut dengan mengeluarkan Tactical Legacy Pack iaitu DLC penambahan untuk XCOM 2: War of the Chosen versi PC.
DLC ini akan memberikan pelbagai penambahan seperti mod, peta, senjata dan perisai dan di reka berdasarkan siri XCOM sebelum ini. Ia juga menyertakan kempen Archives Legacy Ops yang memfokuskan kejadian di antara XCOM: Enemy Unknown dan XCOM 2.
Kempen ini akan mempunyai 28 peta secara keseluruhan dengan 4 penceritaan utama. Ia juga akan menyertakan peta dari XCOM: Enemy Unknow dan XCOM: Enemy Within yang dihasilkan semula.
Selain itu, DLC ini juga akan menambah pelbagai cabaran yang boleh dilakukan dan juga memberikan pemain peluang untuk mencipta misi mereka sendiri. Ia akan menggunakan sistem yang membolehkan pemain mengubah peta, misi serta penjahat.
Pemilik XCOM 2: War of the Chosen akan mendapatkan penambahan ini secara percuma bermula 9 Oktober. Namun, selepas 3 Disember, DLC ini akan dijual dengan harga £6.49(~RM31). Wart of the Chosen merupakan DLC untuk XCOM 2 yang kini dijual dengan harga RM119.